KAJANG, Malaysia – 12 September 2026 : Marshal Moto dengan bangganya memperkenalkan model sulung buat julung kalinya di Malaysia membawakan motosikal cruiser klasik yang unik, direka khas untuk mereka yang mengimpikan perjalanan tanpa batas dan peluang yang tidak terbatas. Dicipta untuk melangkaui batasan, Marshal Moto melambangkan gaya hidup yang memprioritaskan kebebasan dan pengalaman menunggang yang baharu.
Marshal Moto membuat kemunculan sulung di Malaysia dengan 2 model iaitu Marshal XS250 dan Marshal Toughman 800. Dikuasakan oleh enjin silinder berkembar penyejuk cecair dengan sesaran 248cc, Marshal XS250 menawarkan pecutan dan kuasa yang lancar, amat sesuai untuk kegunaan harian di bandar dan jelajah hujung minggu. Manakala Marshal Toughman 800 dikuasakan oleh enjin V-Twin 8-injap penyejuk cecair dengan sesaran 799cc, dibina khas untuk mereka yang mengimpikan pengembaraan dengan penuh keyakinan dan kebebasan.
Motosikal cruiser yang gagah ini bukan sahaja dikuasakan oleh enjin berkecekapan tinggi, malah direka untuk menggabungkan gaya yang unik dengan sentuhan kemasan moden, sekaligus menawarkan kejuruteraan yang boleh dipercayai dan teknologi terkini di atas jalan raya.
Model sulung ini akan ditawarkan di Malaysia dalam dua pilihan kemasan berbeza: Moonlit Silver dan Mystic Black untuk Marshal XS250; serta Cobalt Blue dan Pearl Black untuk Marshal Toughman 800.
Marshal XS250 ditawarkan pada harga runcit RM18,800, manakala Marshal Toughman 800 dijual pada harga RM38,800. Harga yang dinyatakan adalah tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan yuran pendaftaran.
