Industri muzik tanah air bakal menyaksikan satu detik bersejarah melalui penganjuran Konsert Seribu Rahmat Umbrella yang dijadualkan berlangsung pada 6 Jun 2026. Bertempat di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan nostalgia, malah merupakan sebuah gabungan elemen muzik klasik 90-an bersama teknologi masa kini.
Dianjurkan oleh Pertubuhan Bahtera Prihatin Rakyat Perlis (PBPRP), konsert ini bakal menampilkan kumpulan legenda Umbrella sebagai teraju utama, dengan penampilan khas, Zamani serta kumpulan Floor 88.
Gabungan ini dirangka khusus bagi menyatukan tiga segmen peminat yang berbeza, daripada golongan dewasa yang membesar dengan lagu-lagu puitis era 90-an sehinggalah generasi muda yang mendominasi platform digital.
PBPRP menjelaskan bahawa pemilihan lokasi di Kedah merupakan langkah desentralisasi industri kreatif bagi membuktikan konsert bertaraf tinggi tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur.
Dewan Mu’adzam Shah dipilih kerana fasiliti profesionalnya yang setaraf dewan konsert terkemuka, selain kedudukannya sebagai pintu masuk strategik bagi peminat dari Perlis, Pulau Pinang, Perak Utara, dan selatan Thailand.
Pentas bakal bergema selama lebih 2 jam 30 minit dengan rangkaian 20 buah lagu hit. Antara karya ikonik yang bakal dipersembahkan termasuklah Ramalanku Benar Belaka dan Bukalah Hatimu oleh Umbrella, manakala Zamani bakal memukau dengan Gerimis Mengundang dan Kembali Terjalin. Menambah kehangatan suasana, Floor 88 akan membawakan lagu-lagu bertenaga seperti Hutang dan Chikadun.
Vokalis kumpulan Umbrella, Zarul Husin, menzahirkan rasa terujanya terhadap kolaborasi pertama bersama penganjur di lokasi yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.
“Ini merupakan kali pertama Umbrella mengadakan konsert di UUM. Hubungan ini terjalin secara unik memandangkan pemain bass kami sendiri merupakan kakitangan di universiti tersebut.
“Kami bakal mempersembahkan kira-kira 13 buah lagu yang diambil sepenuhnya daripada album Seribu Rahmat dan Hujan Panas. Ia benar-benar sebuah perjalanan nostalgia, malah ketika sesi latihan, saya sendiri merasai emosi yang mendalam kerana sudah lama tidak menyanyikan lagu-lagu tersebut,” ujar Zarul.
Beliau turut menambah bahawa konsert ini akan menjadi momen istimewa yang merangkumkan jatuh bangun perjalanan seni mereka.
“Kami mahu penonton merasai satu ‘perjalanan’. Lagu-lagu yang dipilih adalah yang cukup dekat di hati peminat tegar, termasuk kemungkinan lagu daripada album Payung Sakti dan persembahan solo saya sendiri. Ini adalah hadiah buat mereka yang setia menyokong kami sejak awal 90-an,” katanya lagi.
Keunikan utama konsert ini turut terletak pada penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). Penonton bakal disajikan dengan video flashback perjalanan Umbrella yang diolah semula secara digital menggunakan AI, memaparkan klip arkib dan rakaman di sebalik tabir yang jarang dilihat sebelum ini.
Selain itu, buat julung kalinya, Umbrella dan Zamani akan berkongsi pentas dalam satu susunan muzik istimewa yang menggabungkan lagu hit masing-masing dalam bentuk medley.
Penerbitan kreatif konsert ini diterajui oleh komposer terkenal, Dr Azmeer, yang bertanggungjawab memastikan standard tertinggi bagi susunan muzik dan kualiti audio. Dengan penglibatan lebih 150 petugas tempatan, acara ini diharapkan dapat merancakkan ekonomi kreatif di wilayah utara.
Tiket-tiket kini sudah mula dijual dan boleh didapati mengikut kategori zon berikut:
- Zon Ramalanku Benar Belaka – RM150
- Zon Bukalah Hatimu – RM100
- Zon Akulah Teduhan Mu – RM50
(Susunan tempat duduk adalah bebas berasas konsep ‘first come first seat’)
