(HIBURAN) ‘Dahil May Isang Ikaw’ (Destined Hearts) Jerat Antara Cinta & Budi

Spread the love

Telenovela Dahil May Isang Ikaw (7)

Menyusul selepas ‘Dangerous Love’ yang berakhir hari ini, sebuah lagi drama telenovela dari Filipina iaitu ‘Dahil May Isang Ikaw’ (Destined Hearts) yang menampilkan pelakon popular seperti Jericho Rosales, Kristine Hermosa, Gabby Concepcion, Lorna Tolentino, Chin Chin Gutierrez, John Estrada, Karylle dan Sid Lucero, bermula esok (2 Julai).  ‘Dahil May Isang Ikaw’ yang diarahkan oleh dua sutradara iaitu Jerry Lopez Sineneng dan Rechie Del Carmen ini mengisahkan tentang Tessa Ramirez, seorang peguam yang prihatin dan sangat dihormati, dia telah memenangi setiap kes yang dibicarakan khususnya melibatkan penderaan kanak-kanak. Bagaimanapun, cabaran sebenar Tessa ialah pencarian anak perempuannya yang hilang.

 isnag kawsmall

Sebelum mencapai kejayaan yang dikecapi ini, Tessa pernah menjadi pasangan yang ideal dan romantik bersama Jaime Alferos ketika di kolej pada tahun 1980. Jaime telah berjanji dengan Tessa bahawa mereka akan berkahwin apabila dia kembali dari Amerika Syarikat. Suatu hari, ibu Jaime memberitahu Tessa yang anaknya telah menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Tessa cuba menghubungi Jaime namun panggilan tersebut dijawab oleh Patricia yang mengesahkan hubungan mereka. Pada waktu yang sama, Tessa disahkan mengandung.

Daniel Ramirez yang menyimpan perasaan terhadap Tessa selama ini berjanji akan melakukan apa sahaja demi kebahagiaan Tessa, malah sanggup menjadi suami dan bapa kepada anak yang dikandung oleh Tessa.

Dalam situasi yang tidak dijangka, anak perempuan Tessa iaitu Melissa diculik oleh kumpulan sindiket yang memaksa kanak-kanak menjadi buruh kasar. Sepatutnya Daniel membawa Melissa untuk berjumpa dengan pakar kanak-kanak, namun, secara tiba-tiba seorang lelaki mengacukan pistol terhadap Daniel. Sama ada menyerahkan Melissa atau dibunuh, itulah pilihan Daniel. Tessa menyalahkan Daniel kerana kehilangan Melissa.

Ella (Kristine Hermosa), seorang gadis yang sering menjadi mangsa dera oleh ibunya mempunyai impian mudah iaitu disayangi oleh ibunya. Jadi suatu hari, dia cuba menjadikan impian tersebut kenyataan dengan membaling syiling satu peso ke sungai. Malangnya, syiling tersebut jatuh ke dalam sebuah bot bermakna impian Ella tidak akan menjadi realiti.

Ella terlihat seorang lelaki iaitu Miguel (Jericho Rosales), secara rahsia menaiki bot tersebut. Dia meminta Miguel untuk membaling syilingnya ke sungai tetapi Miguel tidak mendengar arahan itu dengan jelas sebelum Miguel ditangkap pemilik bot yang menyuruhnya turun manakala Ella dimarahi dan kemudian dihukum oleh ibunya kerana telah mencuri syiling satu peso.

Miguel dan Ella telah mencari antara satu sama lain sepanjang hidup mereka. Konflik semakin ke kemuncak apabila Miguel mendapati dirinya berbelah bagi sama ada untuk memilih Ella, wanita yang dicintainya atau Tessa, wanita yang telah memberinya kehidupan baru. Kedua-dua keluarga terperangkap dalam persengketaan yang penuh penipuan dan tipu helah. Saksikan Jericho Rosales, Kristine Hermosa, Gabby Concepcion, Lorna Tolentino, Chin Chin Gutierrez, John Estrada, Karylle dan Sid Lucero di dalam ‘Dahil May Isang Ikaw’ menerusi slot Telenovela, setiap Isnin hingga Khamis jam 3.00 petang.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *