SERDANG, 1 Ogos 2026 – Jenama skuter ikonik dari Itali, Lambretta, terus memperkukuhkan kedudukannya di pasaran Malaysia menerusi pelancaran rasmi Lambretta J200 serba baharu serta pengenalan Lambretta X250GP Speedster 2026 sempena penganjuran Art of Speed 2026 di MAEPS, Serdang. Pelancaran ini bukan sahaja menandakan kemunculan rasmi J200 di Malaysia, malah memperlihatkan komitmen Lambretta dalam menggabungkan warisan reka bentuk Itali yang berusia lebih tujuh dekad dengan teknologi moden bagi memenuhi keperluan penunggang masa kini.
Menjadi antara tarikan utama acara tersebut, Lambretta J200 dibangunkan berinspirasikan model legenda J Series yang popular pada era 1960-an seperti J50, J100 dan J125 Starstream. Model baharu ini mengekalkan identiti reka bentuk klasik Lambretta menerusi konsep “Low & Long Architecture”, binaan badan monocoque keluli sepenuhnya, lampu hadapan heksagon ikonik serta suspensi hadapan Double Arm-Link yang menjadi simbol kepada jenama tersebut sejak sekian lama.
Walaupun mengekalkan sentuhan klasik, J200 hadir dengan pelbagai teknologi moden termasuk sistem pencahayaan LED penuh, paparan meter digital TFT, serta enjin 174.5cc penyejukan cecair yang menghasilkan 17 hp, sekali gus menawarkan keseimbangan antara prestasi, keselesaan dan kecekapan untuk kegunaan harian di kawasan bandar. Dengan ketinggian tempat duduk hanya 790 mm, model ini direka untuk memberikan pengalaman tunggangan yang lebih selesa dan mudah dikendalikan oleh pelbagai kategori penunggang.
Pelancaran rasmi di Malaysia diketuai oleh Bike Continent Sdn. Bhd. selaku pengedar rasmi Lambretta di negara ini di bawah pimpinan Pengarah Urusannya, Ronnie Chen, manakala urusan import dikendalikan oleh Mofaz Motosikal Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Dato’ Nik Izani Nik Ibrahim. Turut hadir menyempurnakan pelancaran ialah Pierre Sainton, Pengarah APAC Lambretta, yang memperkenalkan model baharu tersebut kepada media dan para peminat.
Di peringkat antarabangsa, Lambretta terus dimiliki dan diuruskan oleh Walter Scheffrahn menerusi Innocenti SA, sekali gus memastikan keaslian identiti jenama terus dipelihara sambil memperkukuhkan agenda inovasi, pembangunan produk serta pertumbuhan mampan di pasaran global.
Bersempena pelancaran J200, Lambretta turut mengumumkan kerjasama strategik bersama VICO menerusi kempen “VICO Bytes to Ride”. Bermula 1 Ogos hingga 30 September 2026, kempen ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dengan menawarkan peluang kepada lapan pemenang setiap minggu untuk membawa pulang Lambretta J200 VICO Edition edisi khas. Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan penglibatan pengguna terhadap jenama Lambretta di samping menghargai sokongan pelanggan di seluruh negara.
Selain J200, Lambretta turut memperkenalkan Lambretta X250GP Speedster 2026, model yang menerima sentuhan baharu menerusi penampilan lebih sporty dan agresif. Rekaan grafiknya menggabungkan jalur sisi klasik Lambretta dengan motif api yang diinspirasikan daripada jentera perlumbaan Grand Prix, sekali gus memberikan imej yang lebih dinamik tanpa menghilangkan identiti warisan jenama itu.
Model X250GP Speedster ditawarkan dalam tiga pilihan warna baharu iaitu Aurora Grey Matte, Super Black dan Latte Brown, memberikan lebih banyak pilihan kepada penunggang untuk menampilkan gaya yang menepati personaliti masing-masing.
Dalam masa yang sama, Lambretta turut mengumumkan peluasan rangkaian pengedarnya di Malaysia menerusi pembukaan tiga bilik pameran sah baharu di Shah Alam, Kota Bharu dan Setapak. Dengan penambahan tersebut, Lambretta kini memiliki 10 bilik pameran sah di seluruh negara, sekali gus meningkatkan akses pelanggan kepada produk, alat ganti serta perkhidmatan selepas jualan yang lebih komprehensif.
Pelancaran Lambretta J200 dan X250GP Speedster mencerminkan aspirasi jenama itu untuk terus berkembang dalam pasaran Malaysia menerusi gabungan warisan reka bentuk Itali, inovasi teknologi serta pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh. Dengan pengenalan model baharu dan peluasan rangkaian pengedar, Lambretta optimis mampu memenuhi permintaan pengguna yang mahukan sebuah skuter premium yang bukan sahaja bergaya dan praktikal, malah mengekalkan nilai klasik yang menjadi identiti jenama tersebut sejak lebih 70 tahun lalu.
