Kuala Lumpur, 3 Disember 2025– Dunia hiburan tanah air bakal digegarkan dengan penganjuran Konsert Makan Malam Amal “Legends”, sebuah acara berprestij anjuran Persatuan Karyawan Malaysia bagi mengumpul dana kebajikan untuk artis-artis veteran yang memerlukan bantuan.
Malam istimewa ini bakal menyaksikan persembahan artis legenda yang pernah mengangkat industri muzik Malaysia dan Nusantara ke mercu kecemerlangan. Antara barisan artis yang bakal membuat persembahan ialah Sweet Charity, Dato’ Khadijah Ibrahim, Dato Ito Blues Gang, Kopratasa, Datuk Andre Goh, Helen Velu, Mariam Ahmad
‘Gabungan nama besar ini dijangka menarik perhatian peminat dari seluruh negara yang merindui sentuhan muzik asli era ’70an, ’80an dan ’90an’ – kata Dato Khadijah Ibrahim
Slot Istimewa “Master Guitarists Showcase”
Melengkapkan kemeriahan konsert, satu segmen khas akan dipersembahkan untuk menghargai pemain gitar terunggul yang telah menjadi nadi utama kepada perkembangan muzik rock dan pop Malaysia. Slot istimewa ini bakal menampilkan Simon Carefree, Kid Search, Shahrul Ekamatra dan Man Kidal pemuzik yang menghidupkan era rock Melayu
Mereka bakal mempersembahkan rangkaian solo gitar, medley klasik dan persembahan istimewa yang dirangka khas untuk malam amal ini. Slot ini juga bertujuan memberi penghargaan kepada pemuzik belakang tabir yang sering menjadi tulang belakang kejayaan ramai penyanyi legenda negara.
Mengangkat Misi Kebajikan & Tanggungjawab Sosial Industri Seni
Sebagai sebuah persatuan yang aktif memperjuangkan kebajikan anak seni, Karyawan menegaskan pentingnya acara seperti Konsert Makan Malam Amal “Legends” untuk memastikan artis veteran tidak dipinggirkan. Hasil kutipan dana akan disalurkan terus kepada usaha bantuan kesihatan, kebajikan, serta program sokongan untuk artis-artis yang sedang berdepan kesukaran hidup.
“Ramai antara mereka pernah menceriakan hidup kita dengan seni, muzik dan persembahan mereka. Kini giliran kita untuk membantu mereka ketika memerlukan. Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu penghormatan dan platform sokongan untuk wira-wira seni tanah air.” kata Dato Freddie Fernandez selaku Presiden Persatuan Karyawan
Konsert Makan Malam Amal “Legends” bukan sahaja sebuah persembahan megah, tetapi juga simbol solidariti industri muzik kepada mereka yang telah memperjuangkan seni negara selama berdekad. Ia adalah peluang untuk peminat muzik menyokong artis-artis yang pernah menjadi suara dan irama kehidupan mereka.
Maklumat Pembelian Tiket
Tiket bagi Konsert Makan Malam Amal Legends kini dibuka untuk pembelian melalui Persatuan Karyawan Tempat adalah terhad dan dijangka habis dalam masa yang singkat.
Terdapat juga tiket untuk tontonan konsert berharga RM 88 (tanpa makanan)
Untuk pembelian tiket dan pertanyaan hubungi + 016 233 8888 / +60 12-207 1400 – www.karyawan.my

