(HIBURAN) Viu Malaysia Mempersembahkan ‘Finale Episodes Grand Party’ Viu Original ‘W: Two Worlds’ Yang Paling Dinantikan

Spread the love

KUALA LUMPUR – 3 Januari 2024 : Viu, perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau milik PCCW telah menayangkan 2 episod akhir Viu Original W: Two Worlds, sebuah karya adaptasi daripada drama bersiri popular Korea dengan tajuk yang sama. Siri romantik, fantasi dan thriller ini telah ditayangkan sejak 30 November 2023 dengan dua episod baharu pada setiap hari Khamis minggu berikutnya, menampilkan barisan bintang terkenal seperti Hun Haqeem, Daiyan Trisha, Faizal Hussein, Mierul Aiman, Elizabeth Tan, Tony Eusoff dan Shahkimin.

Kingsley Warner, Pengurus Negara, Viu Malaysia, berkata, “Viu telah membuktikan kejayaannya dalam menghasilkan karya drama adaptasi berkualiti tinggi seperti Black dan She Was Pretty. Kini, kami persembahkan projek adaptasi siri W: Two Worlds pula dan ia bukanlah satu tugasan yang mudah. Untuk mengekalkan standard seperti mana yang dikehendaki oleh penonton adalah satu cabaran. Namun, apa yang pasti, drama ini tidak akan mengecewakan peminat setia kami dan peminat K-drama lain. Kami berharap karya ini dapat menawarkan satu pengalaman yang berbeza kepada industri dan penyokong karya seni tanah air.”

W: Two Worlds menggandingkan semula duo hebat iaitu pengarah Datuk Yusry Abdul Halim dan penerbit Zurina Ramli untuk kali ketiga dalam pembikinan Viu Original. Sebelum ini, mereka telah bekerjasama menjayakan She Was Pretty (2022), sebuah adaptasi drama Korea popular berjudul sama, yang berjaya merangkul dua anugerah kebangsaan di Asian Academy Creative Awards 2022. Mereka kemudiannya meneruskan kerjasama dalam menjayakan Nenek Bongkok Tiga yang ditayangkan pada Februari tahun ini. Dengan rekod cemerlang mereka, gandingan kreatif Yusry dan Zurina pastinya menjanjikan produksi terbaik yang bakal menambat hati penonton.

W: Two Worlds mengisahkan tentang Izara, seorang doktor muda dan bapanya Omar, yang merupakan pelukis siri webtoon popular, W. Apabila Omar hilang tanpa jejak, pencarian Izara membawa dirinya ke dunia webtoon, di mana dia menyelamatkan nyawa watak utama webtoon tersebut iaitu Aliff. Dengan berbuat demikian, Izara mendapati dirinya ditulis ke dalam cerita, apabila webtoon itu seakan hidup dan mula berfungsi sebagai realiti yang berbeza. Aliff sedang memburu lelaki yang membunuh keluarganya sepuluh tahun lalu. Dia sedar bahawa nasib Izara dan dirinya saling berkait, tanpa menyedari bahawa dirinya adalah watak dalam sebuah webtoon. Apabila dua dunia bertembung, pelbagai situasi yang tidak dijangka timbul yang membawa kepada konflik dan kisah percintaan.

Hun Haqeem membawa watak Aliff, jejaka menawan dengan masa silam yang tragis. Hun adalah salah seorang bintang muda terhangat dalam industri setelah memberikan prestasi cemerlang dalam projek seperti Viu Original Nenek Bongkok Tiga (2023), Imam Instant Ustazah Scammer (2023) dan Kampung People (2020-2021). Bakat dan dedikasi luar biasa beliau diiktiraf apabila beliau dicalonkan sebagai Artis Baharu Lelaki Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2020.

Izara dilakonkan oleh Daiyan Trisha. Dengan portfolio mantap beliau melibatkan pelbagai karya popular termasuk Projek: High Council (2023), Tetuan Ang & Rahimin (2022) dan Projek: Anchor SPM (2021), pelakon berbakat ini telah membuktikan komitmen dan kemampuan serba boleh beliau dalam setiap watak yang dilakonkan. Peranannya dalam Busker (2018) telah melayakkan beliau tercalon untuk Pelakon Baharu Terbaik di Festival Filem Malaysia 2019. Selain berlakon, Daiyan juga merupakan seorang penyanyi dan penulis yang baru sahaja melancarkan buku puisinya.

W: Two Worlds turut menampilkan pelakon veteran Faizal Hussein yang memegang watak bapa Izara, Omar. Sorotan terkini dalam kerjaya Faizal Hussein termasuk peranannya dalam Harum Malam (2023), One Cent Thief (2022) dan i-Tanggang (2021). Faizal pernah memenangi Pelakon Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2019 untuk Samad Tedung, dan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia 2012 untuk Bunohan. Bakat, dedikasi dan kecemerlangan beliau yang konsisten menjadikan beliau digemari ramai peminat dan merupakan pelakon yang sentiasa dikehendaki.

Pelakon yang sedang meningkat naik, Mierul Aiman membawakan watak Ghazi, pengawal peribadi dan rakan baik Aliff. Mierul Aiman mencipta gelombang dalam industri hiburan tanahair melalui Projek: High Council (2023), Imam Instant Ustazah Scammer (2023) dan Akim & Mira: Kisah Cinta 1999 (2023). Persembahan cemerlang Mierul Aiman dalam projek-projek tersebut telah melayakkan beliau dicalonkan untuk BBNU Lelaki Popular di ABPBH 2023.

Elizabeth Tan membawa watak Hanna, kawan zaman kanak-kanak Aliff dan pembantu peribadi, yang mendapati dirinya terperangkap antara tugas dan cinta. Elizabeth Tan mempunyai perjalanan kerjaya yang mengagumkan dalam pelbagai projek yang diterima ramai seperti Special Force: Anarchy (2023), Abang Long Fadil 3 (2022) dan Keluarga Baha Don Season 3 (2021). Elizabeth juga merupakan seorang penyanyi sejak 2014 lagi. Bakat luar biasa ini membuatkan beliau tercalon untuk Selebriti Harapan Pilihan di Anugerah Stail EH! 2016.

Seorang lagi pelakon berpengalaman yang menyertai barisan pelakon ialah Tony Eusoff, yang memegang watak sebagai pendakwa raya yang bertukar menjadi ahli politik, Musa. Tony baru-baru ini dilihat dalam siri thriller, Liar (2023) yang merupakan adaptasi Malaysia daripada siri British yang terkenal dengan nama yang sama. Karya lain beliau termasuk persembahan memukau dalam Histeria The Series (2022), Penunggang Agama (2021) dan Daulat (2020). Tony Eusoff terus mengagumkan dan menambat hati penonton, menjadikan beliau seorang pelakon yang persembahannya harus ditonton dalam dunia hiburan.

Akhir sekali ialah Shahkimin yang memegang watak Rafi, pembantu komik Omar yang aneh tetapi bersemangat. Shahkimin telah menghiasi dunia hiburan tempatan dengan bakat komedinya dalam projek seperti She Was Pretty (2022), The Pak Mat Clan (2022) dan Kampung People (2019-2022).

W: Two Worlds ditaja oleh Simple dan Vivo V29.

Penonton boleh menonton W: Two Worlds di aplikasi Viu, yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, Huawei App Gallery dan TV pintar terpilih, serta di laman web www.viu.com.

Untuk mengetahui lebih lanjut, muat turun Viu di App Store atau Google Play, atau layari www.viu.com. Ikuti kami di Facebook, Instagram, YouTube, Twitter, dan TikTok.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *