(SEMASA) Blue Cap Run 2025 kumpul RM700,000 bagi penyelidikan dan penjagaan pesakit kanser prostat

Spread the love

KUALA LANGAT, 7 November 2025 — Semangat perpaduan, ketahanan dan kasih sayang menjadi tumpuan utama dalam Blue Cap Run 2025, acara yang berjaya menghimpunkan 2,500 peserta termasuk pesakit kanser yang telah pulih, rakan korporat, pakar perubatan serta orang awam semuanya bersatu untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap kanser prostat.

Acara ini dianjurkan bersama oleh Yayasan MR D.I.Y., badan amal Kumpulan MR D.I.Y., dan Universiti Malaya (UM). Bertempat di Gamuda Cove, larian ini disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, yang memuji penganjur atas usaha mereka memperjuangkan kesedaran kanser sambil memupuk semangat komuniti dan gaya hidup sihat.

Peserta menyertai dua kategori iaitu Larian Terbuka 5KM dan Larian Pesakit Kanser 1KM, kedua-duanya bertujuan menghargai pejuang kanser serta menggalakkan penyertaan inklusif. Pemandangan lautan topi biru menjadi simbol penghormatan penuh makna terhadap perjuangan menentang kanser prostat.

Melalui sokongan dan sumbangan kolektif, acara ini berjaya mengumpul lebih RM700,000, yang akan disalurkan kepada Dana Amanah Kanser Urologi Universiti Malaya (UCTF) bagi menyokong penyelidikan kanser prostat, penjagaan pesakit, serta program kesedaran awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin, menzahirkan penghargaan atas sambutan menggalakkan itu:

“Kami amat berbesar hati dengan sambutan luar biasa terhadap penyertaan sulung Yayasan MR D.I.Y. dalam Blue Cap Run. Acara hari ini meraikan kehidupan, keberanian dan kasih sayang – khususnya untuk para pesakit kanser yang terus berjuang. Kerjasama kami dengan Universiti Malaya mencerminkan komitmen berterusan terhadap inisiatif kesihatan yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.”

Acara ini diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah, di mana para pemenang menerima baucar tunai dan trofi, manakala sebahagian peserta bertuah membawa pulang hadiah cabutan bertuah. Namun kemenangan sebenar dimiliki oleh semua yang berlari bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi sebagai tanda solidariti bersama para pejuang kanser.

Kejayaan Blue Cap Run 2025 membuktikan kekuatan kerjasama antara sektor swasta, akademia dan komuniti memperlihatkan bagaimana tindakan bersama dapat memupuk kesedaran, empati dan perubahan positif di seluruh negara. Ia menjadi peringatan bermakna terhadap misi utama acara ini memerangi kanser prostat.

Untuk maklumat lanjut mengenai program kelestarian dan komuniti Yayasan MR D.I.Y., layari laman sesawang www.mrdiy.com atau ikuti MR D.I.Y. di Facebook, Instagram dan TikTok.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *