Gabungan elemen cinta, muzik dan persembahan bertenaga bakal menghiasi pentas Sabah International Convention Centre (SICC) menerusi Festival Tentang Cinta yang bakal berlangsung pada 9 Ogos 2025, jam 8 malam.
Penganjuran konsert berskala besar ini diterajui oleh Extreme Visionary Venture dengan kerjasama Tourism Malaysia, dan turut disokong oleh rakan strategik Fazbuzz Events & Media Sdn. Bhd serta platform penjualan tiket rasmi, Ticket2U. Membariskan barisan artis popular serantau, konsert ini menampilkan penyanyi sensasi dari Indonesia, Andmesh, yang terkenal dengan lagu-lagu cinta penuh emosi dan bintang Indonesian Idol Musim Ke-10, Ziva Magnolya.
Ziva mula dikenali selepas meraih tempat ketiga dalam Indonesian IdoL. Penampilannya yang memukau dengan teknik vokal ‘riffs & runs’ menjadikannya antara peserta paling menonjol dalam musim tersebut. Sebelum itu, Ziva aktif membuat ‘cover’ lagu di media sosial dan pernah menarik perhatian penyanyi antarabangsa, Jeremy Passion, yang mengajaknya berduet di Ramadhan Jazz Festival 2019. Ziva sudah menerima pelbagai anugerah muzik berprestij di Indonesia, termasuk Anugerah Musik Indonesia (AMI). Single ‘Terlukis Indah’ mendapat sambutan hangat di Indonesia dan Malaysia, manakala ‘Peri Cintaku’ berjaya menduduki carta teratas di pelbagai platform muzik.
Turut menyerikan acara ialah artis terkenal tanah air seperti Hael Husaini, Ara Johari, serta dua bintang dari Sabah sendiri yang kini mengharumkan nama negeri di pentas nasional, Adira dan Mary Grace. Adira yang dikenali menerusi vokal hebatnya, dan Mary Grace yang mencuri tumpuan ramai dalam dunia hiburan, bakal membuktikan bahawa bakat tempatan Sabah terus relevan dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Wakil penganjur yang juga Penerbit Konsert, Dato’ Suhaila Semaru berkata, konsert ini bukan sahaja dirancang untuk menghiburkan, tetapi turut memberi impak kepada industri pelancongan negeri.
“Festival Tentang Cinta adalah sebuah inisiatif yang lahir daripada semangat untuk menyatukan cinta dan muzik dalam satu pengalaman yang penuh makna. Kami ingin menjadikan Sabah sebagai destinasi hiburan yang dinamik, selain memperkenalkan bakat-bakat tempatan seperti Adira dan Mary Grace kepada khalayak yang lebih luas.
“Melalui gabungan unsur seni dan kecemerlangan artis tempatan, festival ini menjadi titik tumpuan yang memikat pelancong dari pelbagai rantau, termasuk pelawat antarabangsa, serta membantu membuka pintu kepada peluang baharu dalam industri seni dan hiburan Sabah,” jelas beliau.
Konsert ini turut mendapat kerjasama erat daripada Tourism Malaysia sebagai usaha memperkasa sektor pelancongan domestik menerusi acara berskala besar.
Menawarkan pelbagai kategori tiket untuk keselesaan dan pilihan penonton, harga tiket adalah seperti berikut:
- Kategori 1 (VVIP) – RM988 – Tentang Kita (Tempat duduk bernombor)
- Kategori 2 (VIP) – RM488 – Kau dan Aku (Tempat duduk bernombor)
- Kategori 3 (Gold) – RM288 – Jomblo (Tempat duduk bebas)
- Kategori 4 (Silver) – RM158 – Mencari Cinta (Berdiri bebas)
Susun atur tempat duduk yang menarik dengan nama-nama kategori bertemakan cinta memberi pengalaman lebih mendalam kepada penonton, menjadikan konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi juga satu perjalanan emosi.
Tiket boleh didapati secara dalam talian melalui laman rasmi www.ticket2u.com.my bermula 9 Mei 2025.
Ayuh raikan cinta melalui muzik – hanya di Festival Tentang Cinta!

