Memulakan karier awalnya sebagai salah seorang anggota grup rap paling fenomena di Malaysia, 4U2C sekitar awal 90-an, nama AC Mizal bukan satu nama baharu untuk disebut sebagai penyanyi.
Benar, kariernya begitu warna warni. Pemilik nama sebenar Mizal Zaini ini juga terkenal sebagai seorang pelakon, sebelum dewasa ini lebih akrab dilihat sebagai hos di kaca televisyen.
Bagaimanapun, sebagai lelaki yang mula menjebakkan diri sebagai pengasas sebuah grup rap dan penyanyi, dunia nyanyian tidak pernah mati di dalam dirinya.Rapping sudah menjadi makanannya sejak dahulu. Menyanyi juga begitu dan gerak tari bukan sesuatu yang asing di dalam setiap persembahan yang dilakukan AC Mizal.
Berusia 42 tahun, anak kelahiran Muar Johor yang menerima gelaran Datuk ini dilihat semakin aktif menyanyi selepas sudah tidak berbabit dengan banyak komitmen lain. AC Mizal kini kembali menyemarakkan industri seni suara dengan rangkaian lagu-lagu santai dan hitnya.
Pernah berkolaborasi dengan Fida Ibrahim dan Stellar Band untuk lagu Apa Kono Eh Jang, nyata kolaborasi tersebut berjaya menarik perhatian apabila lagu lama yang diberi nafas baharu itu telah menjuarai banyak carta di radio-radio tempatan.
Selain Apa Kono Eh Jang, lagu ketuhanan dendangannya bersama Mawi, Al Haq Yang Satu menjadi tanda aras baharu buat AC kembali aktif dalam bidang nyanyian.
AC Mizal kini sudah bernaung dan memilih syarikat rakaman antarabangsa iaitu Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd dan segala aktiviti nyanyian Dato AC akan dikendalikan sepenuhnya oleh Sony Music. Selepas ini kemuncak kerjaya Dato Ac bakal mekar kembali di dalam bidang nyanyian.
Dengan kepercayaan itu, AC Mizal kini muncul dengan sebuah single terkini yang diberi judul Paranoid. Paranoid dilihat mampu menjadi hit sama seperti dua lagunya sebelum ini. Dan kelebihan pada lagu ini apabila AC MIZAL muncul menyanyi secara solo untuk keseluruhan Paranoid.
Dihasilkan sepenuhnya oleh Jeff A To Z, AC MIZAL menerusi lagu ini sekali lagi menampilkan kepakarannya sebagai seorang rapper apabila terdapat banyak lirik yang perlu didendangkan dalam ritma tersebut.
Secara keseluruhannya, Paranoid kasarnya merupakan sebuah luahan kiasan tentang dilema yang sedang dihadapi manusia di dunia. Ia tentang kerakusan manusia, keganasan yang tidak berkesudahan, perbezaan ideologi yang membawa kepada persengketaan, seterusnya mengakibatkan sikap paranoid timbul di dalam diri seseorang.
Perhatikan pada bahagian korusnya yang berbunyi;
‘Aku Paranoid,Aku paranoid ya
Aku Paranoid,Aku paranoid ya
Aku Paranoid,Aku paranoid ya
Lari lah la lari darinya dari semua sengketa
dunia…oh ya’
Mahu tahu apa yang sebenarnya ingin disampaikan dalam Paranoid, jangan lupa untuk mendengar single tersebut di corong-corong radio dan boleh dimuat turun sebagai nada dering telefon bimbit anda. Terdapat juga di itunes, Sportify dan KK Box.