(SUKAN) Wing Hin Motorsports Harungi Cabaran Hebat di Pusingan 2 TSS The Super Series dan Thailand Super Series

Spread the love

BANGSAEN, THAILAND – Pasukan Wing Hin Motorsports dari Malaysia mengharungi hujung minggu yang penuh dramatik pada Pusingan 2 TSS The Super Series dan Thailand Super Series sempena sambutan ulang tahun ke-20 Bangsaen Grand Prix, apabila berjaya meraih satu kemenangan perlumbaan, tiga penamat podium daripada empat perlumbaan, selain berdepan beberapa insiden malang di litar jalan raya Bangsaen.

Selaku juara bertahan kategori GT4, selain mempertaruhkan empat jentera dalam kategori Super Touring, Wing Hin Motorsports sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai antara pasukan paling kompetitif di litar jalan raya sepanjang 3.74 kilometer yang terkenal dengan tahap kesukarannya itu.

Podium GT4 Selepas Perlumbaan Strategik

Dalam Perlumbaan 1 kategori GT4 TSS The Super Series, gandingan pelumba Hong Kong Ryan Wong bersama pelumba Malaysia Mitchell Cheah berjaya membawa Toyota GR Supra GT4 EVO2 #39 menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas aksi selama sejam yang disusun dengan strategi kemas.

Ryan Wong memulakan perlumbaan dari petak keenam sebelum mengekalkan kedudukan sepanjang 20 minit pertama. Tiga minit kemudian, beliau naik ke tangga kelima selepas jentera pendahulu dipandu Prakhun P./Todd K. melanggar penghadang konkrit dan terkeluar daripada perlumbaan.

Mitchell Cheah kemudian mengambil alih tugas pada baki 30 minit terakhir dan mempamerkan aksi cemerlang dengan mencatat masa terpantas perlumbaan 1 minit 39.030 saat. Walaupun melepasi garisan penamat sebagai pemenang, beliau dikenakan penalti masa 15 saat yang menyaksikan mereka diturunkan ke tempat kedua keseluruhan.

“Secara keseluruhannya ia adalah perlumbaan yang baik. Kami menamatkan perlumbaan di tempat pertama tetapi penalti menyebabkan kami terlepas kemenangan. Di litar yang begitu mencabar seperti Bangsaen, sasaran utama adalah mengutip mata sebanyak mungkin dan kami berjaya melakukannya,” kata Mitchell Cheah.

Harapan Podium Musnah Akibat Kerosakan

Dalam Perlumbaan 2, Mitchell Cheah yang bermula di petak kedua terus merampas kedudukan pendahulu sejurus memasuki selekoh pertama selepas pertarungan sengit dengan pemegang petak utama, Kantadhee K.

Beliau kemudiannya membuka jurang sehingga 8.4 saat sebelum menyerahkan jentera kepada Ryan Wong.

Ryan kembali ke litar dengan kelebihan sembilan saat namun, berbaki 11 minit perlumbaan, beliau dipintas oleh jentera #77. Ketika berada di tempat kedua dan berpeluang menghadiahkan satu lagi podium kepada pasukan, Toyota GR Supra GT4 EVO2 mengalami kerosakan pada bahagian kanan belakang sehingga memaksanya menarik diri daripada perlumbaan.

Nabil Azlan Raih Kemenangan Super Touring

Dalam Perlumbaan 1 Thailand Super Series Super Touring, pelumba Malaysia Nabil Azlan yang memulakan perlumbaan di petak kedua berjaya memintas pendahulu sebaik perlumbaan bermula sebelum membuka jurang sehingga 4.1 saat selepas 20 minit.

Namun kemunculan Safety Car mengubah strategi perlumbaan.

Ketika pencabar lain memasuki pit, Nabil memilih untuk terus berada di litar bagi melengkapkan satu lagi pusingan pantas sebelum membuat hentian wajib. Strategi itu membolehkan beliau kembali mendahului kelompok hadapan selepas memulakan semula perlumbaan dari kedudukan kelapan.

Nabil menamatkan perlumbaan di tempat kedua sebelum dinaikkan sebagai pemenang perlumbaan selepas jentera #55 menerima penalti 10 saat kerana melanggar had kelajuan di laluan pit.

Rakan sepasukan Nick Teo/Ian Wong menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, diikuti Jwan Hii/Dannies Ng di tempat ke-10, manakala gandingan Thailand Varunchit Wattanathanakun/Mekkaradkeeta Kalantananda di tempat ke-14.

“Safety Car kedua banyak membantu kami, namun kami tetap perlu mempertahankan kedudukan daripada tekanan hebat jentera Toyota GAZOO Racing Thailand,” kata Nabil Azlan.

Kemalangan Ngeri Pada Perlumbaan Kedua

Perlumbaan kedua pada Ahad menyaksikan detik paling dramatik buat Nabil.

Ketika hanya berbaki satu pusingan, beliau berjaya memintas jentera #63 untuk naik ke tempat kedua. Namun secara tiba-tiba, pendahulu perlumbaan #55 mengalami kerosakan kotak gear yang menyebabkan jenteranya memperlahankan kelajuan secara mendadak.

Nabil tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang Honda CR-Z tersebut, menyebabkan Toyota Vios miliknya terbang sebelum terbalik di tengah litar. Insiden itu memaksa perlumbaan dihentikan dengan bendera merah.

Syukur, Nabil tidak mengalami sebarang kecederaan. Keputusan perlumbaan kemudian dikira berdasarkan pusingan sebelumnya, sekali gus menyaksikan beliau diklasifikasikan di tempat ketiga.

Dalam perlumbaan sama, gandingan Varunchit/Mekkaradkeeta menamatkan saingan di tempat ke-10, Nick Teo/Ian Wong di tempat ke-11, manakala Jwan Hii/Dannies Ng gagal menamatkan perlumbaan selepas melanggar penghadang konkrit.

Tumpuan Beralih ke Sepang

Kejuaraan TSS The Super Series dan Thailand Super Series musim ini berlangsung dalam lima pusingan keseluruhannya.

Pusingan ketiga dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang dari 21 hingga 23 Ogos, yang dijangka menyaksikan Wing Hin Motorsports kembali memburu kemenangan di laman sendiri.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *