Edisi pertama KL Street Jam 2025 yang berlangsung malam tadi di Laman Jejak Pahlawan, Bulatan Dato’ Onn telah membuka tirai dengan penuh warna-warni sempena sambutan bulan kemerdekaan negara. Bertemakan “Merdeka Street Vibes”, program yang diterbitkan oleh Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini berjaya menyuntik semangat patriotik melalui gabungan muzik, tarian dan seni budaya dalam suasana santai dan terbuka.
Persembahan malam tersebut menyaksikan kehangatan pentas dimeriahkan dengan penampilan istimewa daripaa Maman (Teachers Pet) yang memukau penonton dengan lagu-lagu hitsnya seperti Kasih Ku Pinjam Wajahmu, Cinta Kita, Warisan Wanita Terakhir, dan ini merupakan penampilan pertama beliau setelah bercuti sekian lama membina kembali semangat setelah kehilangan isteri beliau, Fayza Mohamed Amin yang meninggal dunia akibat barah pada tahun lalu.
Haiza yang semestinya tampil bertenaga membawakan lagu-lagu seperti Penasaran, Tanah Pusaka, dan versi baharu Dag Dig Dug 3.0. Tidak ketinggalan, persembahan daripada Dr. Kronik turut mencuri perhatian dengan lagu-lagu seperti Hidup Hidup Dibakar, Zero To Hero dan Fanatik.
Suasana malam turut dimeriahkan dengan celoteh mesra daripada pengacara, Nadia Hasnan, yang berjaya menghidupkan suasana dengan interaksi santai bersama penonton. Persembahan turut diselang-selikan dengan elemen koreografi tarian patriotik berwarna-warni oleh Artis Budaya DBKL, diiringi oleh Kombo Budaya DBKL yang mempersembahkan susunan muzik bertemakan semangat kemerdekaan negara.
Pentas yang berlatarbelakangkan lokasi bersejarah dalam Koridor Warisan Kuala Lumpur ini memberikan nilai tambah kepada program, seiring dengan aspirasi DBKL untuk menjadikan Laman Jejak Pahlawan sebagai ruang tetap seni komuniti dan budaya bandar yang merakyat.
KL Street Jam edisi Merdeka ini telah membuktikan bahawa acara seni sebegini mampu menjadi platform menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana yang inklusif dan penuh apresiasi terhadap seni tempatan.
Siri akan datang akan berlangsung pada 23 Ogos 2025, pada jam 8.30 malam di lokasi ini dengan barisan artis hebat yang bakal ditentukan kelak.
