(HIBURAN) BLACK OPS FILEM AKSI KOLABORASI RENTAS NEGARA PRODUKSI MALAYSIA DAN HONG KONG

Spread the love

6 Januari 2026, Kuala Lumpur – Industri perfileman tempatan melakar sejarah baharu menerusi kerjasama rentas negara produksi Malaysia seperti Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Komet Studios, Marvelous Culture & Film, dan GSC, bersama syarikat penerbitan tersohor Hong Kong, One Cool Films milik bintang terkenal Louis Koo, menerusi filem aksi terbaru yang akan menggegarkan pawagam penghujung tahun 2026 berjudul Black Ops. Kerjasama ini turut menandakan kali pertama One Cool Film berganding bahu dengan produksi dari Malaysia.

Lebih mengujakan, filem ini diarahkan oleh dua pengarah berkaliber tinggi iaitu Syafiq Yusof dari Malaysia serta pengarah bersama Chui Tze Yiu dari Hong Kong, menjadikan Black Ops simbol hubungan kreatif sinema Malaysia dan Hong Kong.

Sebagai projek berskala antarabangsa, filem ini juga menghimpunkan barisan pelakon hebat dari Malaysia dan Hong Kong, sekali gus memperkukuh hubungan kreatif antara dua negara. Antara bintang yang menjayakan filem ini adalah, Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Hisyam Hamid, Dato’ Aaron Aziz, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, MK K-Clique, Raja Afiq,  Benjamin Tan, Ken Law (Super Ken), Sean Lin, Mathni Razak, Balan Kash, Ahirine Ahirudin, Azman Hassan,  dan adik Rania Amanda.

Babak aksi intensif Black Ops diterajui oleh dua pengarah lagak ngeri bertaraf antarabangsa, Ken Law (Super Ken) dan Sean Lin (Lin Li-Yang) selaku Pengarah Lagak Ngeri filem ini. Ken Law, pakar aksi dari Hong Kong dan calon Anugerah Golden Horse 2025, terkenal dengan koreografi aksi realistik dan berskala besar yang memberi impak maksimum.

Turut berganding ialah Sean Lin dari pasukan lagenda Hung Ga Ban yang diasaskan oleh Sammo Hung. Dengan latar belakang seni mempertahankan diri dan sinema aksi Hong Kong, kolaborasi mereka menjanjikan babak aksi berkualiti tinggi yang mengangkat Black Ops ke tahap piawaian antarabangsa.

Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif Black Ops, Datuk Yusof Haslam, berkata “Sebagai pembikin filem, saya berharap Black Ops dapat diterima dengan baik oleh penonton Malaysia. Kejayaan sesebuah filem terletak pada kekuatan cerita, lakonan yang jujur, promosi yang berkesan serta sokongan padu rakyat Malaysia. Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan masyarakat dan satu pengalaman yang diharap dapat kekal di hati penonton. Saya juga berharap kolaborasi antara Skop Productions dan One Cool Film ini mampu membuka ruang lebih luas untuk industri perfileman Malaysia melangkah ke peringkat antarabangsa.”

Pengarah One Cool Film dan Penerbit Bersama Black Ops, Tang Wai But mengatakan, “Melalui Black Ops, kami di One Cool Film amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Skop Productions, salah satu penerbit terkemuka di Malaysia. Kolaborasi ini bukan sekadar menghasilkan sebuah filem, tetapi langkah awal kepada hubungan jangka panjang antara industri perfileman Hong Kong dan Malaysia.

Kami komited untuk bekerjasama rapat bagi memastikan Black Ops dihasilkan pada tahap terbaik, sambil membantu memperluaskan penembusan filem Malaysia ke pasaran serantau dan antarabangsa. Terima kasih kepada FINAS, FIMI serta seluruh pasukan produksi, pengarah dan pelakon atas dedikasi dan sokongan. Kami berharap kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi pada masa akan datang.”

Ketua Astro Shaw dan Penerbit Eksekutif Bersama Black Ops, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan, “Astro Shaw amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada projek ini. Hubungan strategik kami bersama Skop Productions yang telah terjalin sekian lama kini diperkukuhkan lagi melalui kolaborasi bersama penerbit terkemuka dari Hong Kong, menandakan langkah penting ke hadapan dalam memperluas kerjasama perfileman tempatan ke peringkat antarabangsa. Dengan pengalaman dan keupayaan platform kami, Astro Shaw bersedia sepenuhnya untuk memastikan projek ini mencapai potensi maksima, serta menetapkan standard baru bagi industri perfileman tempatan.”

Black Ops mengisahkan tentang seorang anggota pasukan Black Ops, Johan  didakwa dalam pembunuhan isterinya dan kehilangan anak perempuannya, dia terpaksa berpaling menentang pasukannya sendiri untuk mendedahkan konspirasi berkuasa serta menuntut kembali kehidupannya.

Dengan skala produksi yang luar biasa, barisan kreatif antarabangsa, serta kekuatan jalan cerita dan aksi yang dijanjikan, Black Ops bakal menjadi sebuah filem yang bakal dinantikan tahun ini.

Ikuti info-info menarik tentang Black Ops di kesemua platform media sosial Skop Productions, One Cool Studios, Astro Shaw.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *