(SEMASA) AFFIN MEMETERAI KERJASAMA DENGAN HERITAGE MOTOR EXCHANGE ASIA, PASARAN KERETA KOLEKSI PERTAMA SEUMPAMANYA DI ASIA

Spread the love

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menjadi tuan rumah edisi sulung Heritage Motor Exchange Asia, sebuah platform pasaran kereta klasik dan koleksi yang akan berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026 di Merdeka Hall, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Acara itu akan mempamerkan sehingga 50 buah kereta klasik dan koleksi, selain menghimpunkan pengumpul kereta, peminat automotif serta pemain industri dari seluruh rantau ini.

Dibawakan oleh AFFIN Group (“AFFIN” atau “Kumpulan”), acara bertemakan “When Passion Meets Acquisition” dan diposisikan sebagai “High-Octane October Sale” itu memperkenalkan platform berasaskan data yang bertujuan meningkatkan ketelusan serta keyakinan dalam pasaran kereta klasik dan koleksi.

Berbeza daripada pameran automotif konvensional, Heritage Motor Exchange Asia akan memperkenalkan sistem penilaian Concours 100 mata bagi menilai keadaan fizikal kenderaan dan ketulenan komponennya.

Penilaian akan dijalankan oleh panel hakim bebas yang berpengalaman dengan kerjasama rakan industri dari Eropah. Markah akhir kemudiannya akan dipadankan dengan data transaksi pasaran terdahulu bagi menentukan julat nilai dagangan saksama yang diperakui.

Acara ini akan menampilkan enam kategori yang merangkumi evolusi reka bentuk automotif, iaitu Vintage, Classic, Modern Classic, Contemporary Exotic, Luxury dan Performance Collector Cars.

Lima tarikan utama Heritage Motor Exchange Asia

Berlangsung bersempena ulang tahun ke-40 WTC KL, acara ini akan menampilkan lima segmen utama:

1. Concours de Vente

Pameran terpilih yang menghimpunkan kereta koleksi pilihan untuk menjalani penilaian secara langsung bagi menentukan keadaan kenderaan yang diperakui serta julat harga pasaran.

2. Concours d’Elegance

Segmen yang meraikan seni reka automotif, ketepatan sejarah dan kecemerlangan kerja pemulihan, dengan pengiktirafan diberikan kepada kenderaan koleksi berdasarkan mutu pertukangan serta nilai warisannya.

3. Private Consignment Paddock

Platform komersial premium yang membolehkan pengumpul membeli dan menjual kenderaan yang telah disahkan melalui kaedah konsainan dengan tahap ketelusan lebih tinggi.

4. Back From the Future

Segmen yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dengan pengalaman kereta koleksi menerusi penampilan Mornine, robot humanoid pintar daripada AiMOGA, yang akan bertindak sebagai salah satu penyampai maklumat kenderaan di lokasi.

5. Historic Motorsport – Icons are Forever

Pameran kereta lumba dan rali ikonik yang membawa pengunjung menelusuri sejarah sukan permotoran sejak era 1970-an.

Setiap kenderaan yang mengambil bahagian akan menerima Sijil Penilaian rasmi selepas melalui proses penggredan yang ketat. Bagi kenderaan Concours terpilih yang ditawarkan untuk jualan, julat harga yang dikira akan dipaparkan pada cermin hadapan bagi membantu pembeli membuat perbandingan dan rundingan berdasarkan rujukan yang lebih objektif.

Memperluas pengalaman perbankan peribadi bersama AFFIN

Sebagai Rakan Pembentang (Presenting Partner), penglibatan AFFIN Group mencerminkan tumpuannya untuk membina hubungan bermakna dengan individu bernilai tinggi, usahawan dan pemilik perniagaan.

Menerusi AFFIN DIVENTIUM Private Banking, segmen perbankan swasta yang telah menerima pengiktirafan anugerah, kumpulan itu menawarkan pengalaman pengurusan kekayaan yang diperibadikan, merangkumi penyelesaian kewangan khusus, kepakaran pelaburan dan keupayaan pengurusan kekayaan, selain keistimewaan gaya hidup eksklusif yang disesuaikan dengan minat serta aspirasi setiap pelanggan.

Sebagai pengiktirafan terbaharu, AFFIN DIVENTIUM Private Banking telah menerima anugerah Outstanding Private Bank Asia Pacific pada Private Banker International Global Wealth Awards 2026.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, Heritage Motor Exchange Asia merupakan tambahan menarik kepada landskap kereta koleksi Malaysia dan pihaknya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada edisi sulung acara tersebut.

“Bagi kebanyakan pengumpul, kereta klasik mewakili minat yang dipupuk selama bertahun-tahun, penghargaan terhadap mutu pertukangan dan legasi untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

“Di AFFIN, kami memahami bahawa minat pelanggan melangkaui portfolio kewangan mereka. Dengan memanfaatkan kepakaran merentas Kumpulan, kami berhasrat menyokong aspirasi kewangan pelanggan sambil membuka peluang untuk mereka mengejar perkara yang paling bermakna dalam kehidupan,” katanya.

Memudahkan urusan pembelian dan pemilikan kenderaan

Program ini turut disokong oleh kehadiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PUSPAKOM bagi membantu urusan berkaitan penilaian pembiayaan, pemeriksaan kelayakan jalan raya kenderaan, pertukaran hak milik, pengeluaran cukai jalan dan insurans.

Bagaimanapun, kelulusan pembiayaan adalah tertakluk pada syarat kelayakan dan penilaian yang berkenaan.

Menambah nilai sejarah kepada acara tersebut ialah penyertaan Cycle & Carriage sebagai Rakan Warisan Utama (Anchor Heritage Partner), bersempena ulang tahun ke-75 hubungannya dengan Mercedes-Benz di Malaysia dan Singapura.

Sejarah syarikat itu, yang bermula sejak pengenalan jenama berlambang bintang tiga penjuru berkenaan ke Tanah Melayu dan Singapura, akan turut diketengahkan kepada pengunjung.

Dikurasi oleh Andrew Suresh, yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam sektor kereta warisan, acara tiga hari ini dianjurkan oleh Collectors’ Consortium dan bakal menghimpunkan pengumpul dari rantau ini, pelabur bernilai tinggi serta peminat automotif.

Pengunjung turut berpeluang menyertai sesi pendidikan mengenai pemeriksaan kenderaan dan bagaimana kecacatan komponen boleh mempengaruhi penilaian harga pasaran.

Menurut Andrew Suresh, Kurator Heritage Motor Exchange Asia, pasaran kereta koleksi Asia Tenggara sekian lama berdepan cabaran dari segi ketelusan harga dan akses kepada data kenderaan yang boleh dipercayai.

“Dengan menggabungkan penilaian kenderaan yang ketat berdasarkan sistem 100 mata bersama data transaksi pasaran terdahulu, kami berhasrat mewujudkan penanda aras penilaian yang jelas dan boleh dipercayai.

“Pendekatan ini akan membantu pembeli membuat keputusan pembelian berdasarkan maklumat yang lebih tepat, menyediakan asas penetapan harga yang telus kepada penjual serta meningkatkan kepercayaan dan penghargaan terhadap kereta koleksi di seluruh Asia,” katanya.

Maklumat acara dan tiket

Heritage Motor Exchange Asia akan dibuka pada Jumaat, 23 Oktober 2026, dengan sesi pratonton eksklusif untuk pengumpul dan media dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari, sebelum dibuka kepada orang awam sehingga pukul 10 malam.

Pada Sabtu dan Ahad, 24 dan 25 Oktober, waktu operasi adalah dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Harga tiket adalah seperti berikut:

  • Dewasa: RM23

  • Pelajar: RM16

  • Warga emas dan orang kurang upaya (OKU): RM13

  • Pakej berkumpulan untuk tiga orang: RM66

  • Kanak-kanak berumur bawah 12 tahun: Percuma

Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi CloudJoi – Heritage Motor Exchange Asia 2026 atau di lokasi acara.

Pengunjung turut dijemput mengunjungi reruai AFFIN di Heritage Motor Exchange Asia untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penyelesaian pengurusan kekayaan dan keistimewaan gaya hidup yang ditawarkan oleh Kumpulan.

Untuk maklumat lanjut, layari www.hme.asia atau ikuti Heritage Motor Exchange Asia di Instagram (@heritagemotorexchangeasia) dan Facebook (Heritage Motor Exchange Asia).


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *