(HIBURAN) “Rasi Jiwa” Buktikan Ghea Indrawari Tidak Perlukan Gimik Untuk Menyentuh Hati Peminat

Spread the love

Ghea Indrawari akhirnya merealisasikan impiannya untuk bertemu peminat Malaysia menerusi konsert solo istimewa “GHEA INDRAWARI: RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur” yang berlangsung penuh emosional di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Mei lalu.

Buat pertama kali tampil dengan konsert penuh di Malaysia, Ghea membuktikan popularitinya bukan sekadar bersandarkan angka penstriman digital semata-mata, tetapi kekuatan sebenar penyanyi itu terletak pada keupayaannya menyampaikan emosi secara jujur di atas pentas.

Konsert anjuran Semangat Zaman Music & Entertainment itu berjaya menghimpunkan lebih 1,200 peminat setia atau dikenali sebagai ‘Ghealways’ dalam sebuah persembahan yang cukup intim, sederhana namun sarat dengan penghayatan.

Ada konsert yang meninggalkan keterujaan sementara, namun ada juga persembahan yang meninggalkan rasa yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Itulah yang berjaya dihadirkan Ghea menerusi “Rasi Jiwa”, sebuah malam yang bukan sekadar dipenuhi muzik, tetapi juga emosi dan refleksi kehidupan.

Tanpa perlu produksi yang terlalu gah atau berlebihan, Ghea membuktikan kekuatannya terletak pada kejujuran emosi yang dibawakan di atas pentas.

Konsert dimulakan dengan lagu “Rasa Cinta Ini” sebelum diteruskan dengan deretan karya popular seperti “Malaikat” dan “Bucketlist”. Dari awal persembahan, suasana dewan sudah terasa cukup dekat apabila hampir keseluruhan penonton menyanyikan setiap bait lagu bersama-sama.

Keistimewaan utama Ghea malam itu hadir menerusi cara penyampaiannya yang sederhana tetapi penuh penghayatan. Vokalnya kekal stabil dan lunak sepanjang persembahan, manakala setiap lirik disampaikan dengan emosi yang nyata sehingga mudah menyentuh hati penonton.

Apa yang paling mengagumkan adalah bagaimana pasukan pencahayaan memahami karakter muzik Ghea yang sangat bergantung kepada nuansa rasa. Setiap pertukaran warna seolah-olah mempunyai fungsi dramatiknya sendiri. Ketika “Terima Kasih Sudah Bertahan” dipersembahkan, keseluruhan ruang dewan dibanjiri cahaya putih malap dan limpahan lampu telefon bimbit penonton, mencipta visual yang cukup puitis.

Pada saat itu, pencahayaan bukan lagi sekadar elemen teknikal, tetapi menjadi sebahagian daripada emosi persembahan.

Dari sudut audio pula, konsert ini tampil dengan keseimbangan bunyi yang sangat baik untuk ruang bersaiz sederhana seperti Zepp Kuala Lumpur. Sistem bunyi yang digunakan berjaya mengekalkan karakter vokal Ghea yang lembut dan rapuh tanpa tenggelam di sebalik susunan muzik langsung.

Setiap lapisan instrumen dapat didengar dengan jelas daripada petikan gitar, bunyi keyboard ambient hinggalah kepada dentuman drum yang dikawal dengan cukup kemas. Mixing audio malam itu juga memberi ruang besar kepada vokal utama untuk “bernafas”, sesuatu yang sangat penting dalam konsert berasaskan emosi seperti ini.

Kekuatan sebenar sistem bunyi malam itu dapat dirasai ketika Ghea membacakan surat buat dirinya yang lebih muda sebelum menyampaikan “Masa Mudaku Habis” dan “Berdamai”. Dalam keadaan dewan yang hampir sunyi, setiap patah kata kedengaran jelas tanpa gangguan frekuensi berlebihan. Kesunyian itu sendiri menjadi sebahagian daripada komposisi persembahan.

Menariknya, Ghea bijak mengawal turun naik emosi persembahan dengan susunan lagu yang kemas dan seimbang. Selepas beberapa segmen melankolik, suasana kembali rancak menerusi lagu-lagu seperti “Oh Tuhan!”, “1000X”, “Tadi Malam” dan “Kamu Anggap Apa” yang membuatkan seluruh dewan kembali bersorak dan bernyanyi lebih kuat.

Interaksi spontan Ghea bersama penonton juga menjadi antara kekuatan utama konsert malam itu. Keperibadiannya yang bersahaja menjadikan keseluruhan persembahan terasa cukup dekat, seolah-olah penonton sedang mendengar cerita daripada seorang teman lama.

Satu lagi kejutan istimewa malam itu ialah tayangan eksklusif lagu baharu berjudul “Daun Daun”. Walaupun tidak dipersembahkan secara langsung, karya tersebut tetap berjaya mencuri perhatian apabila seluruh dewan memberikan tumpuan penuh terhadap tayangan berkenaan.

Kemuncak sebenar konsert tentunya hadir ketika intro “Teramini” dan “Jiwa Yang Bersedih” mula dimainkan. Sorakan penonton terus bergema memenuhi dewan, malah ramai dilihat menyanyikan lagu tersebut dengan penuh emosi.

“Jiwa Yang Bersedih” bukan sekadar lagu paling popular milik Ghea, tetapi sudah menjadi karya yang mewakili ramai pendengar yang pernah melalui fasa kehilangan, tekanan dan kelelahan hidup. Malam itu, lagu tersebut terasa seperti ruang untuk semua orang berkongsi rasa sedih yang selama ini dipendam sendirian.

Sebelum menyampaikan lagu penutup “Manusia Paling Bahagia”, Ghea sempat meminta seluruh penonton berdiri bersama-sama, seolah-olah mengakhiri segala kisah duka sepanjang malam dengan sebuah penutup yang lebih ceria dan penuh harapan.

Konsert akhirnya melabuhkan tirai dengan lagu tersebut selepas hampir dua jam persembahan berlangsung, meninggalkan dewan dengan sorakan panjang dan senyuman puas daripada para peminat.

Secara keseluruhan, “Rasi Jiwa” berjaya membuktikan bahawa sebuah konsert tidak semestinya perlu tampil terlalu besar untuk meninggalkan impak mendalam. Dalam dunia hiburan yang semakin dipenuhi persembahan bersifat sensasi, Ghea Indrawari memilih untuk tampil jujur menerusi muzik dan emosi yang dekat dengan realiti kehidupan ramai orang.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *