DAMANSARA DAMAI, 8 Ogos 2026 – Kementerian Digital terus memperkukuh agenda pendigitalan negara menerusi pelaksanaan Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026, sebuah inisiatif nasional yang bertujuan memperluas akses rakyat kepada kemahiran, teknologi dan peluang ekonomi digital, selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030) serta hasrat menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.
JMD 2026 dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Kementerian Digital, pemain industri, institusi pendidikan dan komuniti bagi membawa ekosistem digital lebih dekat kepada rakyat, khususnya melalui penyediaan akses kepada latihan, teknologi baharu, peluang pekerjaan, keusahawanan dan pembangunan kemahiran digital.
Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo, berkata pelaksanaan JMD 2026 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat transformasi digital dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Melalui Jelajah Malaysia Digital, lebih ramai rakyat dapat mengakses kemahiran digital, teknologi baharu dan peluang ekonomi yang berpotensi meningkatkan taraf hidup serta memperkukuh daya saing negara.
“Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan untuk membangunkan bakat digital yang bersedia menghadapi era kecerdasan buatan (AI), memperkukuh daya saing negara dan seterusnya merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030,” katanya.
Pelancaran JMD 2026 di Dewan Komuniti Damansara Damai hari ini menarik hampir 1,000 pengunjung, sekali gus menjadi lokasi pertama bagi siri jelajah yang akan diperluaskan ke beberapa lokasi di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, berkata JMD berperanan sebagai platform yang menghubungkan rakyat secara langsung dengan peluang dalam bidang latihan, pekerjaan, keusahawanan dan teknologi digital
“JMD membuka laluan kepada rakyat untuk membina kemahiran, meneroka peluang kerjaya baharu, menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan. Dengan memperluaskan akses kepada teknologi digital dan AI, kita bukan sahaja memperkasa rakyat, malah turut mempercepat pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya.
Majlis pelancaran turut menyaksikan penyampaian geran kepada tujuh syarikat tempatan menerusi Malaysia Digital Catalyst Grant (MDCG) dan Digital Content Grant Programme (DCGP). Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam menyokong inovasi, pembangunan harta intelek (IP) serta pertumbuhan syarikat digital tempatan sebagai sebahagian daripada usaha membina ekosistem digital yang lebih berdaya saing.
Tujuh syarikat yang menerima geran tersebut ialah TFX Islamic Sdn. Bhd., AI Teacher Sdn. Bhd., Zetvest Sdn. Bhd., eVULX International Sdn. Bhd., Hidden Chest Studio Sdn. Bhd., Omens Animation Studios Sdn. Bhd. dan Lil Critter Workshop Sdn. Bhd.
Sepanjang pelaksanaannya, JMD 2026 menyasarkan 500,000 capaian dan penglibatan secara fizikal serta dalam talian, melibatkan pelajar, golongan belia, pencari kerja, pekerja bebas dan usahawan digital.
Selaras dengan aspirasi MD2030, JMD memberi tumpuan kepada empat bidang utama, iaitu Digital Literasi dan Etika, Digital Kerjaya, Digital Freelance serta Digital Perniagaan dan Keusahawanan.
Bagi edisi sulung di Damansara Damai, tumpuan diberikan kepada usaha memperkasa usahawan tempatan menerusi penerapan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti, memperluas pasaran serta menarik pelanggan baharu.
Pelbagai aktiviti turut disediakan kepada pengunjung, antaranya bengkel praktikal, perkongsian industri, demonstrasi kecerdasan buatan (AI), robotik dan dron, sesi jualan secara langsung, permainan digital serta bazar usahawan tempatan.
JMD 2026 di Damansara Damai turut mendapat sokongan pelbagai agensi di bawah Kementerian Digital dan rakan strategik, termasuk Unifi Business, PUSPAKOM, ZUS Coffee, TikTok Shop, KWSP, MyDigital ID serta pemain industri yang terlibat dalam memperkukuh ekosistem digital negara.
Bagi memperluas capaian maklumat dan hebahan kepada masyarakat, Siakap Keli turut menyokong JMD 2026 sebagai Rakan Media Digital Rasmi, menerusi penyebaran kandungan dan maklumat berkaitan program sepanjang siri jelajah tersebut.
Damansara Damai merupakan lokasi pertama daripada lima siri jelajah yang akan dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada peluang dan ekosistem ekonomi digital.
Selepas Selangor, siri JMD 2026 akan diteruskan ke Dewan Bistari Ayer Keroh, Melaka pada 15 Ogos 2026, sebelum menjelajah ke tiga lagi lokasi yang akan diumumkan kelak.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai Jelajah Malaysia Digital 2026, orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui laman web rasmi MDEC serta saluran media sosial rasmi MDEC.
