(SEMASA) ROYAL ENFIELD MERAIKAN ULANG TAHUN KE-125 DENGAN MEMPERKASAKAN BUDAYA MOTOSIKAL KUSTOM DI ART OF SPEED 2026

Spread the love

SERDANG, 1 Ogos 2026 – Royal Enfield, peneraju global dalam segmen motosikal bersesaran sederhana, terus mengukuhkan komitmennya terhadap budaya motosikal kustom dan gaya hidup automotif menerusi penyertaan di Art of Speed 2026 sempena sambutan 125 tahun Pure Motorcycling. Berlangsung di MAEPS Serdang, penyertaan kali ini menampilkan dua motosikal kustom istimewa iaitu OBSIDIAN dan Carolina Reaper, selain pelbagai aktiviti interaktif yang menggabungkan elemen seni bina motosikal, budaya papan selaju serta ekspresi kreatif.

Sebagai antara acara gaya hidup automotif terbesar di Malaysia, Art of Speed menjadi platform terbaik untuk Royal Enfield mengetengahkan hubungan erat jenama itu dengan dunia pengubahsuaian motosikal, ketukangan berkualiti tinggi dan kebebasan berkarya. Penyertaan ini bukan sahaja memperlihatkan keunikan hasil sentuhan pembina motosikal bertaraf antarabangsa dan tempatan, malah mengukuhkan lagi kedudukan Royal Enfield sebagai jenama yang sentiasa menyokong pembangunan komuniti motosikal kustom.

Pengerusi DIDI Group, Rewi Hamid Bugo, berkata sambutan ulang tahun ke-125 Royal Enfield di Art of Speed merupakan satu penghormatan terhadap warisan jenama yang sinonim dengan ketukangan, kreativiti dan ekspresi diri.

“Sempena ulang tahun ke-125 Pure Motorcycling, kami berbangga dapat mengetengahkan warisan Royal Enfield melalui platform Art of Speed yang menghimpunkan komuniti kreatif dari pelbagai latar belakang. Kehadiran OBSIDIAN bukan sahaja menonjolkan kehebatan Pa’din Musa dan komuniti pembina motosikal kustom Malaysia, malah membuktikan bagaimana sebuah Royal Enfield mampu diterjemahkan menjadi sebuah karya yang benar-benar mencerminkan identiti pemiliknya tanpa mengorbankan fungsi dan pengalaman tunggangan.”

Sementara itu, Ketua Bahagian Custom & Motorsport Royal Enfield, Adrian Sellers, berkata Malaysia memiliki ekosistem motosikal kustom yang semakin matang dan Art of Speed kekal sebagai platform penting untuk memperlihatkan potensi industri tersebut.

“OBSIDIAN dan Carolina Reaper mewakili dua pendekatan berbeza dalam dunia pengubahsuaian motosikal Royal Enfield. Satu dibangunkan sebagai motosikal chopper untuk tunggangan jarak jauh, manakala satu lagi diinspirasikan daripada perlumbaan flat track. Kedua-duanya membuktikan bahawa pengubahsuaian mampu memberikan identiti baharu kepada sesebuah motosikal sambil mengekalkan keseronokan dan karakter asal tunggangan.”

OBSIDIAN: Lambang Ketukangan Kustom Bertaraf Tinggi

Buat julung kalinya dipertontonkan kepada orang ramai di Malaysia, OBSIDIAN merupakan motosikal kustom yang dibangunkan oleh Pa’din Musa dari Abah & Sons Vintage Choppers menerusi program Royal Enfield Custom World.

Dibina berasaskan platform Royal Enfield Super Meteor 650, OBSIDIAN menggabungkan estetika chopper klasik dengan kebolehpercayaan mekanikal moden. Berbeza daripada motosikal kustom yang dibina semata-mata untuk tujuan pameran, OBSIDIAN direka khusus untuk kegunaan tunggangan jarak jauh dengan falsafah pembinaan yang menitikberatkan reka bentuk ringkas, ketahanan, kemudahan penyelenggaraan serta keselesaan penunggang.

Hampir keseluruhan komponennya direka dan dihasilkan secara khusus oleh Pa’din Musa bersama pasukannya. Antara ciri utama yang membezakan model ini ialah bahagian hadapan yang lebih tirus, rim hadapan bersaiz 21 inci dan rim belakang 18 inci, sistem dua karburetor, pendikit dalaman (internal throttle), klac kaki (foot clutch), penukar gear jenis jockey shifter, serta sissy bar yang direka bagi membawa bagasi ketika perjalanan jauh. Kemasan lampu belakang bersepadu dan pendawaian tersembunyi pula memberikan penampilan yang lebih kemas serta eksklusif.

Carolina Reaper: Interpretasi Moden Jentera Flat Track

Turut menjadi perhatian ialah Carolina Reaper, sebuah motosikal kustom hasil sentuhan artis, pembina motosikal dan pelumba flat track dari Tokyo, Toshiyuki Osawa daripada Cheetah Custom Cycles.

Dibangunkan berasaskan Royal Enfield Guerrilla 450 yang dikuasakan enjin Sherpa 450 bersesaran 452cc dengan sistem penyejukan cecair, Carolina Reaper menggabungkan prestasi sebuah motosikal roadster moden dengan inspirasi reka bentuk motosikal dan kereta lumba flat track Amerika sekitar era 1970-an.

Walaupun rangka utama dikekalkan, model ini menerima pelbagai pengubahsuaian termasuk subrangka belakang buatan tangan, panel badan aluminium, lengan ayun (swingarm) daripada keluli chromoly serta sistem suspensi belakang baharu berkonfigurasi direct-mount bagi meningkatkan kestabilan, kebolehlarasan dan prestasi ketika menunggang di litar tanah.

Keupayaan Carolina Reaper bukan sekadar untuk dipamerkan, malah dibangunkan agar mampu bersaing dalam perlumbaan flat track, sekali gus menyerlahkan fleksibiliti serta potensi prestasi platform Guerrilla 450.

Menghubungkan Budaya Motosikal dan Papan Selaju

Sebagai sebahagian daripada pengalaman yang ditawarkan sepanjang festival, Royal Enfield turut mengadakan demonstrasi papan selaju secara langsung di reruainya menerusi sebuah laluan skate khas.

Inisiatif ini mencerminkan perkongsian nilai antara komuniti motosikal dan papan selaju yang menitikberatkan kreativiti, kebebasan, gaya hidup serta keberanian untuk menampilkan identiti tersendiri. Pengunjung turut berpeluang melihat koleksi motosikal kustom, rangkaian pakaian serta aksesori gaya hidup Royal Enfield, di samping menyertai sesi tunggang uji beberapa model terpilih bagi merasai sendiri pengalaman Pure Motorcycling.

Pakej Pemilikan Eksklusif Sempena Art of Speed 2026

Bersempena penyertaan di Art of Speed 2026, Royal Enfield Malaysia turut memperkenalkan pakej pemilikan eksklusif bagi semua pembelian motosikal Royal Enfield yang dibuat bermula 1 Ogos hingga 30 September 2026.

Pakej tersebut merangkumi:

  • Waranti selama lima tahun;
  • Servis percuma selama dua tahun;
  • Bantuan tepi jalan (Roadside Assistance) selama tiga tahun; dan
  • Cukai jalan percuma untuk tahun pertama.

Pakej nilai tambah ini diperkenalkan bagi memberikan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh, di samping meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap kualiti produk dan perkhidmatan selepas jualan yang ditawarkan oleh Royal Enfield.

Melalui penyertaan di Art of Speed 2026, Royal Enfield sekali lagi menegaskan komitmennya dalam memperkukuh budaya motosikal kustom dan pembangunan komuniti automotif di Malaysia. Dengan menggabungkan warisan lebih satu abad, inovasi, ketukangan serta kerjasama bersama komuniti kreatif, jenama ini terus memperluaskan pengaruhnya sebagai pengeluar motosikal yang bukan sahaja menawarkan pengalaman tunggangan yang autentik, malah meraikan nilai kreativiti, kebebasan dan ekspresi diri yang menjadi teras kepada falsafah Pure Motorcycling.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *