Selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik tempatan dengan karya-karya yang malar segar dan penuh nilai artistik, penyanyi, komposer serta penulis lagu terkenal, Noh Salleh, bakal melakar satu lagi detik penting dalam perjalanan seninya menerusi konsert solo orkestra berskala besar pertamanya berjudul “Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra” yang akan berlangsung pada 8 November 2026 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Dianjurkan secara bersama oleh Altus Prohouse dan CK Star Entertainment, konsert ini bakal membuka dimensi baharu dalam perjalanan muzik Noh Salleh dengan mengangkat karya-karya ikoniknya ke pentas orkestra menerusi susunan muzik eksklusif oleh maestro terkenal tanah air, Aubrey Suwito.
Mengambil inspirasi daripada perkataan Itali “Cadenza” yang merujuk kepada persembahan solo penuh ekspresi, digabungkan dengan perkataan “Soul” yang melambangkan jiwa, konsert ini dijangka menjadi sebuah pengalaman muzik yang menghubungkan emosi, penceritaan dan ekspresi seni dalam sebuah persembahan yang lebih intim serta mendalam.
Walaupun Noh pernah menjayakan persembahan bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik PETRONAS sebelum ini, Cadenza of the Soul merupakan konsert solo orkestra pertama yang dibina sepenuhnya berteraskan perjalanan muzik dan identiti seninya sendiri.
Malam bersejarah itu bakal menyaksikan karya-karya popular seperti Angin Kencang, Rahsia Tuhan, Bunga Di Telinga, Sang Penikam serta pelbagai lagi lagu pilihan dipersembahkan dalam susunan muzik baharu yang lebih dramatik dan sinematik. Gabungan elemen rock alternatif, folk, pop, jazz dan bossa nova yang menjadi identiti Noh akan diperkayakan dengan sentuhan orkestra bagi menghasilkan sebuah persembahan yang lebih segar dan eksklusif.
Menurut pihak penganjur, konsert berkenaan bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, sebaliknya merupakan penghormatan terhadap perjalanan seni Noh Salleh yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan muzik alternatif di Malaysia.
“Cadenza of the Soul bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perjalanan yang menyatukan muzik, emosi dan penceritaan dalam satu pengalaman yang cukup istimewa. Dengan sentuhan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik, kami yakin persembahan ini akan memperlihatkan sisi baharu karya-karya Noh Salleh serta memberikan pengalaman yang tidak pernah disaksikan peminat sebelum ini,” kata wakil penganjur.
Sementara itu, Aubrey Suwito menyifatkan Noh Salleh sebagai antara pemuzik paling kreatif dan berpengaruh dalam generasinya. Beliau mengakui tidak mengambil masa lama untuk menerima pelawaan menjayakan projek tersebut kerana percaya karya-karya Noh mempunyai nilai artistik yang sangat tinggi untuk diterjemahkan dalam bentuk orkestra.
“Ini bakal menjadi sebuah perayaan muzik yang meraikan emosi, kreativiti dan karya tempatan. Saya berharap penonton akan hadir dengan hati yang terbuka dan pulang membawa pengalaman yang mampu meninggalkan kesan mendalam,” katanya.
Bagi peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada malam bersejarah itu, jualan tiket akan dibuka bermula 5 Ogos 2026, jam 12.00 tengah hari, menerusi platform rasmi Ticket2U dan Fantopia.
Tiket ditawarkan mengikut beberapa kategori iaitu CAT 3 berharga RM188, CAT 2 (RM268), CAT 1 (RM368), VIP (RM488) yang didatangkan bersama T-shirt konsert edisi terhad, serta VVIP (RM588) yang turut menawarkan akses eksklusif ke sesi Meet & Greet bersama Noh Salleh. Turut disediakan ialah Twin Seat (Suite Room 1–4) pada harga RM788 bagi mereka yang mahukan pengalaman menonton yang lebih eksklusif.
Dengan gabungan kehebatan karya-karya ikonik Noh Salleh, sentuhan magis Aubrey Suwito serta iringan orkestra yang dibawakan khas untuk persembahan ini, “Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra” dijangka menjadi antara konsert paling dinanti-nantikan pada tahun 2026. Ia bukan sahaja meraikan perjalanan seorang seniman yang telah membentuk landskap muzik tempatan, malah menawarkan sebuah pengalaman artistik yang mengangkat muzik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
