Isu mengenai jenayah seksual membabitkan kes bapa tiri merogol anak sememangnya menjadi perhatian masyarakat. Biarpun pelakunya dijatuhi hukuman berat, namun kes-kes membabitkan ‘haruan makan anak’ ini masih lagi dilihat berleluasa dalam masyarakat.
Melihat kepada situasi berkenaan, ia telah menarik perhatian buat penerbit popular, Dato A. Aida untuk menghasilkan sebuah filem berjudul BISIKAN NAFSU.
Aida berkata, filem arahan Riza Baharudin itu sebuah naskhah yang bukan sahaja menyentuh isu jenayah seksual dalam keluarga, malah mengangkat nilai kasih sayang, kesetiaan dan pengorbanan yang jarang diketengahkan dalam karya tempatan.
“Objektif utama filem ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya golongan ibu yang berkahwin semula dengan lelaki lain supaya lebih peka terhadap keselamatan anak perempuan. Manakala anak perempuan juga haruslah menjaga penampilan dan tidak memakai pakaian yang terlalu seksi sehingga mengundang perkara yang tidak diingini.
“Selain itu, saya turut ketengahkan mengenai kesetiaan. Biasanya apabila berlaku tragedi sebegini, ada lelaki yang memilih meninggalkan pasangan. Namun dalam filem ini, saya mahu tunjuk masih ada lelaki yang terus berada di sisi insan yang dicintainya walaupun diuji dengan perkara yang sangat berat,” ujarnya yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif dan penulis skrip.
Filem Bisikan Nafsu mengisahkan Nadia yang berdepan trauma selepas menjadi mangsa rogol oleh bapa tirinya sendiri sehingga beberapa kali cuba menamatkan riwayat hidupnya.
Namun di sebalik kegelapan yang menyelubungi hidup Nadia, hadir seorang tunang yang tetap setia di sisinya dengan memilih untuk terus memberi sokongan, mencari kebenaran dan menerima segala ketentuan dengan penuh reda.
Menariknya tentang filem terbitan Hello Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama A. Aida Production dan Mache Allstar United, ia menggabungkan pelakon baharu serta barisan pelakon yang lebih senior dalam industri.
Filem ini menampilkan Aniq Suhair dan Azeva selaku teraju utama, selain dibarisan pelakon seperti Zul Huzaimy, Aleza Shadan, Watie Sadali, Raja Azmi, Ezzaty Abdullah, Aishah Husna dan Lan Siro serta penampilan istimewa Ameng Spring dan Siti Khadijah.
Dalam pada itu, Bisikan Nafsu juga menandakan kemunculan rasmi Hello Production, sebuah syarikat produksi baharu yang diasaskan oleh Azeva selaku penerbit dengan Bisikan Nafsu menjadi produk sulung diterbitkan olehnya.
Aida menjelaskan bahawa penubuhan syarikat tersebut adalah atas permintaan anaknya itu sendiri yang mahu membina pengalaman dalam industri secara berperingkat.
“Azeva sendiri yang menyatakan hasrat untuk membuka syarikat produksi. Untuk itu, saya mahu dia belajar dari bawah dan memahami setiap aspek dan selok-belok penerbitan.
“Untuk menjadi seorang penerbit yang baik, seseorang itu perlu mengetahui keseluruhan proses produksi, daripada A hingga Z,” katanya.
Bagi pemilik Mache Allstar United, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Arisz Ab. Rahman menyifatkan kerjasama dengan A. Aida untuk projek ini amat bermakna memandangkan dia antara individu yang banyak membimbingnya ketika mula menceburi dunia penerbitan.
“Beliau adalah antara mentor saya dalam penerbitan drama televisyen dan banyak membantu saya pada peringkat awal penglibatan dalam industri kreatif.
“Jadi, filem Bisikan Nafsu merupakan projek perintis kerjasama kami dan insya-Allah akan ada lebih banyak lagi projek yang bakal diterbitkan bersama selepas ini,” katanya.
Mengulas mengenai pembahagian tugas, beliau menjelaskan bahawa A. Aida lebih menumpukan kepada aspek kreatif dan kandungan, manakala beliau memberi fokus kepada pengurusan kewangan serta operasi produksi.
Dalam pada itu, Riza yang bertindak sebagai pengarah pula menyifatkan peluang dapat mengarahkan filem adalah sesuatu yang tidak harus dilepaskan sama sekali.
Riza mengakui dirinya agak gugup memandangkan kali pertama mengarahkan filem, namun ia telah cuba melakukan yang terbaik dengan hasil yang bersesuai dengan bajet yang telah dikeluarkan oleh penerbit.
“Kalau ditanya tentang cabaran pula, ia lebih kepada babak-babak yang perlu dihasilkan. Misalnya pelakon perlu terjun ditempat air terjun dengan ketinggian enam tingkat, perlu menyelam dalam air untuk tempoh yang lama serta beberapa babak lain yang cukup mencabar.
“Apapun saya berasa lega kerana semuanya berjalan dengan lancar dan barisan pelakon juga telah memberikan sepenuh komitmen untuk mendapatkan hasil yang terbaik,” jelasnya.
Bagi yang ingin mengetahui keseluruhan jalan cerita, BISIKAN NAFSU akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 1 OKTOBER 2026.
SINOPSIS
UR merupakan Ustaz Romantik terkenal yang telah berkahwin dengan Alyssa yang mempunyai anak perempuan bernama Nadia. Tanpa pengetahuan Alyssa, UR rupa-rupanya adalah seorang playboy. Dalam diam UR juga telah menjalinkan hubungan dengan kawan baik kepada Alyssa iaitu Aida. Alyssa telah menangkap UR bersama Aida, tetapi disebabkan cinta yang tiada batasan, Alyssa telah memaafkan UR dan masih setia bersama.
Pada masa sama, Nadia juga telah menjadi mangsa UR dan telah dirogol berkali-kali. Akhirnya, Nadia telah mengambil keputusan untuk berpisah dengan tunangnya dan cuba membunuh diri beberapa kali. Namun begitu, tunang Nadia iaitu Arisz tidak berputus asa dan masih setia menunggu Nadia dan cuba menyiasat apakah yang telah terjadi kepada Nadia. Ini kerana Nadia telah berubah menjadi seorang yang murung dan sanggup memutuskan pertunangan mereka.
