PULAU PINANG, 16 NOVEMBER 2026 – Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. dengan kerjasama RodaRoda bakal menganjurkan Mforce Moto Xperience Adventure Day 2026 pada 12 hingga 13 Disember 2026 bertempat di Sepang Bay 13 Off-Road Ranch, Selangor.
Acara selama dua hari ini bakal menghimpunkan komuniti penunggang, peminat motosikal dan orang awam menerusi pelbagai aktiviti menarik termasuk cabaran tunggangan lasak, penerokaan laluan luar jalan raya (off-road), sesi tunggang uji serta pelancaran model motosikal baharu daripada jenama edaran Mforce.
Penganjuran ini bertujuan menyediakan platform kepada peminat motosikal untuk merasai sendiri pengalaman tunggangan dalam pelbagai keadaan laluan, di samping mengeratkan hubungan sesama komuniti permotoran. Acara ini turut dibuka kepada orang ramai secara percuma untuk bersama-sama memeriahkan pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang dua hari penganjuran.
Pada hari pertama, 12 Disember 2026 (Sabtu), acara akan menampilkan aktiviti ‘Adventure Challenge’ yang memberi peluang kepada peserta untuk menguji kemahiran pengendalian motosikal menerusi laluan berhalangan sepanjang 2 km, dengan pemenang ditentukan berdasarkan catatan masa terpantas dan jumlah penalti paling sedikit. Cabaran ini khusus kepada penunggang motosikal daripada jenama edaran Mforce.
Pelancaran beberapa model motosikal baharu dijadualkan berlangsung pada jam 12.30 tengah hari, memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dan mengenali model terbaharu yang bakal diperkenalkan kepada pasaran tempatan.
Pada 13 Disember 2026 (Ahad), acara diteruskan dengan aktiviti ‘Follow-the-Trail (FTT)’, iaitu tunggangan berkumpulan tanpa elemen pertandingan sejauh 100 km merentasi pelbagai jenis laluan termasuk jalan berturap, jalan berbatu kerikil, jalan tidak berturap dan laluan tanah. Aktiviti ini akan dipimpin oleh ketua tunggangan dan dibantu oleh petugas marshal, terbuka kepada semua penunggang motosikal jenis adventure termasuk penunggang baharu yang ingin mencuba pengalaman tunggangan luar jalan raya.
Sepanjang dua hari acara, sesi tunggang uji bagi model motosikal dan ATV edaran Mforce yang terpilih juga tersedia, termasuk tunggangan di laluan luar jalan raya (off-road). Pelbagai tarikan seperti reruai pameran dan jualan motosikal, gerai makanan dan minuman serta pentas acara turut disediakan. Orang ramai juga boleh menyaksikan dan memberikan sokongan kepada peserta cabaran laluan berhalangan dari kawasan utama acara.
Selain itu, kategori ‘Kids Motocross’ turut disediakan khusus untuk kanak-kanak yang memiliki motosikal motocross sendiri, memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman tunggangan di laluan luar jalan raya (off-road) yang disediakan.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai, yuran penyertaan adalah seperti berikut:
| Kategori Penyertaan | Yuran |
| Adventure Challenge + Follow the Trail (FTT) | RM80.00 |
| Follow the Trail (FTT) | RM50.00 |
| Kids Motocross | RM10.00 |
Pendaftaran kini dibuka melalui pautan https://www.flagoff.my/e/mforce–mac2026 sehingga 30 November 2026, tertakluk kepada jumlah penyertaan yang terhad. Mereka yang berminat digalakkan untuk mendaftar lebih awal bagi mendapatkan tempat.
Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan acara serta menikmati pelbagai aktiviti dan pengalaman permotoran menarik yang ditawarkan sepanjang penganjuran.
