Kuala Lumpur, 3 April 2026 – Susulan sambutan positif musim sulungnya, Astro kini kembali dengan musim baharu program realiti pertandingan ikonik, Talk To My Manager. Melangkaui pentas pertandingan, Astro turut memperluaskan inisiatif ini menerusi penganjuran Kem TTMM, sebuah kem latihan khas bagi mencungkil dan memupuk bakat generasi baharu industri hiburan.
Meneruskan momentum musim pertama yang berjaya menawan hati penonton menerusi gabungan cabaran kompetitif dan persembahan yang memukau, musim 2 tampil dengan penyertaan lebih ramai selebriti. Sambutan positif ini mengukuhkan lagi kedudukan Talk to My Manager sebagai antara kandungan hiburan tempatan yang semakin mendapat tempat di hati penonton.
Musim 2 akan menampilkan barisan peserta yang lebih diperluas, selari dengan minat penonton terhadap kisah yang menyentuh emosi, menghiburkan serta sarat dengan nilai kekeluargaan, di samping meraikan legasi dan bakat. Talk To My Manager Musim 2 akan bersiaran mulai 19 April 2026, jam 9 malam, secara langsung di Astro Ria (saluran 104).
“Talk To My Manager bukan sekadar pertandingan – ia merupakan pentas yang meraikan legasi, bakat dan hubungan kekeluargaan,” kata Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Melayu, Astro. “Kami amat berbesar hati dengan sambutan luar biasa terhadap musim pertama. Format unik ini memberi peluang kepada penonton menyaksikan sisi hubungan antara selebriti dan anak mereka yang jarang dikongsikan, sekaligus membuka ruang kepada generasi baharu untuk menyerlah. Kami yakin Musim 2 akan terus memikat hati penonton dengan gandingan istimewa serta pelbagai kejutan yang lebih mengujakan.”
Musim ini kembali dengan konsep ikonik ‘pass-the-baton’, yang menggandingkan selebriti sebagai “manager” bersama anak-anak mereka yang berbakat di pentas. Setiap persembahan bukan sekadar hiburan, malah menjadi ujian terhadap bimbingan, kepercayaan dan keserasian, sekaligus menyerlahkan ikatan serta kerjasama yang menjadikan setiap detik lebih bermakna dan diingati.
Barisan ‘manager-artist’ yang menghimpunkan nama-nama terkenal termasuk Adira & Anggrek, Ani Maiyuni & Viviana, Dato A. Aida & Azeva, Dato’ Fazley & Fariedz Fazley, Dato’ Sri Vida & Cik B, Jamilulhayat & Hussain, Linda Jasmine & Ratu, Nana Mahazan & Althea, Pak Azad & Amarra, serta Safura & Kim Khairii.
Musim 2 turut menyaksikan kembalinya Datuk Aznil Hj Nawawi sebagai pengacara, bersama barisan juri Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal, yang terus tampil dengan kepakaran, panduan serta karisma tersendiri dalam memeriahkan program ini.
Para peminat boleh strim Musim 2 serta menikmati kandungan eksklusif Talk To My Manager secara On Demand di Astro GO dan sooka, atau melanggan Pek Astro One bermula dari RM49.99* untuk pengalaman penstriman lancar dan hiburan tanpa henti. Layari Astro di astro.com.my atau hubungi Astro menerusi WhatsApp di 03 9543 3838 untuk maklumat lanjut.
‘TTMM EXPERIENCE’, Kem Pertama Astro: Pengalaman Eksklusif Untuk Generasi Baharu
Buat julung kalinya, Astro memperkenalkan ‘TTMM Experience’ – sebuah kem eksklusif 2 Hari 1 Malam di bawah jenama Talk To My Manager. Dianjurkan sejurus selepas musim terkini, kem ini membuka peluang kepada ibu bapa dan anak-anak untuk merasai pengalaman sebenar dunia hiburan.
Apa yang menjadikan ‘TTMM Experience’ istimewa, ‘workshop’ dan latihan yang sebelum ini hanya diberikan secara eksklusif kepada peserta program realiti Astro kini dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya. Ini adalah peluang berharga untuk merasai sendiri bagaimana bakat dilatih di peringkat profesional.
Sepanjang kem berlangsung, para peserta akan dibimbing oleh barisan selebriti terkenal tanah air, mentor profesional, pakar industri berpengalaman serta kehadiran peserta Talk To My Manager bersama anak-anak mereka melalui sesi latihan serta aktiviti interaktif yang memfokuskan kepada kemahiran persembahan, nyanyian dan keyakinan diri di pentas.
Kem ini bukan sekadar program latihan, tetapi sebuah platform pembangunan bakat yang bertujuan melahirkan generasi bintang masa hadapan. Ia turut membuka ruang kepada peserta untuk menyerlah dan memperoleh pendedahan berharga dalam industri.
Penjualan tiket bagi ‘TTMM Experience’ akan dibuka tidak lama lagi, dengan maklumat lanjut akan diumumkan secara berperingkat di setiap episod Talk To My Manager Musim Kedua.
- Format penjurian dikekalkan daripada musim pertama berdasarkan 100% pemarkahan oleh barisan juri profesional yang dipecahkan kepada dua bahagian iaitu 60% kecekapan, kreativiti pengurusan dan strategi ‘manager’, dan 40% adalah dari keunikan persembahan dan kualiti vokal ‘artis’. Pasangan manager-artis yang mendapat undian online tertinggi akan mendapat ganjaran dalam sesi penjurian pada minggu seterusnya.
- Untuk pengisian di platform digital, program ‘Check Out Talk To My Manager’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com ketika berlangsungnya konsert mingguan.
- Talk to My Manager diserlah oleh Eskayvie yang hadir sebagai penaja Utama. Eskayvie serlahkan potensi anak, cipta masa depan gemilang, dengan cogan kata Eskayvie, Empowering Wellness, Enriching Lives.
- Musim baharu ini turut berkolaborasi bersama Astro Gempak selaku Rakan Digital dan ERA sebagai Rakan Radio Rasmi.
- Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, naib juara pula akan meraih RM15,000 dan tempat ketiga akan menerima RM10,000.
KONSERT TALK TO MY MANAGER | Mulai 19 April 2026, setiap Ahad, jam 9 malam
Berlangsung selama 8 minggu, konsert Talk To My Manager akan bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam. Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan sooka.
STUDIO TALK TO MY MANAGER | Mulai 11 April 2026, Sabtu 9 Malam di Astro Ria
Menampilkan kandungan eksklusif sedutan belakang tabir semasa siaran langsung dan suasana di belakang pentas semasa persembahan berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam.
BTS TALK TO MY MANAGER | Mulai 9 April 2026 Khamis 11 malam di Astro Ria
Kompilasi sorotan persediaan para peserta menjelang konsert mingguan serta klip-klip sedutan belakang tabir termasuk susunan persembahan, pengurusan peserta, latihan vokal dan kelas tarian bersama pengurus masing-masing dan mentor-mentor yang terlibat.
Mengenai Eskayvie
Eskayvie merupakan peneraju produk kesihatan dan kesejahteraan halal yang dipercayai di Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 2009 oleh Dr Kartika Wati Mohamed dan Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri, jenama ini disokong oleh lebih 25 tahun pengalaman dalam penyelidikan dan pembangunan berasaskan sains. Berteraskan misi memperkasa ekonomi dan kesihatan masyarakat, Eskayvie menawarkan solusi kesihatan berkualiti tinggi yang dirumus oleh pasukan profesional merangkumi doktor, pakar nutrisi dan dietitian.
Sehingga kini, Eskayvie telah memberi impak kepada jutaan pengguna melalui pendekatan kesejahteraan menyeluruh daripada imuniti, metabolik sehinggalah kesihatan minda. Disokong oleh komuniti lebih 130,103 usahawan Eskayvie Nexus di seluruh Malaysia, jenama ini terus komited membina generasi dan masa depan yang lebih sihat melalui inovasi, pendidikan dan sokongan berterusan kepada masyarakat.

