(HIBURAN) SOMA KEMBALI DENGAN SINGLE TERBAHARU ‘NPD’, BAWA MESEJ KESEDARAN KESIHATAN MENTAL BERSAMA BARISAN PEMUZIK LEGENDA

Spread the love

KUALA LUMPUR, 12 November 2026 – Selepas memperkenalkan dua single terdahulu, penyanyi dan penulis lirik tempatan, Soma, kembali memperkukuh perjalanan seninya menerusi pelancaran single ketiga berjudul ‘NPD’, sebuah karya yang bukan sekadar mengetengahkan keindahan muzik, malah membawa mesej kesedaran mengenai isu kesihatan mental dalam masyarakat.

Pelancaran rasmi yang berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada jam 3.00 petang hari ini menyaksikan Soma memperkenalkan karya terbaharunya hasil ciptaan komposer Belle Fatah, manakala liriknya ditulis sendiri oleh beliau.

Mengangkat isu Narcissistic Personality Disorder (NPD) atau Gangguan Personaliti Narsisistik, lagu ini mengetengahkan realiti kesan tingkah laku dan gangguan personaliti terhadap individu serta orang di sekeliling mereka. Menerusi pendekatan muzik dan penulisan lirik yang bersifat reflektif, Soma berharap karya ini dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami isu kesihatan mental dengan lebih mendalam, di samping membina sikap empati terhadap mereka yang berhadapan dengan situasi sedemikian.

Lebih daripada sekadar sebuah karya hiburan, ‘NPD’ menjadi medium penyampaian mesej tentang kepentingan mengenali tingkah laku yang memberi kesan kepada kesejahteraan emosi, memahami batasan diri serta mendapatkan sokongan dan bantuan yang sewajarnya.

Persembahan Eksklusif Bersama Barisan Pemuzik Legenda

Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan secara langsung oleh Soma yang menyampaikan empat buah lagu daripada album EP Perjalanan, termasuk single terbaharunya, ‘NPD’.

Lebih istimewa, persembahan tersebut diiringi barisan pemuzik berpengalaman dan nama besar dalam industri muzik tempatan yang memberikan sentuhan tersendiri kepada persembahan berkenaan.

Barisan pemuzik yang terlibat ialah:

  • Gitar Utama: Man Keedal
  • Gitar Kedua: Ujang
  • Bass: Eddie
  • Drum: Adam Maulana
  • Piano: Belle Fatah

Gabungan pengalaman dan keunikan muzik setiap pemuzik menjadikan persembahan tersebut antara tarikan utama majlis, sekali gus memperlihatkan kesungguhan Soma dalam menghasilkan karya yang mengutamakan kekuatan vokal, susunan muzik dan penghayatan lagu.

Sokongan Tokoh Industri dan Penggiat Seni

Majlis pelancaran dan sidang media berkenaan turut mendapat perhatian apabila dihadiri beberapa tokoh industri seni, wakil sektor perniagaan serta tetamu jemputan.

Antara yang hadir ialah Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia, Dato’ Khadijah Ibrahim; Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez; serta Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia, Datuk Nor Hasnal bin Hashmi.

Turut hadir ialah wakil pengurusan tertinggi Sony Music Entertainment, rakan media, rakan artis serta peminat yang memberikan sokongan terhadap perkembangan kerjaya seni Soma.

Kehadiran barisan tetamu ini mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha penggiat muzik tempatan dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja mempunyai nilai komersial, malah membawa mesej dan pengaruh positif kepada masyarakat.

Meneruskan Perjalanan Seni Menerusi Album EP ‘Perjalanan’

Pelancaran ‘NPD’ turut menjadi kesinambungan kepada perjalanan seni Soma selepas kejayaan memperkenalkan dua single terdahulu, iaitu ‘Aku Tetap Raya’ dan ‘Bila Tahmid Bergema’.

Kedua-dua karya tersebut melengkapkan perkembangan portfolio muzik beliau selepas pelancaran album EP berjudul Perjalanan pada 26 Disember 2024.

Album EP tersebut mempunyai nilai sentimental tersendiri dalam sejarah perjalanan muzik Soma kerana memuatkan antara karya terakhir ciptaan maestro muzik tanah air, Allahyarham Datuk S. Atan, yang meninggal dunia pada November 2024.

Menerusi album berkenaan, Soma turut mencipta satu kenangan istimewa apabila diberikan penghormatan menyampaikan lagu ciptaan Allahyarham sebelum pemergiannya, sekali gus menjadikan karya tersebut sebahagian daripada legasi seni yang cukup bermakna.

‘NPD’ Karya yang Dekat dengan Jiwa

Mengulas mengenai penghasilan single terbaharunya, Soma menyifatkan ‘NPD’ sebagai sebuah karya yang mempunyai hubungan rapat dengan dirinya, khususnya dalam menyampaikan mesej berkaitan kesedaran kesihatan mental.

“‘NPD’ merupakan sebuah karya yang sangat dekat dengan hati saya. Isu kesihatan mental, khususnya gangguan personaliti narsisistik, merupakan perkara yang wujud dalam masyarakat tetapi masih kurang diketengahkan melalui medium seni seperti lagu.

“Menerusi lirik yang saya hasilkan sendiri, saya berharap dapat membuka mata masyarakat tentang kesan gangguan ini terhadap individu yang mengalaminya serta orang di sekeliling mereka. Pada masa sama, saya mahu menyampaikan mesej tentang kepentingan memahami situasi, mendapatkan sokongan dan mencari jalan yang sewajarnya untuk menghadapinya.

“Ditambah pula dengan sentuhan melodi Belle Fatah serta sokongan pemuzik hebat seperti Man Keedal, Eddie Def Gab C, Lola XPDC dan Belle sendiri, saya berharap lagu ini mampu menyentuh jiwa pendengar dan meninggalkan kesan yang mendalam,” katanya.

‘NPD’ Kini di Semua Platform Penstriman Digital

Single terbaharu ‘NPD’ kini boleh didengari bermula 12 November 2026 menerusi pelbagai platform penstriman digital utama termasuk YouTube, Spotify dan Apple Music.

Menerusi karya ini, Soma berharap dapat terus mengembangkan perjalanan seninya dengan menghasilkan muzik yang mempunyai identiti tersendiri, selain menjadikan lagu sebagai medium untuk menyampaikan mesej, mencetuskan kesedaran dan mendekatkan masyarakat kepada isu yang wajar diberikan perhatian.

Media Sosial Rasmi Soma:

  • Facebook: Soma.Official
  • Instagram: @soma.official.one
  • TikTok: Soma Official
  • YouTube: SOMA Official


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *