Kuala Lumpur, 6 Februari 2024 – Drama siri premium terbaharu daripada Astro Originals, ‘I.D’ mendedahkan tentang insiden serta isu-isu yang berlaku di media sosial, terutamanya berkaitan keselamatan data dan jenayah siber akibat salah laku penggunaan data peribadi.
‘I.D’ merupakan siri drama premium terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Alpha47 bakal bersiaran pada 23 Februari, 9 malam, menerusi Astro Premier (Saluran 410) atau boleh menyaksikan episod awal di setiap minggu bermula 12 tengah malam menerusi platform On Demand dan Astro GO.
Siri drama premium penuh debaran I.D, diarahkan oleh Razaisyam Rashid, seorang pengarah, penerbit dan penyunting filem berpengalaman, manakala skrip pula ditulis oleh Ashraf Modee Zain. Drama premium 8 episod ini menampilkan barisan bakat berpengaruh tempatan termasuk Naim Daniel (Aidi Zabran), Amelia Henderson (Anggun Zahara), Aedy Ashraf (Jazman Rahim), Datuk Rosyam Nor (Rahim Abadi), Ellyza Azizi (Alia Mukhriz), Shantini Venugopal (Patti Shanti), Joyce Harn (Jo), Jo Kukathas (Dato Kumari Lakshmi) dan ramai lagi.
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, juga merangkap Penerbit Eksekutif I.D, berkata, “I.D sebuah naskhah segar yang membawakan isu terkini iaitu media sosial serta jenayah siber yang wujud dalam masyarakat kita dan dipersembahkan dalam bentuk hiburan dengan gabungan aksi, romantik dan persahabatan. Tambah menarik, I.D digarap oleh pengarah kreatif iaitu Razaisyam Rashid yang amat terkenal dengan sentuhan visual tersendiri, di samping membariskan para pelakon hebat tanah air dalam menjayakan watak. Kami mengharapkan subjek yang diketengahkan menerusi I.D dapat menarik perhatian ramai, seterusnya menjadi topik yang boleh dibincangkan di luar sana.”
Pengarah dan Idea Asal I.D, Razaisyam Rashid, berkata, “Idea I.D tercetus apabila melihat persekitaran saya, di mana orang muda sekarang kebanyakkannya hidup dalam dunia digital. Jadi saya cuba salurkan suara orang muda dan cabaran zaman sekarang menerusi sebuah karya, maka terhasillah I.D. Cabaran terbesar menghasilkan I.D adalah ketika sesi penggambaran, di mana beberapa pelakon utama ketika itu mengalami kecederaan jadi dari sudut kamera dan visual, saya harus memastikan mereka dapat menyampaikan babak dengan baik tanpa menjejaskan keadaan mereka. Saya mengharapkan masyarakat dapat menerima I.D. Walaupun ia membawa suara golongan orang muda, tetapi saya juga mengharapkan naskhah ini dekat dengan semua lapisan penonton kerana cerita ini memfokuskan apa yang sedang berlaku di luar sana dan mampu memberi kesadaran kepada penonton kita.”
I.D, mengisahkan Aidi, seorang pereka aplikasi yang telah mencipta BEBAS App, aplikasi penting yang digunakan sewaktu penularan wabak dengan menempatkan maklumat-maklumat pengguna bagi tujuan pemakluman info semasa. Jazman, seorang pengurus syarikat di mana tempat Aidi bekerja telah memecat Aidi tanpa sebarang alasan yang munasabah. Dendam Aidi terhadap Jazman terus memuncak, ditambah pula apabila melihat kemesraan Anggun, gadis idaman Aidi, sering bersama Jazman. Akibat dendam, Aidi telah mencuri 27.7 juta maklumat pengguna daripada BEBAS App dan mencipta watak baharu iaitu Tengku Remy di alam maya untuk berkenalan dengan Anggun. Data yang digodam oleh Aidi juga telah dijual kepada pihak yang tidak bertanggungjawab demi mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Namun tanpa disedari, aktiviti haram yang dilakukan ini telah menjerumus kepada masalah besar yang bakal menimpa Aidi.
Siri premium I.D memberi pendedahan kepada masyakat tentang penceritaan sebenar di media sosial dan natijah daripada ketirisan maklumat akibat aktiviti tidak bermoral daripada pihak yang hanya memikirkan kepentingan sendiri.
Para pelanggan Astro boleh menyaksikan episod-episod baharu I.D pada 9 malam, setiap Jumaat di Astro Premier (Saluran 410) menerusi On Demand dan Astro GO. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, TikTok, Facebook, X, Astro Gempak dan Astro Shaw dengan menggunakan hashtag #IDTIPU, #IDTHESERIES dan #ASTROORIGINALS.