KUALA LUMPUR, 02 Disember 2025: Dalam landskap filem Malaysia yang jarang menyentuh tema kumpulan pelarian, DIGNIFIED: The Faisal Cup Story muncul sebagai karya dokumentari yang melangkaui konvensi.
Ia mengangkat kisah sekumpulan anak-anak pelarian yang berani menyimpan impian hampir mustahil untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebuah simbol prestij yang tidak pernah terbuka kepada mereka sebelum ini.
Namun di sebalik impian besar itu tersingkap sebuah naratif yang jauh lebih mendalam: kisah tentang identiti, dan keinginan universal manusia untuk diterima sebagai insan bermaruah.
Kisah Yang Tidak Pernah Didokumentasikan Sebelum Ini
Melalui perjalanan yang dirakam sepanjang satu tahun, DIGNIFIED:The Faisal Cup Story meneroka sisi kehidupan sekumpulan anak muda pelarian dan kurang berkemampuan. Dengan disiplin yang mengagumkan, mereka berlatih demi peluang yang hanya hadir sekali seumur hidup.
Perjalanan mereka menjadi bukti bahawa anak muda pelarian juga mampu mencipta kejayaan sekiranya diberi peluang oleh masyarakat.
Melalui perspektif seorang guru dan jurulatih Malaysia, Jeremy Chin, bersama dua remaja pelarian – Kurban Ali, anak pelarian Rohingya, dan Ezra Van Lian Ceu dari komuniti Chin Myammar – dokumentari ini menawarkan potret yang intim, jujur dan menyentuh hati tentang persahabatan, pengorbanan dan nilai maruah.
Di Sebalik Lensa: Debut Seorang Pengarah Dengan Sentuhan Kewartawanan
Filem ini menandakan karya sulung Hazel Desmond sebagai pengarah. Sebagai penyampai berita yang berpengalaman lebih 15 tahun, Hazel membawa sensitiviti kewartawanan ke dalam dunia dokumentari dengan membenarkan kamera menangkap detik-detik yang tidak dibuat-buat, rapuh, dan sarat emosi.
Kelembutan lensa Hazel ditampung kemas oleh kepakaran Penerbit Eksekutif, Steve Chao, iaitu pengkarya dua kali tercalon Anugerah Emmy yang terkenal dengan naratif kemanusiaan mendalam. Hasilnya ialah sebuah karya visual yang matang, elegan dan berani menghadapi realiti tanpa sensasi murahan.
Naratif Malaysia: Antara Ihsan & Dasar
DIGNIFIED: The Faisal Cup Story tampil sebagai cermin yang tidak memihak dalam memaparkan aspirasi anak-anak pelarian dengan empati, tanpa menafikan kerumitan dasar dan realiti di lapangan.
“Filem ini tidak melihat mereka sebagai mangsa,” kata Hazel. “Ia meraikan keberanian mereka untuk bermimpi dan membina semula jati diri melalui sukan.”
Dokumentari ini turut meraikan sisi Malaysia yang tidak selalu mendapat sorotan; rakyat yang sudi membuka pintu, komuniti yang menghulur tangan, dan nilai ihsan yang tetap hidup di tengah kerumitan dasar.
Turut tampil dalam dokumentari ini ialah Deborah Henry, Miss Universe Malaysia 2011 dan aktivis kemanusiaan, bersama sokongan YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.
Kehadiran tokoh-tokoh ini memperkukuhkan lagi kedudukan DIGNIFIED:The Faisal Cup Story sebagai karya penting yang merentas sukan, identiti dan kemanusiaan.
Sebuah Cerita Dari Asia Tenggara Berimpak Global
Menurut data Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), setakat Oktober 2025, terdapat 211,360 pelarian dan pencari suaka di Malaysia, termasuk 64,801 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun. Angka ini menyumbang kepada statistik global pelarian yang mencecah 42.5 juta pada pertengahan 2025.
Namun filem dokumentari DIGNIFIED: The Faisal Cup Story mengingatkan penonton bahawa di sebalik setiap angka ini, ada wajah; di sebalik setiap wajah, ada cerita; dan di sebalik cerita itu, ada impian kecil yang ingin didengari.
Tentang Signal Flare Productions
Signal Flare Productions terus komited sebagai peneraju dalam penceritaan visual yang menggabungkan seni, kemanusiaan dan impak sosial. Diterajui Steve Chao, yang sering bekerjasama dengan gergasi global seperti Netflix, HBO, Amazon, Tencent dan Warner Bros. Discovery, syarikat ini percaya bahawa filem bukan sekadar tontonan – ia adalah medium dialog dan transformasi bermakna.
Melalui DIGNIFIED: The Faisal Cup Story, Signal Flare meneruskan misi untuk mengangkat kisah-kisah yang memanusiakan, menghubungkan, dan membuka ruang untuk perbualan yang lebih mendalam.

