JOHOR, 1 OGOS 2026 – Mforce Smartshop Wei Ling Motor Sdn. Bhd. hari ini meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-9 dengan menghimpunkan rakan niaga, wakil media, komuniti motosikal serta para pelanggan dalam satu majlis penghargaan yang berlangsung di Kluang, Johor.
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Wei Ling Motor Sdn. Bhd., Encik Leok Kah Ling, bersama barisan pengurusan syarikat serta wakil daripada Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi, Encik Asri Ahmad.
Wei Ling Motor memulakan operasi sebagai Wei Ling Motor Trading pada tahun 1996 sebelum berkembang menjadi Wei Ling Motor Sdn. Bhd. pada tahun 2009. Kerjasama bersama Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. bermula pada tahun 2013 dan pada tahun 2017, syarikat ini diberi kepercayaan menjadi SYM Smartshop kedua di Johor serta yang keenam di Malaysia. Kini, Wei Ling Motor beroperasi di dua cawangan iaitu di Taman Sri Lambak dan Taman Kluang Baru.
Bersempena sambutan ulang tahun ini, Wei Ling Motor turut memperkenalkan empat model terbaharu daripada Mforce kepada para pengunjung, iaitu Morbidelli T250, Morbidelli T250X, ARIIC GOBI 250 dan WMOTO NEXY+180, yang kini telah dibuka untuk tempahan.
Pengunjung juga berpeluang merasai sesi pandu uji yang disediakan serta tawaran diskaun 20% bagi pembelian Mforce Oil serta CVT Belting untuk alat ganti Mforce pada hari penganjuran. Selain itu, pelbagai hadiah menarik seperti helmet LS2, Top Box YHPro dan Mforce Oil turut ditawarkan menerusi cabutan bertuah khas.
Majlis ulang tahun ke-9 ini mencerminkan komitmen berterusan Wei Ling Motor Sdn. Bhd. dan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. dalam memperkukuhkan perkhidmatan kepada pelanggan serta membawa lebih banyak pilihan model motosikal terkini kepada pengguna di Malaysia.
WMOTO NEXY+180 dengan spesifikasi terbaru iaitu lampu bantuan pancaran rendah, tempat duduk berpenyandar, lampu aluan serta TPMS yang kini rasmi berada di pasaran Malaysia melalui pengedar rasminya, WMOTO Malaysia. Pelancaran model ini bersempena sambutan ulang tahun Ke-9 Mforce Smartshop Wei Ling Motor Sdn. Bhd., sekali gus menambah pilihan skuter premium untuk penunggang tempatan. WMOTO NEXY+180 ditawarkan bermula RM9,288.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dalam empat pilihan warna menarik iaitu Midnight Black, Nardo Grey, Magic Blue dan Xtreme White, menampilkan reka bentuk moden yang menggabungkan gaya elegan dengan ciri praktikal untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak sederhana.
WMOTO NEXY+180 dikuasakan oleh enjin 174 cc satu silinder, 4 lejang, 4 injap dengan sistem penyejukan cecair, yang menghasilkan kuasa maksimum 13.6 kW pada 8,500 rpm dan tork maksimum 17.2 N.m pada 6,500 rpm, dengan nisbah mampatan 11.5:1. Enjin ini mempunyai ukuran piston dan lejang 61 × 59.6 mm, dipadankan bersama transmisi CVT (Continuously Variable Transmission) serta sistem klac automatik bagi memastikan penghantaran kuasa yang lancar dan responsif.
Sistem pendikit mekanikal serta sistem penghidup elektrik memastikan prestasi enjin yang konsisten dan mudah dikendalikan, manakala tangki bahan api berkapasiti 8 liter sesuai untuk kegunaan harian.
Bagi sistem suspensi, WMOTO NEXY+180 dilengkapi dengan fork teleskopik di bahagian hadapan serta penyerap hentak berkembar jenis menegak di bahagian belakang. Suspensi hadapan menawarkan jarak pergerakan 103 mm, manakala suspensi belakang mempunyai jarak pergerakan 130 mm, memberikan keselesaan ketika menunggang di pelbagai keadaan jalan.
Prestasi membrek dikendalikan oleh cakera brek tunggal 260 mm di bahagian hadapan dengan kaliper empat piston, serta cakera brek tunggal 220 mm di bahagian belakang dengan kaliper apungan satu piston. Sistem ini dipertingkatkan dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dwi saluran, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan ketika membrek.
WMOTO NEXY+180
WMOTO NEXY+180 menggunakan tayar bersaiz 110/70-14 di hadapan dan 130/70-13 di belakang. Skuter ini mempunyai dimensi keseluruhan 1,970 mm panjang, 770 mm lebar dan 1,150 mm tinggi, dengan jarak roda 1,315 mm, ketinggian tempat duduk 765 mm, berat siap diisi 142 kg serta berat kering 136 kg, menawarkan keseimbangan antara kestabilan dan kemudahan pengendalian.
Dari segi kelengkapan, WMOTO NEXY+180 dilengkapi dengan paparan meter TFT bersaiz 6 inci, sistem kunci pintar (keyless) bersama kunci mekanikal, port pengecas USB Type-A dan Type-C, serta suis keselamatan tongkat sisi bagi meningkatkan kemudahan penggunaan.
Sistem pencahayaan menggunakan lampu projektor LED, Lampu Siang (DRL), lampu belakang, lampu isyarat dan lampu kecemasan LED, memastikan pencahayaan yang lebih jelas dan meningkatkan keterlihatan dalam pelbagai keadaan.
Turut melengkapkan model ini ialah Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), kamera hadapan, sambungan aplikasi Carbit Ride dan RoadCam, sambungan Bluetooth yang menyokong notifikasi panggilan masuk, ruang simpanan hadapan dengan penutup magnetik, pelindung angin serta rak belakang bersepadu, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan dan praktikaliti.
Dengan gabungan prestasi yang responsif, teknologi moden serta ciri keselesaan premium, WMOTO NEXY+180 menawarkan pengalaman tunggangan yang lebih lengkap untuk penunggang Malaysia sama ada bagi kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.
ARIIC GOBI 250
ARIIC GOBI 250 kini rasmi berada di pasaran Malaysia melalui pengedar rasminya, ARIIC Malaysia, selepas diperkenalkan semasa Top 68 Dealers’ Educational Tour Sales Campaign yang berlangsung di Zhejiang, China pada 21 November 2025.
Ditawarkan pada harga RM13,988.00, tidak termasuk cukai jalan dan insurans,
ARIIC GOBI 250 hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Carbon Black, Velocity Grey dan Mystic Purple, menampilkan reka bentuk skuter adventure moden yang sesuai untuk kegunaan harian mahupun pengembaraan jarak jauh.
ARIIC GOBI 250 dikuasakan oleh enjin 249 cc satu silinder, 4 lejang, 4 injap dengan sistem penyejukan cecair, yang menghasilkan kuasa maksimum 16.5 kW pada 8,000 rpm dan tork maksimum 23.5 N.m pada 5,000 rpm, dengan nisbah mampatan 10.3:1.
Enjin ini mempunyai ukuran piston dan lejang 69 × 66.7 mm, dipadankan bersama transmisi automatik dengan sistem pacuan V-Belt dan gear, bagi memastikan penghantaran kuasa yang lancar serta responsif.
Sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), pendikit mekanikal serta sistem penghidup elektrik memastikan prestasi enjin yang cekap dan konsisten. Tangki bahan api berkapasiti 12.5 liter pula membolehkan perjalanan yang lebih jauh dengan lebih praktikal.
Bagi sistem suspensi, ARIIC GOBI 250 dilengkapi dengan fork teleskopik terbalik di bahagian hadapan serta penyerap hentak berkembar di bahagian belakang, memberikan keseimbangan antara keselesaan, kestabilan dan kawalan ketika menunggang di pelbagai keadaan jalan.
Prestasi membrek dikendalikan oleh cakera brek tunggal di bahagian hadapan dan belakang yang dipertingkatkan dengan sistem ABS dwi saluran, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keyakinan ketika membrek.
ARIIC GOBI 250 menggunakan tayar bersaiz 110/80-14 di hadapan dan 130/70-13 di belakang yang dipadankan dengan rim jejari (spoke rim) pada kedua-dua roda, sesuai untuk tunggangan di jalan berturap mahupun laluan yang lebih mencabar. Skuter ini mempunyai dimensi keseluruhan 1,980 mm panjang, 770 mm lebar dan 1,315 mm tinggi, dengan jarak roda 1,430 mm, ketinggian tempat duduk 780 mm serta berat kering 176 kg, menawarkan kestabilan dan pengendalian yang yakin.
Dari segi kelengkapan, ARIIC GOBI 250 dilengkapi dengan paparan meter TFT, sistem kunci pintar, port pengecas USB Type-A dan Type-C, serta suis keselamatan tongkat sisi bagi meningkatkan kemudahan penggunaan harian.
Sistem pencahayaan menggunakan lampu LED di bahagian hadapan, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu kecemasan bagi memastikan pencahayaan yang terang serta jelas dalam pelbagai keadaan.
Turut melengkapkan model ini ialah Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dinyahaktifkan, Sistem Pemantauan Tekanan Angin Tayar (TPMS), kamera papan pemuka hadapan, pelindung angin, ruang simpanan bawah tempat duduk serta ‘crash bar’ bagi meningkatkan aspek keselamatan dan praktikaliti.
Bagi ciri sambungan pintar, ARIIC GOBI 250 menyokong aplikasi pihak ketiga MotoFun, bersama sambungan Bluetooth yang menawarkan fungsi navigasi, paparan kamera hadapan dan notifikasi panggilan masuk, sekali gus memberikan pengalaman tunggangan yang lebih moden dan interaktif.
Dengan gabungan prestasi enjin yang responsif, reka bentuk adventure yang lasak, teknologi moden serta pelbagai ciri keselamatan dan keselesaan, ARIIC GOBI 250 menawarkan sebuah skuter kembara yang lengkap untuk penunggang Malaysia yang mengutamakan praktikaliti, keyakinan dan keseronokan dalam setiap perjalanan.
WARANTI
Dengan setiap pembelian WMOTO NEXY+180, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana terdahulu), serta kemudahan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian melalui WMOTO Malaysia.
Dengan setiap pembelian ARIIC GOBI 250, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh ARIIC Malaysia.
Tertakluk terma dan syarat.
