SERDANG, 1 Ogos 2026 – Triumph Motorcycle Malaysia, menerusi pengedar rasminya DIDI Group, terus memperkukuhkan kedudukannya dalam segmen motosikal moden klasik menerusi pelancaran dua model serba baharu, Triumph Tracker 400 dan Triumph Thruxton 400, sempena penganjuran Art of Speed 2026 di MAEPS, Serdang.
Pelancaran ini menandakan pengembangan terkini rangkaian Triumph 400, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan kepada penunggang yang mahukan gabungan reka bentuk klasik, prestasi moden serta teknologi terkini. Kedua-dua model baharu ini dibangunkan berasaskan DNA ikonik Triumph, namun masing-masing tampil dengan identiti tersendiri yang memenuhi citarasa berbeza dalam kalangan peminat motosikal.
Triumph Tracker 400 diilhamkan daripada dunia perlumbaan flat track, menampilkan gaya tunggangan yang lebih agresif serta pengendalian yang lincah. Model ini dilengkapi hendal yang lebih lebar dan rata, kedudukan pemijak kaki yang diubah suai serta casis khusus yang memberikan kawalan lebih tepat dan pengalaman tunggangan yang lebih menyeronokkan.
Dari segi reka bentuk, Tracker 400 mengekalkan identiti klasik Triumph menerusi badan yang ringkas tetapi berkarakter, dipadankan dengan penutup tempat duduk (seat cowl), papan nombor perlumbaan, tangki bahan api berbentuk berkotak, pelindung angin (flyscreen) serta rim rekaan baharu yang dipasang bersama tayar Pirelli MT60 RS. Model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Racing Yellow, Phantom Black dan Aluminium Silver Gloss, menyerlahkan imej sporty yang diinspirasikan daripada perlumbaan flat track.
Sementara itu, Triumph Thruxton 400 pula menghidupkan semula legasi motosikal café racer yang sinonim dengan jenama Triumph dalam interpretasi yang lebih moden. Mengekalkan siluet ikonik Thruxton, model ini dipadankan dengan hendal jenis clip-on, kedudukan pemijak kaki yang lebih ke belakang (rear-set footpegs) serta talaan suspensi yang lebih sporty bagi memberikan pengendalian yang lebih responsif dan dinamik.
Thruxton 400 hadir dalam tiga pilihan warna premium iaitu Phantom Black bersama Aluminium Silver, Pearl Metallic White bersama Storm Grey, serta Metallic Racing Yellow, memberikan lebih banyak pilihan kepada penunggang yang mengutamakan gabungan gaya klasik dan prestasi moden.
Kedua-dua model baharu ini dikuasakan oleh enjin TR-Series bersesaran 398cc, satu silinder, penyejukan cecair, DOHC empat injap yang telah dipertingkatkan. Enjin tersebut menghasilkan 42PS pada 9,000rpm serta 37.5Nm tork pada 7,500rpm, mewakili peningkatan kira-kira lima peratus kuasa maksimum berbanding model terdahulu.
Peningkatan had putaran enjin dan prestasi pada julat rpm tinggi memberikan kuasa yang lebih responsif serta pecutan yang lebih lancar, sama ada untuk tunggangan harian di bandar mahupun perjalanan jarak jauh.
Selain menawarkan prestasi yang dipertingkatkan, Triumph turut mengekalkan fokus terhadap aspek pemilikan jangka panjang. Kedua-dua model menawarkan sela penyelenggaraan terbaik dalam kelasnya iaitu setiap 16,000 kilometer atau 12 bulan, bergantung kepada mana yang terdahulu. Pelanggan juga menikmati jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun, termasuk perlindungan bagi aksesori tulen Triumph, sekali gus memberikan ketenangan fikiran sepanjang tempoh pemilikan.
Dari aspek kelengkapan, kedua-dua motosikal dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik Bosch dengan kawalan pendikit elektronik, transmisi enam kelajuan, klac jenis slip & assist, sistem brek cakera dengan angkup radial empat omboh bersama ABS, panel meter analog yang dipadankan dengan paparan LCD pelbagai fungsi, serta suspensi hadapan 43mm Upside Down Big Piston Fork. Tracker 400 menawarkan jarak pergerakan suspensi hadapan sejauh 140mm, manakala Thruxton 400 menggunakan talaan 135mm bagi memberikan karakter tunggangan yang lebih sporty.
Triumph Tracker 400 ditawarkan pada harga bermula RM27,900, manakala Triumph Thruxton 400 dipasarkan pada harga RM29,900, tidak termasuk pendaftaran dan insurans.
Kedua-dua model dijangka mula berada di semua pengedar sah Triumph Motorcycle Malaysia di seluruh negara bermula Ogos 2026.
Dengan pelancaran Tracker 400 dan Thruxton 400, Triumph terus memperkukuhkan rangkaian Modern Classic menerusi dua model yang menawarkan karakter berbeza, namun berkongsi falsafah yang sama iaitu menggabungkan warisan reka bentuk British, teknologi moden, prestasi mengujakan dan nilai pemilikan yang kompetitif. Langkah ini turut mencerminkan komitmen berterusan Triumph Motorcycle Malaysia dalam memenuhi keperluan penunggang tempatan yang semakin menghargai motosikal beridentiti klasik dengan keupayaan prestasi masa kini.
