PULAU PINANG, 17 Ogos 2026 – QJMOTOR Malaysia terus mempergiatkan pelaksanaan Program Panggil Semula Produk (Product Recall Program) bagi motosikal QJMOTOR AX200S, khususnya untuk memastikan semua unit yang terlibat menerima pemeriksaan serta penggantian komponen muffler assembly yang ditetapkan.
Program berkenaan telah dimulakan pada 17 Mac 2026 susulan pengenalpastian kemungkinan berlaku keretakan pada komponen muffler assembly bagi unit-unit tertentu QJMOTOR AX200S. Sebagai langkah penambahbaikan, komponen muffler baharu yang telah dipertingkatkan disediakan bagi meningkatkan tahap ketahanan dan prestasi dalam jangka masa panjang.
Sehubungan itu, QJMOTOR Malaysia menyeru semua pemilik AX200S yang terlibat, khususnya mereka yang masih belum membuat semakan, pendaftaran atau penggantian komponen, supaya mengambil tindakan segera bagi memastikan motosikal masing-masing menjalani pemeriksaan dan penggantian yang diperlukan.
Pemilik boleh membuat semakan status motosikal dan pendaftaran menerusi platform rasmi Program Panggil Semula Produk di:
Program Panggil Semula QJMOTOR – Semak Motosikal
Menerusi kemudahan “Check your bike”, pemilik boleh menyemak sama ada motosikal mereka terlibat dalam program tersebut dan mendapatkan maklumat berkaitan tindakan lanjut yang perlu diambil.
Selain semakan secara dalam talian, pemilik yang terlibat juga boleh menghubungi atau mengunjungi pengedar sah QJMOTOR Malaysia tempat motosikal dibeli bagi mendapatkan maklumat lanjut serta mengatur janji temu untuk proses penggantian komponen.
Penggantian muffler bagi unit yang terlibat dilaksanakan secara PERCUMA, termasuk kos alat ganti dan upah kerja, tertakluk kepada terma dan prosedur Program Panggil Semula Produk yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. turut menyediakan saluran bantuan kepada pemilik yang memerlukan maklumat lanjut berkaitan status motosikal atau proses program panggil semula. Pemilik boleh menghubungi pihak Mforce di talian +604-545 2222 untuk mendapatkan bantuan dan penjelasan lanjut.
Bagi pemilik model motosikal yang telah dibaik pulih (reconditioned model), mereka juga dinasihatkan supaya menghubungi pihak Mforce secara terus bagi mendapatkan bantuan serta maklumat berkaitan tindakan yang perlu diambil.
QJMOTOR Malaysia menegaskan bahawa keselamatan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan. Justeru, kerjasama pemilik untuk membuat semakan dan menyertai program panggil semula ini amat penting bagi memastikan setiap unit yang terlibat menerima tindakan pemeriksaan dan penambahbaikan sewajarnya.
Pemilik yang menerima notifikasi atau mendapati motosikal mereka terlibat dalam program ini disarankan supaya tidak menangguhkan tindakan dan segera menghubungi pengedar sah QJMOTOR Malaysia bagi mendapatkan janji temu penggantian.
QJMOTOR Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada para pelanggan dan rangkaian pengedar atas kerjasama, kepercayaan serta sokongan berterusan yang diberikan sepanjang pelaksanaan program berkenaan.
Melalui pelaksanaan Program Panggil Semula Produk ini, QJMOTOR Malaysia dan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. kekal komited dalam memastikan standard keselamatan produk, kualiti perkhidmatan selepas jualan serta keyakinan pelanggan sentiasa dipelihara.
