Penyanyi baharu, Athierah, kini tampil dengan single terbaharunya berjudul Berdiri, sebuah lagu yang membawa mesej tentang kekuatan diri, keberanian untuk bangkit dan semangat untuk terus melangkah walau berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan.
Bagi Athierah atau nama sebenarnya Nor Athierah Aqielah Nor Azman, Berdiri bukan sekadar sebuah lagu biasa, malah karya tersebut mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan perjalanan hidup serta pengalaman peribadinya sepanjang bergelar anak seni.
Menurutnya, sebaik sahaja mendengar melodi dan keseluruhan susunan muzik lagu tersebut buat pertama kali, dia terus merasakan satu hubungan yang kuat dengan karya berkenaan.
“Bagi saya, lagu Berdiri sangat istimewa sebab mesej yang dibawa memang dekat dengan diri saya. Lagu ini banyak berkisarkan tentang kekuatan diri dan bagaimana kita bangkit semula selepas melalui pelbagai fasa dalam hidup.
“Bila pertama kali dengar muzik dan melodi lagu ini, saya terus rasa bersemangat dan yakin lagu ini mempunyai sesuatu yang boleh sampai kepada pendengar,” kata gadis berusia 22 tahun ini lagi.
Menariknya, single ini juga menyaksikan Athierah diberi peluang bekerjasama dengan komposer dan penerbit terkenal, Ajai, yang disifatkannya sebagai satu pengalaman yang sangat berharga dalam perjalanan seninya.
Menurut Athierah, sepanjang proses rakaman berlangsung, dia banyak mempelajari aspek penting dalam penyampaian sesebuah laguterutama dari segi emosi dan penghayatan.
“Bekerja dengan Uncle Ajai memang satu pengalaman yang saya akan ingat sampai bila-bila. Banyak perkara yang saya belajar daripada beliau, terutama tentang bagaimana untuk menyampaikan emosi dalam lagu dengan lebih jujur dan tepat.
“Uncle Ajai juga sangat teliti ketika proses rakaman. Kadang-kadang perkara kecil pun diberi perhatian supaya hasil akhirnya benar-benar memberi kesan kepada pendengar. Dari situ saya belajar bahawa menyanyi bukan sekadar tentang vokal, tetapi juga tentang rasa dan jiwa,” ujarnya.
Bercerita mengenai perjalanan seninya pula, Athierah mengakui minat terhadap dunia nyanyian sudah bermula sejak kecil lagi.
Namun, perjalanan untuk serius dalam industri hiburan bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia juga pernah melalui pelbagai cabaran dan fasa jatuh bangun sebelum mendapat peluang merakamkan single sendiri.
“Saya memang minat menyanyi sejak kecil lagi. Dari dulu saya suka buat persembahan dan aktif dalam bidang seni. Tapi untuk sampai ke tahap sekarang, saya lalui macam-macam pengalaman dan cabaran juga.
“Jadi bila diberi peluang untuk merakamkan lagu Berdiri, saya rasa sangat bersyukur sebab ini merupakan peluang yang sangat besar buat saya. Tambahan pula dapat bekerjasama dengan komposer hebat seperti Uncle Ajai, memang satu pengalaman yang cukup bermakna,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Athierah turut berkongsi perancangannya untuk terus aktif menghasilkan karyakarya baharu pada masa akan datang selain mahu mencabar diri meneroka pelbagai genre muzik.
Dia juga melihat industri muzik hari ini semakin berkembang dan kompetitif, sekali gus membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk terus belajar dan memperbaiki diri sebagai seorang penghibur.
“Saya berharap dapat terus menghasilkan lebih banyak lagu selepas ini dan cuba pelbagai genre supaya saya boleh berkembang sebagai seorang artis.
“Industri sekarang sangat kompetitif, jadi saya rasa penting untuk sentiasa belajar dan mencari identiti sendiri dalam muzik,” tambah anak kelahiran Kuala Lumpur ini lagi.
Selain berjinak-jinak dalam bidang nyanyian, Athierah juga kini sedang melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam jurusan Teater.
Menurutnya, dunia lakonan dan teater banyak membantu dirinya dari segi keyakinan, ekspresi emosi serta cara membawa diri ketika membuat persembahan di atas pentas.
Sebagai info, Berdiri yang diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) sudah boleh didengar disemua platform digital manakala muzik video pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.
