Dengan mata hanya dikira daripada enam daripada tujuh pusingan yang dijadualkan, Wing Hin Motorsports menduduki tempat ke-7 daripada 12 pesaing dalam kedudukan mata keseluruhan kelas ST-Z dengan jumlah 56.25 mata.
Barisan pelumba yang terdiri daripada Naquib Azlan, Amer Harris, dan Shuji Maeshima berjaya menempatkan jentera Toyota GR Supra GT4 EVO2 bernombor #338 di petak ke-8 dalam kelas dan ke-18 keseluruhan daripada 68 buah kereta menjelang hujung minggu perlumbaan terakhir itu.
“Tiada apa yang pasti dalam perlumbaan, apatah lagi dalam perlumbaan ketahanan (endurance), dan dalam kes ini, cuaca telah menentukan keputusan keseluruhan kejuaraan. Kami menyertai tahun pertama perlumbaan Super Taikyu dengan objektif untuk belajar dan menimba sebanyak mungkin pengalaman, dan dalam pelbagai aspek, kami telah mencapai banyak kejayaan,” kata Naquib.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia merupakan tahun yang membuka mata buat pasukan. Berlumba dalam Siri Super Taikyu mendedahkan kami kepada tahap perlumbaan yang lebih tinggi – bukan sahaja dari segi pemanduan, tetapi juga persediaan, pelarasan jentera, perancangan strategi perlumbaan, disiplin, dan cara keseluruhan pasukan beroperasi. Terlalu banyak perkara yang boleh dipelajari dalam platform GT4, terutamanya apabila bersaing dengan pasukan pengeluar terkemuka di Jepun.”
Secara keseluruhan, Wing Hin Motorsports mencatatkan rekod memberangsangkan dengan menamatkan saingan dalam kelompok 5 terbaik dalam empat daripada enam perlumbaan, dengan pencapaian terbaik adalah tempat ke-2 pada Pusingan 4 di Sportsland Sugo.
Pasukan itu menamatkan perlumbaan 4 jam Super Taikyu sulung mereka pada bulan Mac di tempat ke-7 dalam Kelas ST-Z dan ke-11 keseluruhan daripada 30 buah kereta di petak permulaan. Mereka meneruskan momentum dengan menamatkan Pusingan 2 di tempat ke-5; ke-11 pada Pusingan 3; ke-5 pada Pusingan 5; dan ke-4 pada Pusingan 6.
“Cara terbaik untuk menjadi lebih kompetitif adalah dengan bersaing menentang pasukan-pasukan terkemuka yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun lebih lama, bukan sahaja di litar tetapi juga dalam pelarasan jentera. Kami telah menunjukkan peningkatan yang konsisten berbanding ketika kami mula-mula menyertainya, baik sebagai satu pasukan mahupun sebagai pelumba.”
Super Taikyu merupakan siri perlumbaan ketahanan pro-am terulung di Jepun yang berasaskan kereta touring produksi, menguji ketahanan pelumba dan jentera dalam jarak perlumbaan tunggal antara 4 jam hingga 24 jam. Penyertaan dalam siri ini adalah sebahagian daripada peluasan besar Wing Hin Motorsports ke dalam sukan permotoran serantau, di samping membangunkan pelumba muda Malaysia. Pasukan ini turut bersaing dalam Siri Toyota GAZOO Racing GR86/BRZ Cup Clubman di Jepun pada tahun ini di mana mereka kembali selaku juara bertahan, serta dalam Thailand Super Series.

