(SUKAN) BARISAN PELUMBA TERBAIK MALAYSIA BERSAING MEMBURU GELARAN INDIVIDU DAN BERPASUKAN PADA KEJOHANAN TGR ASIA ESPORT GT 2026

Spread the love

SHAH ALAM, 10 November 2026 – Malaysia bakal mempertaruhkan barisan pelumba berprofil tinggi dan antara pasukan pilihan pada Kejohanan TGR Asia Esport GT 2026 yang akan berlangsung di laman sendiri pada 14 hingga 15 November ini, bertempat di Jiospace, hab gaya hidup dan hiburan di Petaling Jaya.

Dianjurkan oleh Toyota Motor Asia (TMA), kejohanan ini menghimpunkan antara pelumba simulator terbaik di rantau ini dengan penyertaan pasukan dari lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina. Para peserta akan berentap menggunakan platform Gran Turismo 7 menerusi konsol Sony PlayStation bagi merebut gelaran juara individu dan berpasukan.

Pasukan Malaysia tahun ini akan diketuai oleh Taj Izrin Aiman Taj Madira, Nabil Azlan dan Ethen Low, yang masing-masing mempunyai pencapaian membanggakan dalam arena perlumbaan simulator.

Taj Izrin Aiman merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia yang masih memegang gelaran tersebut, juara TGR Asia 2024 dan juara TGR Malaysia eRacing sebanyak empat kali. Penyertaan kali ini merupakan penampilan ketujuh beliau mewakili Malaysia dalam kejohanan serantau berkenaan.

“ kemenangan pingat emas Sukan Asia pastinya memberikan suntikan keyakinan yang besar kepada saya menjelang Kejohanan TGR Asia Esport GT 2026, selain peluang sekali lagi mewakili Malaysia. Walaupun telah mencapai kejayaan tersebut, saya tetap menghadapi setiap pertandingan secara berasingan kerana sedar akan berdepan dengan antara pelumba simulator terbaik di Asia Tenggara.

“Matlamat saya sudah tentu untuk memberikan prestasi terbaik dan berharap dapat merampas semula gelaran individu yang pernah saya menangi pada 2024, selain membantu Malaysia meraih gelaran juara keseluruhan berpasukan,” kata Taj Izrin Aiman, 27.

Memperkukuh barisan pasukan negara, Nabil pula bakal memanfaatkan momentum kejayaannya selepas baru-baru ini dinobatkan sebagai pemenang pingat emas pada Kejohanan Sukan Permotoran Asia Pasifik bagi memburu gelaran sulung Kejohanan TGR Asia.

Pelumba berusia 24 tahun itu turut merupakan juara TGR Malaysia eRacing Pro 2025 dan penerima anugerah E-Motorsport Competitor of the Year.

Beliau berkata, “Sebagai pelumba simulator yang pernah diberikan peluang oleh UMW Toyota Motor untuk beralih ke perlumbaan sebenar, saya berjaya meraih gelaran Rookie dan Sporting Class dalam Vios Challenge. Kini, matlamat peribadi saya adalah untuk kembali ke arena perlumbaan simulator dan memenangi gelaran kejuaraan sambil mewakili Toyota.”

Melengkapkan trio juara negara ialah Low yang berusia 16 tahun. Beliau bakal membuat penampilan antarabangsa kali kedua dengan mewakili Malaysia selepas menamatkan saingan yang mencabar dalam penampilan sulungnya di Kejohanan Sukan Permotoran Asia Pasifik, apabila tersingkir pada peringkat separuh akhir.

“Merupakan satu penghormatan besar untuk mewakili bukan sahaja Malaysia, malah UMW Toyota Motor dalam kejohanan berprestij ini. Saya sedar bakal bersaing dengan pelumba simulator yang sangat kompetitif dan berpengalaman, namun saya yakin sekiranya dapat mengekalkan ketenangan dan fokus, peluang saya untuk muncul juara adalah sama seperti peserta lain,” kata Low yang merupakan juara TGR Malaysia eRacing Junior 2025.

Low ketika ini turut merupakan antara pelumba Rookie yang menyertai Vios Challenge 2026 di bawah Program Pembangunan Bakat Muda GAZOO Racing-UMW Toyota Motor. Bakat, ketabahan dan kesungguhannya jelas membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencipta kejayaan, termasuk dalam perlumbaan sebenar apabila beliau kini berkongsi kedudukan pertama dalam kategori Rookie dengan berbaki dua perlumbaan sahaja.

Kejohanan perlumbaan simulator serantau Toyota ini mula diperkenalkan pada 2018 dengan nama GR Velocity Esports Championship. Dari 2019 hingga 2020, acara tersebut dikenali sebagai Toyota GR Supra GT Cup sebelum dijenamakan semula sebagai GR GT Cup Asia Championship pada 2021.

Bagi edisi tahun ini, yang merupakan penganjuran kali kesembilan berturut-turut, kejohanan tersebut tampil dengan identiti baharu sebagai TGR Asia Esport GT Championship.

Kejohanan ini bertujuan mengenal pasti dan membangunkan bakat terbaik dalam kalangan pelumba simulator di rantau ini. Sepanjang penganjurannya, para pemenang telah diberikan peluang untuk mewakili Asia pada peringkat Akhir Dunia.

Perlawanan akhir Asia tahun ini menyaksikan para pelumba berentap dalam perlumbaan selama 25 minit di litar Fuji Speedway dengan menggunakan jentera Super Formula.

Turut dianjurkan ialah perlumbaan Esports Team Race yang menyaksikan para peserta mengemudi jentera GR Supra Racing Concept dalam perlumbaan selama 20 minit di laluan Grand Valley Highway – 1.

Ikuti perkembangan terkini serta segala maklumat berkaitan Toyota GAZOO Racing Malaysia menerusi saluran rasmi berikut:

Untuk maklumat lanjut, layari www.toyota.com.my/en/tgrmalaysia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *