Dalam kesibukan kehidupan seharian, muzik sering menjadi ruang untuk seseorang berhenti seketika, mencari ketenangan dan menikmati detik yang dekat dengan jiwa. Berteraskan konsep tersebut, Ruang Nyaman Fest bakal diperkenalkan sebagai sebuah festival muzik indoor premium dan eksklusif yang menghimpunkan barisan artis popular dari Indonesia dan Malaysia dalam satu pentas.
Dianjurkan oleh Thrive Events dan diasaskan oleh Haqimi Zamri, Ruang Nyaman Fest dijadualkan berlangsung pada 14 November 2026 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Festival ini mengetengahkan konsep pengalaman muzik yang lebih intim, selesa dan eksklusif, sekali gus memberikan peluang kepada peminat menikmati persembahan enam artis dalam satu acara dan menerusi satu tiket.
Berbeza daripada format konsert solo yang lazimnya menampilkan seorang artis utama, Ruang Nyaman Fest menghimpunkan barisan artis yang dipilih berdasarkan kekuatan karya, identiti muzik dan keunikan persembahan masing-masing. Konsep ini membolehkan penonton menikmati pengalaman muzik yang lebih menyeluruh dari awal hingga akhir tanpa persembahan pengisi atau fillers.
Festival berkenaan menampilkan lima nama popular dari Indonesia, iaitu Cakra Khan, Sammy Simorangkir, Idgitaf, Kaleb J dan Pusakata, selain penyanyi tempatan Najmi Niery yang akan mewakili Malaysia.
Cakra Khan, yang sinonim dengan vokal serak dan penuh penghayatan, dijangka menghiburkan peminat menerusi deretan lagu popular seperti Harus Terpisah, Kekasih Bayangan dan Mencari Cinta Sejati. Turut dinantikan ialah kemunculan Sammy Simorangkir, bekas vokalis kumpulan Kerispatih yang akan membawakan karya popularnya seperti Kesedihanku, Tak Mampu Pergi dan Dia, selain lagu-lagu ikonik Kerispatih termasuk Tapi Bukan Aku, Mengenangmu dan Bila Rasaku Ini Rasamu.
Mewakili generasi baharu muzik Indonesia, Idgitaf pula bakal membawakan karya yang mendapat tempat dalam kalangan pendengar serantau, antaranya Sedia Aku Sebelum Hujan, Satu-Satu, Takut dan Mengudara. Sementara itu, Kaleb J akan tampil dengan rangkaian lagu popular seperti It’s Only Me, Kebutuhan Hati dan Now I Know.
Melengkapkan barisan artis dari Indonesia ialah Pusakata, projek muzik yang diterajui oleh Mohammad Istiqamah Djamad atau lebih dikenali sebagai Is, bekas vokalis dan antara figura penting kumpulan Payung Teduh. Dikenali menerusi karya yang puitis dan sarat emosi, Is menerusi Pusakata akan membawakan lagu seperti Ruang Tunggu, Kehabisan Kata dan Taifun. Beliau turut dijangka menyampaikan beberapa karya yang pernah ditulis dan dipopularkan ketika bersama Payung Teduh, termasuk Akad, Untuk Perempuan Yang Sedang Dalam Pelukan dan Di Atas Meja.
Sementara itu, Malaysia akan diwakili oleh Najmi Niery, penyanyi yang turut mendapat pengaruh daripada nuansa muzik Indonesia. Najmi mula mendapat perhatian menerusi single sulungnya, Dekati, yang telah meraih lebih lima juta strim di Spotify. Kesempatan berkongsi pentas dengan lima nama besar dari Indonesia itu dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam perjalanan seni beliau, selain membuka ruang untuk memperkenalkan karya dan identiti muziknya kepada khalayak yang lebih luas.
Menurut Pengasas Ruang Nyaman Fest, Haqimi Zamri, festival berkenaan diwujudkan sebagai sebuah ruang yang membolehkan peminat berehat seketika daripada kesibukan kehidupan dan menikmati muzik yang dekat dengan hati.
“Ruang Nyaman Fest bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya ia merupakan pengalaman muzik indoor yang premium, selesa dan padat. Kami memilih enam artis yang mempunyai kekuatan karya dan identiti tersendiri bagi memastikan penonton memperoleh pengalaman terbaik dari awal hingga akhir,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Thrive Events, Hamka Mohd Taufik, berkata konsep festival itu turut menawarkan nilai yang berbeza kepada peminat muzik dengan menghimpunkan enam persembahan utama dalam satu acara.
“Dengan satu tiket, peminat berpeluang menikmati enam persembahan daripada barisan artis pilihan pada harga yang lebih berpatutan berbanding menghadiri beberapa konsert solo secara berasingan. Walaupun harga tiket ditawarkan pada kadar yang mesra peminat, kami tetap mengekalkan pengalaman keseluruhan yang premium dan eksklusif,” katanya.
Kehadiran Cakra Khan turut menjadi antara tarikan utama festival berkenaan, khususnya selepas penyanyi tersebut sebelum ini mengumumkan hasrat untuk berehat daripada mengadakan persembahan di Malaysia. Bagaimanapun, konsep Ruang Nyaman Fest serta peluang untuk berkongsi pentas bersama barisan pemuzik yang dihormatinya menjadi antara faktor yang mendorong beliau untuk kembali bertemu peminat Malaysia.
“Selepas mengumumkan untuk berehat daripada membuat persembahan di Malaysia, saya mahu lebih berhati-hati dalam memilih acara. Namun, konsep Ruang Nyaman Fest, barisan pemuzik yang terlibat dan peluang untuk kembali bertemu peminat Malaysia terlalu menarik untuk saya lepaskan,” ujar Cakra Khan.
Beliau turut menyifatkan peluang untuk berkongsi pentas bersama Sammy Simorangkir, Idgitaf, Kaleb J, Pusakata dan Najmi Niery sebagai satu pengalaman istimewa yang dinanti-nantikan.
Format indoor yang diketengahkan turut memberikan kelebihan dari segi keselesaan dan pengalaman penonton, selain menawarkan suasana yang lebih terkawal dan eksklusif tanpa dipengaruhi keadaan cuaca.
Tiket Ruang Nyaman Fest ditawarkan dalam beberapa kategori, iaitu Adinda (RM249), Nanti (RM349), Dia (RM399), Dekati (RM449), Mengudara (RM499), Cahaya (RM699) dan Kita (RM1,699) bagi kategori tempat duduk pasangan. Tiket boleh didapati menerusi MyTicketEmpire.
Dengan gabungan persembahan daripada barisan artis ternama, suasana indoor yang premium serta konsep yang mengetengahkan muzik, nostalgia dan emosi, Ruang Nyaman Fest dijangka menjadi antara acara muzik yang dinantikan peminat muzik Nusantara pada tahun ini.
Jangan lepaskan peluang untuk menikmati pengalaman muzik yang istimewa dan bermakna di Ruang Nyaman Fest, yang bakal berlangsung pada 14 November 2026 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
MAKLUMAT ACARA
Acara: Ruang Nyaman Fest
Tarikh: 14 November 2026
Lokasi: Mega Star Arena, Kuala Lumpur
Artis: Cakra Khan, Sammy Simorangkir, Idgitaf, Kaleb J, Pusakata dan Najmi Niery
Penganjur: Thrive Events
Pembelian Tiket: MyTicketEmpire.com
HARGA DAN KATEGORI TIKET
RM249 – Adinda (General Sitting)
RM349 – Nanti (Preferred Sitting)
RM399 – Dia (General Sitting)
RM449 – Dekati (Mid Zone Seating)
RM499 – Mengudara (Front Row Seating)
RM699 – Cahaya (VIP Seating)
RM1,699 – Kita (Couple Seating)
