(SEMASA) MODEL TERBARU CFMOTO RACING: 675SR- R SUDAH DI PASARAN LOKAL.

Spread the love

SELANGOR, 1 NOVEMBER 2024 – Bersempena dengan pembukaan rasmi CFMOTO Flagship Store Sendayan Motor (Sepang) Sdn Bhd, sebuah jentera dengan 3 silinder dari keluarga ‘Sport’ CFMOTO iaitu 675SR-R turut dilancarkan dengan jayanya dan telah mendapat maklum balas positif dari para pengunjung yang hadir.
Dengan harga bermula dari RM37,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), ia hadir dengan reka bentuk aerodinamik dan padat dengan teknologi canggih yang mampu meningkatkan keyakinan dan keselamatan penunggang semasa di jalan raya. Peminat motosikal ini boleh mendapatkannya pada pengedar-pengedar sah CFMOTO Malaysia.

Antara ciri unik yang terdapat pada 675SR-R ini adalah sistem penyejukan brek yang berfungsi memastikan brek dari mengalami panas terlampau dengan menyalurkan angin terus ke brek cakera dan mengurangkan risiko brek kehilangan cengkaman.

Selain dari itu, ia turut dilengkapi dengan sistem ABS dwi-saluran yang menstabilkan motosikal semasa brek mengejut pada kelajuan tinggi dan Kawalan Cengkaman (TC) yang boleh dilaras pada dua tahap untuk mencegah kegelinciran jika pendikit dipulas dengan buas. Brek hadapan diperkasakan dengan penggunaan 4 pot caliper dan pot caliper tunggal pada brek belakang.

Dengan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) pada 675SR-R ini, penunggang tidak perlu lagi risau sekiranya tekanan angin pada tayar kurang ataupun terlampau tinggi dan ini semestinya akan menjadikan tunggangan lebih selamat dan selesa.

Bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan penunggang,
Sistem Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) akan berfungsi apabila 675SR-R ini dihentikan secara mengejut atau semasa kecemasan dengan mengelipkan kedua-dua lampu isyarat secara pantas sebagai petanda amaran visual.

Enjin 3 silinder sebaris DOHC dengan sejukan cecair yang dipasang pada 675SR-R mampu menghasilkan kuasa maksimum 70kw/11,000 rpm dan tork maksimum pada 70Nm/8,250rpm. Ukuran piston dan lejangnya adalah 72mm x 55.2mm dengan kadar nisbah mampatan 11.5. Tangki minyak sebesar 15 liter mampu memberi pulangan perbatuan yang tinggi dengan kelajuan yang bersesuaian.

‘Slipper’ klac dengan fungsi istimewa ‘Quick shifter’ menawarkan penukaran gear atas dengan lebih lancar tanpa perlu menarik klac atau menutup pendikit semasa motosikal sedang bergerak dan ini membuatkan 675SR-R ini lebih seronok ditunggang.

Pada bahagian meter, ia dilengkapi dengan skrin Transistor Filem Nipis (TFT) yang memudahkan bacaan meter pada waktu siang ataupun dalam keadaan silau dan dua port pengecasan USB jenis C dan A memastikan peranti anda sentiasa mempunyai bateri yang mencukupi.

CFMOTO 675SR-R ini menggunakan suspensi jenis Redaman Hidraulik Boleh Laras pada bahagian hadapan dan Redaman Boleh Laras pada bahagian belakang yang mampu menyerap hentakan dan gegaran dengan baik di atas permukaan jalan yang kurang elok.

Motosikal ini dipasang dengan tayar jenama CST model S3 bersaiz 120/70 R17 pada roda hadapan dan saiz 180/55 R17 pada roda belakang, yang memperoleh pengiktirafan ISO9001, pensijilan DOT (Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat), E Mark, TS 16949 dan Anugerah Jenama Terkenal China.

Tapak roda sepanjang 2,020mm, kelebaran badan 728mm, ketinggian 1,105mm dan ketinggian tempat duduk pada 810mm adalah ideal untuk penunggang pelbagai saiz dan berat keseluruhan pada 195kg menempatkan 675SR-R dalam kategori motosikal saiz sederhana.

Pemilik motosikal yang memiliki peranti T-Box juga dapat menggunakan pelbagai aplikasi pintar seperti CFMOTO Ride App yang mempunyai fungsi-fungsi yang menarik seperti My Ride, pengesanan lokasi sebenar, sistem peringatan dan sebagainya.

Dengan setiap pembelian CFMOTO 675SR-R, para pemilik boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta pembelian alat ganti tulen atas talian dari CFMOTO Malaysia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *