(HIBURAN) ASWARA ANJUR FESTIVAL TEATER ANTARNUSA 2026, HIMPUN PENGGIAT SENI 5 NEGARA NUSANTARA

Spread the love

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), yang merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi berteraskan bidang seni, budaya dan warisan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bakal menganjurkan Festival Teater Antarnusa 2026 (FTA 2026). Festival berprestij anjuran Fakulti Teater, ASWARA ini akan berlangsung selama empat (4) hari berturut-turut bermula 16 hingga 19 Julai 2026, bertempat di Kampus ASWARA, Kuala Lumpur.

FTA 2026 dijangka menjadi sebuah platform dinamik yang menghimpunkan para penggiat seni, tokoh teater dan anak seni daripada lima (5) buah negara serantau bagi meraikan kepelbagaian landskap seni persembahan teater. Membawa tema “Tanda. Temu. Tamu”, FTA 2026 diangkat sebagai medan interaksi budaya yang holistik serta wadah apresiasi terhadap Seni Teater Kontemporari. Melalui penganjuran ini, para pengunjung akan berpeluang menyelami keunikan budaya, aplikasi estetika moden, dan kreativiti anak seni serantau melalui pelbagai pengisian program yang komprehensif.

Tirai FTA 2026 bakal dibuka dengan Majlis Perasmian yang dijadualkan berlangsung pada 16 Julai 2026 (Khamis), bertempat di Dewan Orkestra, ASWARA. Majlis gilang-gemilang ini akan dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Sepanjang empat hari festival ini berlangsung, para pencinta seni dan orang awam dijemput hadir bagi menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dijadualkan bermula jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam. Antara pengisian utama festival termasuklah:

Bengkel Teater: Slot eksklusif yang dikendalikan oleh para seniman serantau untuk mengasah bakat dan menimba ilmu seni persembahan.

Work in Progress: Sesi perkongsian dan persembahan  interaktif yang memperlihatkan proses kreatif di sebalik tabir serta penerokaan karya-karya baharu.

Kedai Cerita Runcit: Siri monodrama berdurasi pendek yang mengangkat konsep site-specific. Setiap persembahan menawarkan ruang alternatif bagi penonton menikmati teater secara bukan konvensional. Menggunakan premis santai sebagai pentas, naskhah ini bukan sekadar persembahan, malah menjadi titik temu bagi dialog seni, pertukaran idea, dan pemerkasaan rangkaian komuniti kreatif.

Showcase: Persembahan teater kontemporari berskala tinggi oleh barisan artis dan kumpulan teater jemputan dari dalam dan luar negara.

Penganjuran FTA2026 ini merupakan manifestasi jelas peranan proaktif ASWARA dalam memperkasa pendidikan seni budaya bukan sahaja di peringkat akademik, malah sebagai penggerak kepada transformasi industri seni kreatif yang lebih progresif dan berdaya saing. Penganjuran festival ini juga amat signifikan kerana ia sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI serta usaha ASWARA dalam menyokong penuh agenda nasional kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi segmen pelancongan budaya (cultural tourism). Festival ini bertindak sebagai pemacu dalam memartabatkan seni budaya tempatan ke persada antarabangsa di samping meneroka ruang seni kontemporari dengan mengekalkan keaslian tradisi yang menjadi identiti serantau. Demi memastikan aksesibiliti seni kepada semua lapisan masyarakat, semua aktiviti FTA2026 adalah PERCUMA, kecuali bagi program showcase yang menetapkan harga tiket bernilai RM 10.00. Memandangkan kapasiti ruang adalah terhad, para penonton dinasihatkan untuk membuat tempahan slot secara dalam talian menerusi platform Cloudjoi.com.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *