KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2026 — Mag*num Opus ialah istilah Latin yang membawa maksud karya seni terpenting seseorang seniman dalam bentuk sastera penulisan, filem, seni halus dan muzik. Himpunan karya yang telah menyumbang kepada pembangunan genre seni dan mendapat sambutan khalayak.
Dalam konteks seorang seniman yang telah berkarya selama lima dekad, Magnum Opus M. Nasir bukan sekadar merujuk kepada sebuah karya, tetapi menjadi manifestasi kepada keseluruhan legasi yang ditinggalkan melalui karya dan pemikiran.
Bermula pada 1979 hingga 2026, perjalanan seni Dato’ M. Nasir telah merentasi lima dekad sebagai penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit, dengan lebih daripada 2,000 karya muzik merangkumi pelbagai genre dan generasi.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau bukan sekadar menghasilkan lagu, tetapi turut membentuk sebahagian daripada identiti muzik Melayu moden. Karya-karyanya menjadi suara kepada pelbagai zaman, manakala pemikiran dan pendekatan kreatifnya terus mempengaruhi perkembangan muzik tanah air.
DARIPADA KEMBARA KE SOLO KE DEKAD KE-5
“Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5” meneruskan kesinambungan dua produksi terdahulu, iaitu Magnum Opus Siri 1: Kembara Ke Solo pada 2017, di Matic yang menelusuri perjalanan seni M.Nasir dari era Kembara sehingga album SOLO. dan Magnum Opus Siri 2: Search, Wings & Rock ’N’ Roll pada 2019 di Auditorium DBKL, menerusi forum rock bersama tokoh industri, seperti Dato Awie, Dato’ Aziz Bakar dan Allahyarham Bob Lokman.
Bagi edisi Dekad Ke-5 ini, Magnum Opus kembali dengan sebuah persembahan — menelusuri lima dekad penciptaan, perubahan zaman serta evolusi pemikiran dan muzik Dato’ M. Nasir.
30 KARYA IKONIK DALAM NAFAS SIMFONI
Kelainan utama produksi kali ini terletak pada pementasan semula karya-karya ikonik Dato’ M. Nasir menerusi kolaborasi bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Sebanyak 30 karya pilihan akan diberi nafas baharu menerusi susunan simfoni oleh Mohd Rafi Shafie, pengarah muzik yang mempunyai pengalaman luas serta telah menjadi antara tulang belakang kepada pelbagai produksi dan persembahan Dato’ M. Nasir sebelum ini.
Dalam persembahan berdurasi kira-kira 150 minit, vokal dan tenaga pentas Dato’ M. Nasir akan digabungkan dengan kekuatan pemuzik profesional OSK, pimpinan Encik Eric Lee Yin Fah.
Gabungan tersebut bakal menghasilkan sebuah pengalaman muzikal yang lebih sinematik, dinamik dan emosional, di samping memberikan perspektif baharu terhadap karya-karya yang telah dikenali dan dekat dengan masyarakat selama beberapa dekad.
Setiap karya yang dipilih mewakili era serta fasa penting dalam perjalanan seni Dato’ M. Nasir, membolehkan penonton menelusuri evolusi penulisan lirik, penciptaan melodi dan susunan muzik beliau dalam sebuah pengalaman yang dirangka khusus untuk pentas simfoni.
SURREALISME, FALSAFAH DAN SIMBOLISME
Dari sudut artistik, “Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5” mengangkat pendekatan surrealisme, disuntik dengan elemen falsafah dan simbolisme yang selari dengan karakter seni Dato’ M. Nasir yang terkenal dengan karya-karya puitis, imaginatif dan berlapis makna.
Pendekatan tersebut membentuk bukan sahaja bahasa visual persembahan, tetapi juga pengalaman keseluruhan konsert — mengajak penonton melihat karya-karya Dato’ M. Nasir bukan semata-mata sebagai lagu, tetapi sebagai cerminan perjalanan pemikiran dan ekspresi seorang seniman.
Ismail Shariff merupakan pencetus idea asal Magnum Opus, yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah siri persembahan dalam meraikan karya dan perjalanan seni Dato’ M. Nasir.
Bagi edisi Dekad Ke-5 ini, Shabromo menerajui produksi sebagai Pengarah Konsert dan Artistik, bertanggungjawab membentuk hala tuju kreatif serta keseluruhan bahasa visual dan persembahan agar selari dengan visi Magnum Opus.
Keon Omar selaku Penerbit Eksekutif konsert ini, berharap penganjuran konsert ini dapat terus memelihara dan mengangkat warisan seni muzik Melayu, di samping membuka ruang kepada generasi pemuzik dan pencipta muda untuk mengenali serta menghargai kedalaman karya seorang tokoh yang telah memberikan sumbangan besar kepada industri muzik tanah air.
Pemilihan Panggung Sari, Istana Budaya pula amat bertepatan dengan karakter dan skala produksi ini, khususnya dalam mempertemukan seni persembahan pentas dengan kekuatan sebuah orkestra simfoni dalam ruang yang sinonim dengan persembahan seni bertaraf tinggi.
MERAIKAN LEGASI, MENGANGKAT WARISAN
Sepanjang perjalanan seninya, Dato’ M. Nasir telah menerima pelbagai pengiktirafan utama industri termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Planet Muzik (APM) serta pengiktirafan daripada MACP sebagai antara pencipta lagu terunggul negara.
Namun, legasi seorang seniman tidak hanya terletak pada jumlah karya atau deretan anugerah yang diterima.
Nilai sebenar legasi Dato’ M. Nasir terletak pada karya-karya yang terus didengar, dinyanyikan, dimainkan, ditafsir dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Lima dekad perjalanan beliau membuktikan bahawa karya yang lahir daripada kekuatan seni dan pemikiran mampu melangkaui zaman.
Justeru, “Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5” hadir bukan sekadar sebagai sebuah persembahan hiburan, tetapi sebagai sebuah apresiasi budaya terhadap khazanah muzik tanah air — sebuah manifestasi keraian terhadap perjalanan seorang seniman dan sebuah usaha untuk mempertemukan warisan muzik lima dekad dengan generasi masa kini.
Program sampingan juga akan diadakan di ruang legar Istana Budaya seperti pameran dan jualan karya seni kanak – kanak dan sesi bual bicara penerbitan buku berkaitan karya muzik M.Nasir.
Konsert ini mendapat insentif Dana Kandungan Kreatif – Persembahan Muzik daripada MyCreative Ventures, manakala Istana Budaya bertindak sebagai Rakan Strategik.
Tiket konsert MOMND5 akan mula dijual pada Jumaat, 21 Ogos 2026 jam 3.00 petang menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com yang menawarkan pelbagai pilihan kategori merangkumi kawasan Stalls (Kategori A: RM1,588, B: RM1,188, C: RM988, D: RM838), Grand Circle (Kategori E: RM638, F: RM538), serta Upper Circle (Kategori G: RM338, H: RM288).
Luncai Emas Sdn. Bhd. bersama seluruh rakan kerjasama menjemput para peminat muzik, penggiat seni, rakan media, rakan strategik dan masyarakat umum untuk bersama-sama menjadi saksi kepada sebuah detik istimewa apabila lima dekad perjalanan seorang seniman diterjemahkan melalui muzik, puisi, falsafah dan bunyi simfoni.
