(SUKAN) Feel Good Run 2013

IMG_6800gmo

Saluran Ceria Anda, ntv7 hari ini meraikan ulang tahun ke 15-nya di larian amal – Feel Good Run 2013 – yang merupakan kali ketiga dianjurkan stesen TV itu dengan seramai 5,700 pelari membanjiri Sri Pentas, Bandar Utama seawal 5.30 pagi. Acara yang merupakan larian terbesar di Bandar Utama itu turut diserikan dengan kehadiran YB Tuan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang turut melepaskan para peserta buat tiga kategori larian 15KM, 7KM dan 2.3KM. Turut hadir mengiringi beliau adalah para pengurusan tertinggi Media Prima Berhad – Encik Ahmad Izham Omar (Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV), Datuk Kamal Khalid (Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Perkongsian Kumpulan), Shareen Ooi (Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, Media Prima), Seelan Paul (Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio dan Ketua Pegawai Strategi, Rangkaian TV), Airin Zainul (Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV), Sofwan Mahmood (Pengurus Besar Kumpulan, Operasi Berita, Rangkaian TV dan Radio) dan Dorothy Empam (Pengurus Besar Kumpulan Khidmat Pelanggan).

feel goodsmall

Turut memberi kelainan kepada acara larian itu adalah para peserta selebritinya yang mengambil bahagian. Antara selebriti yang menyokong larian amal itu adalah Fara Fauzana, Soo Wincci, Low Ngai Yuen, Thanuja Ananthan, Aishah Sinclair, Sasha Bashir, Charles Mohan, Jasmine Abu Bakar, Adam Zain, Baki Zainal, Debbie Goh, Frederick Lee, Leslie Chai dan Adrian Tan.

Bagi mereka yang suka bergambar bersama karakter kegemaran mereka, acara itu juga akan membawakan maskot yang amat sinonim dengan saluran itu, Doraemon dan Nobita selain maskot terbaru ntv7 sendiri yang dinamakan Yuan Yuan. Maskot lain yang bakal muncul di tengah-tengah kesibukan acara larian itu adalah Pow Pow dari 8TV, karakter terkenal Line, Brown dan Cony, selain daripada maskot Canimals, Supertots,  Boboiboy dan Bola Kampung.

Pastinya peserta larian akan terus bergembira di garisan penamat di mana pelbagai aktiviti akan diadakan di Central Park, Bandar Utama. Pelbagai gerai boleh dikunjungi termasuklah gerai oleh rakan acara itu seperti Fly FM, Hot FM dan one FM yang turut menyokong acara itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti meraih kutipan amal tambahan buat benefisiari terpilih larian itu dengan menjual pelbagai barangan eksklusif, buah-buahan serta minuman botol siap The Coffee Bean. Portal Video No.1 Malaysia, Tonton juga tidak ketinggalan menjual aiskrim untuk usaha amal itu. Pelbagai lagi gerai aktiviti yang boleh dikunjungi akan dikelolakan oleh New Straits Times Press, Brooks, Celebrity Fitness, Kidzania, Love On Wheels dan Original Bootcamp.

Sambutan di Central Park, Bandar Utama dimulakan dengan persembahan Gendang 24 Musim oleh Sekolah Tinggi Chong Hwa di pentas utama diikuti ucapan ringkas oleh Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV, Airin Zainul.

 “Larian Feel Good ntv7 ternyata berjaya mencapai sasarannya sejak dianjurkan pada tahun 2011. Tahun ini, Feel Good Run 2013 berjaya memecahkan pelbagai rekod termasuklah jumlah rekod pelari yang telah bertambah. Pendaftaran buat larian itu tahun ini juga ditutup seawal 7.5 hari – rekod terbaik kami buat masa ini,” kata Airin.

Feel Good Run 2013 juga berjaya mengutip sejumlah RM208,200 daripada hasil yuran pendaftaran para peserta dimana ia akan dibahagikan kepada empat penerima sumbangan yang terpilih pada tahun ini. Wakil yang hadir menerima replika cek tahun ini adalah Dato’ Hatijah Ayob, Presiden Persatuan Penyakit Jarang Jumpa, En. Arfan bin Sulaiman, Pengarah Bahagian Kanak- Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menerima bagi pihak Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cik Christine Chin, Pengerusi SPCA Selangor serta Cik Abigail Peter, Eksekutif Perhubungan Awam dari Hospis Malaysia.

 “Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pelari, rakan-rakan acara yang terlibat serta para penyokong yang telah menjayakan kutipan derma buat larian ini. Larian amal ini juga sebenarnya telah berjaya mengutip hampir keseluruhan RM1 juta buat 12 buah benefisiari terpilih sejak kali pertama diperkenalkan pada tahun 2011,” tambah Airin.

Tumpuan acara pada hari itu juga adalah apabila ntv7 meraikan “15 Feel Good Years” dengan sesi pemotongan kek bagi melengkapkan sambutan ulang tahun saluran itu. Turut berkongsi kegembiraan acara itu adalah pelari dan penonton setia, Brenda Ong yang turut meraikan hari lahirnya pada 7 Julai. Apatah lagi kejutan istimewa itu dirancang bersama ntv7 apabila nama peserta itu tiba-tiba diumumkan oleh pengacara Guibo dan Adrian Jalaludin. Brenda turut sama ke pentas utama bersama para selebriti, maskot dan pengurusan tertinggi Media Prima Berhad. Selain itu enam orang lagi pelari yang juga memiliki tarikh lahir serupa juga berkongsi saat gembira itu bersama ntv7.

“Ianya merupakan 15 tahun yang amat bermakna bagi kami. ntv7 ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penonton yang setia menyokong saluran, rancangan dan acara kami. ntv7 akan terus menawarkan pelbagai rancangan menarik dan hebat serta acara yang penuh kelainan bagi menceriakan lagi para penonton Saluran Ceria Anda,” kata Airin.

Sambutan diteruskan dengan ratusan belon dijatuhkan sebagai gimik cabutan bertuah di mana pemenang bertuah akan mendapat belon khas dengan mesej istimewa. Antara hadiah menarik yang menjadi milik mereka adalah sesi latihan peribadi percuma oleh Celebrity Fitness, baucar penginapan hotel oleh Grand Lexis Port Dickson, bakul berisi buah-buahan eksklusif oleh MBG, kasut dan pakaian sukan oleh Broks, patung koleksi oleh LINE, lawatan ke Legoland oleh AM Leisure dan banyak lagi.

Sementara itu, pemenang cabaran “30-Days Challenge” sebuah peraduan khas sempena larian itu turut menerima hadiah utama iPad mini. Gary Hor dari Pulau Pinang berjaya memenangi cabaran itu setelah memuat naik gambar dan berkongsi kisah menarik menurut tema yang ditetapkan setiap hari menerusi aplikasi Instagram dan ruangan Twitter.

Persembahan khas oleh kumpulan pancaragam dari negara Filipina “Citizen’s Brigade Band of Dasmarinas” juga menaikkan lagi semangat acara Feel Good Run 2013.

Pasukan Berita dan Hal Ehwal Semasa ntv7 juga akan menerbitkan sebuah rancangan “Feel Good Run 2013 Special” yang akan disiarkan pada 18 Julai 2013 jam 7.30 malam yang menampilkan kandungan menarik daripada acara larian itu. Dua video viral juga telah dihasilkan khas buat Feel Good Run 2013 menampilkan Ratu Cantik Malaysia 2009 yang juga aktivis haiwan, Thanuja Ananthan yang berkongsi kisah tujuan lariannya. Video ini boleh dilayari di:

http://www.youtube.com/watch?v=k_4nVX5uV20 and

http://www.youtube.com/watch?v=adbLfGZ8BvE.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *