(HIBURAN) KAU TAKDIRKU – KISAH TIGA HATI YANG SALING MENCINTAI

Spread the love

PETALING JAYA, 17 OGOS 2017 – Kisah cinta yang satu dunia dan akhirat arahan Jason Chong, bertajuk Kau Takdirku telah dipertontonkan kepada para tetamu dan rakan media pada Malam Gala Kau Takdirku yang diadakan pada 17 Ogos dan bertempat di mmCineplexes, eCurve Mutiara Damansara. Kisah cinta tragis di antara tiga jiwa ini bakal menemui para peminat yang rata-ratanya tidak sabar menantikan kemunculannya di layar perak pada 7 September ini.
Kau Takdirku, yang diterajui oleh dua jejaka idaman Malaysia, iaitu Remy Ishak dan Bront Palarae, turut menampilkan Ezzaty Abdullah, pelakon dan penyanyi Aisya Hasnaa serta pengacara Megan Tan. Filem ini mengisahkan tentang Kamar (Remy Ishak) telah jatuh cinta secara rahsia dengan Alya (Ezzaty Abdullah) yang berkahwin dengan rakannya, Harris (Bront Palarae). Setelah kehilangan Harris di laut, Kamar mengahwini Alya, namun keadaan menjadi rumit apabila Harris pulang. Mampukah Alya membuat pilihan sama ada untuk terus mencintai Kamar atau kembali ke pangkuan Harris?

Selain penampilan khas Kartina Aziz, Kau Takdirku turut menerima sentuhan daripada penulis skrip Azlina Pa’wan yang mengetengahkan tema cinta dan pengorbanan. Tema tersebut diterapkan di dalam babak-babak cinta yang meruntun jiwa arahan Jason Chong yang kini muncul dengan filem ketiganya selepas filem Belukar dan Dendam Orang Mati. Filem Kau Takdirku merupakan filem cinta pertama arahan beliau, dan ia bakal memukau penonton dengan sinematografi indah yang turut diselitkan di dalam filem terbitan Grand Brilliance ini. Salah satu elemen yang menyemarakkan emosi di dalam filem ini adalah lagu tema yang berjudul Engkau Milikku, nyanyian penyanyi tanah air, Datin Alyah.

Terkini di media sosial Grand Brilliance adalah pengenalan watak-watak utama Kau Takdirku yang menggunakan teknik ‘motion’, di mana watak tersebut bergerak dan berlatarbelakangkan suara mereka yang menyebut barisan ayat-ayat cinta. Selain daripada promosi yang kini sedang giat dijalankan di platform-platform digital, Primeworks Distribution juga telah bekerjasama dengan aplikasi Wanita, oleh Media Prima Digital. Aplikasi mudah alih Wanita adalah aplikasi pertama di Malaysia yang dihasilkan khas buat para wanita yang ingin mengamalkan gaya hidup aktif dengan tips-tips kecergasan dan kesihatan, gaya hidup sihat dan cara-cara pengurusan diri. Kerjasama di antara dua pihak ini merupakan salah satu cara bagi mempromosikan filem ini, iaitu dengan menampilkan Remy Ishak dan Bront Palarae yang membincangkan tentang gaya hidup aktif mereka.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan kisah cinta tragis di antara Kamar, Alya dan Harris ini di pawagam seluruh Malaysia, bermula 7 September 2017. Saksikan treler rasmi Kau Takdirku di saluran YouTube Grand Brilliance, dan 15 minit pertama filem ini di portal Tonton.

Untuk info lanjut mengenai filem Kau Takdirku, lawati laman Facebook, Instagram dan Twitter Grand Brilliance di @grandbrilliance.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *