(HIBURAN) BLOOD BROTHERS: BARA NAGA KARYA TERBAIK SKOP PRODUCTIONS!

Spread the love

Di sebalik kemeriahan Aidilfitri, Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, dengan bangganya mempersembahkan Blood Brothers: Bara Naga, sebuah filem aksi mendebarkan yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 10 April 2025. Dengan aura gelap dunia mafia yang jarang diterokai dalam industri perfileman tempatan, tayangan perdananya di IOI City Mall, Putrajaya, hari ini memberi gambaran pertama tentang kisah penuh intensiti, ketegangan, dan konflik yang bakal menggegarkan layar perak!

Aksi menyengat, jenayah penuh muslihat, dan drama yang mencengkam, Blood Brothers: Bara Naga bukan sekadar filem, tetapi sebuah pengalaman sinematik yang bakal mengagumkan para penonton! Di bawah arahan dua nama besar, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, setiap adegan menjanjikan kepuasan maksimum, diperkuat dengan visual memukau serta sinematografi yang terbaik. Membariskan pelakon-pelakon berkarisma, filem ini dibintangi oleh Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Wan Hanafi Su, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap, dan ramai lagi. Setiap satunya membawa aura tersendiri, bersedia untuk mengunci perhatian penonton dari awal hingga akhir dengan intensiti lakonan yang luar biasa!

Dulu Ditindas, Sekarang Di Atas!

Blood Brothers: Bara Naga menyematkan tema kepercayaan, pengorbanan, dan nilai persaudaraan dalam dunia yang sarat dengan tipu daya. Ia mengikuti perjalanan Ariff (Syafiq Kyle), yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk berkhidmat di bawah naungan Dato Zul (Wan Hanafi Su), seorang ahli perniagaan berpengaruh yang juga merangkap sebagai ketua Mafia Naga. Sejak itu, Ariff mengangkat bai’ah setia sebagai pengawal peribadi elit dalam syarikat kawalan keselamatan dipanggil Silent Guard, sekali gus terikat sebagai Blood Brother kepada Ghaz.

Namun, ketika sebuah pengkhianatan dahsyat menggoncang dunia mereka, Ariff tiba-tiba dituduh sebagai pembelot dan dijadikan suspek utama. Dalam keadaan terdesak untuk membersihkan namanya, Ariff terpaksa melarikan diri dan mendapatkan bantuan daripada abang kandungnya yang sudah lama terpisah, Jaki (Syazwan Zulkifly). Sementara itu, Ghaz diamanatkan untuk memburu dan menangkap Ariff lantas menyerahkannya  kepada pengadilan keluarga Naga yang dahagakan balas dendam.

Mampukah Ariff membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah dan mendapatkan kembali kepercayaan Ghaz? Atau adakah nasibnya berakhir dengan kematian di tangan Blood Brother yang dianggap seperti abang kandungnya sendiri?

Bercakap pada sidang media pada malam tayangan perdana Blood Brothers: Bara Naga, Syafiq Yusof selaku pengarah filem ini berkata, “Dua tahun penuh dedikasi telah kami curahkan untuk menghasilkan Blood Brothers: Bara Naga. Setiap peringkat, bermula daripada perancangan, penulisan, penggambaran, hingga  pascaproduksi, menyaksikan usaha gigih daripada seluruh kru dan pelakon. Saya yakin filem ini akan membuka lembaran baru dalam industri filem negara dan memberi inspirasi kepada karyawan lain untuk menghasilkan karya yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.”

Pengarah bersama, Abhilash Chandra, pula berkongsi, “Bekerja dengan Syafiq Yusof untuk Blood Brothers: Bara Naga memang satu perjalanan kreatif yang luar biasa. Kerjasama ini beri kami peluang untuk teroka idea baru dan cipta satu cerita yang berkesan dan kuat. Setiap babak ada impak dan tujuan tersendiri, dan saya yakin penonton dapat rasa terhubung dengan jalan cerita yang kami bawakan ni.”

Tayangan Perdana Blood Brothers: Bara Naga ini diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Dr. Yusof Haslam, Pengasas Skop Productions, Datuk Hans Isaac, Pengerusi FINAS, Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, dan ramai lagi.

Malam tayangan perdana filem ini turut menyaksikan persembahan OST yang bertenaga oleh Azlan Typewriter dan Muzza, bertajuk Bara Jiwa. Dimulai dengan petikan gitar yang menghanyutkan, liriknya menekankan persaudaraan, kesatuan, dan janji untuk terus berdiri walaupun menghadapi dugaan. Metafora Bara Naga yang digunakan malah menggambarkan api semangat yang berkobar dalam jiwa, mengajak pendengar merasai semangat perjuangan yang menyimpan kisah yang bernilai.

Siapakah yang akan terus bertahan hingga akhir?

Apabila pertarungan melibatkan darah sendiri, siapakah yang akan terus bertahan? Bersiap sedialah untuk menyaksikan Blood Brothers: Bara Naga, sebuah filem yang menyingkap erti sebenar persaudaraan melangkaui batas darah, di pawagam seluruh Malaysia mulai 10 April 2025 ini!

Bagi yang tidak sabar, tayangan awal bagi Filem Blood Brothers: Bara Naga mula menggegar pawagam seawal 8 April 2025 di 146 lokasi pawagam terpilih seluruh Malaysia. Jangan lepaskan peluang anda untuk beraya bersama Blood Brothers sekarang!

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Blood Brothers: Bara Naga, ikuti kami di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube Primeworks Studios.

 


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *