(HIBURAN) KL Zombi Serang Pawagam 29 Ogos Ini

Spread the love

GROUP PHOTO (1)

Resah pencinta filem tempatan berakhir apabila Grand Brilliance mengumumkan baru-baru ini bahawa filem terbaru terbitan mereka, KL Zombi akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 29 Ogos 2013. Filem yang diadaptasi dari novel Fixi karya Adib Zaini berjudul Zombijaya ini dianggap sebagai filem zombi pertama negara yang lengkap dengan tatarias dan efek yang setanding dengan taraf filem antarabangsa.  Selain menggalas tanggungjawab sebagai pengarah filem, Woo Ming Jin (Salon, Seru) juga mengolah skrip dan lakon layar untuk filem ini.

zombie KLsmall

“Selaras dengan misi kami untuk menjadi penanda aras baru filem tempatan, KL Zombi merupakan filem pertama yang menampilkan zombi-zombi dengan solekan kesan khas yang merangkumi prostesis, lateks dan kanta lekap khas serta baju yang dilusuhkan dan diubah untuk mengikut watak zombi-zombi tersebut.  Selain itu, lokasi-lokasi yang dipilih terpaksa dikucar-kacirkan dan dikotorkan untuk memberi gambaran suasana terbiar selepas serangan zombi,” ujar Tengku Iesta Tengku Alaudin, Pengurus Besar, Grand Brilliance.

“Pelakon-pelakon tambahan yang menjadi zombi juga perlu memastikan bahawa mereka dapat bergerak dan mengeluarkan bunyi seperti zombi yang sebenar,” tambahnya lagi.

Grand Brilliance telah memilih pakar solekan kesan khas lebih 20 filem seram, Ella Sandera atau nama sebenarnya, Norela Ulis, untuk memastikan zombi-zombi disolek mengikut watak dan kehendak skrip.  Sembunyi dan Penanggal adalah antara filem-filem seram yang mendapat sentuhan magis Ella Sandera.

Dalam usaha mempromosikan filem tersebut, Grand Brilliance telah memuat-naik treler 90 saat filem KL Zombi di laman Youtube rasmi mereka dan telah menerima rata rata komen positif oleh mereka yang telah menontonnya.

Poster rasmi filem ini juga telah dipersembahkan oleh syarikat penerbitan gergasi tersebut dan mengenengahkan bintang utama KL Zombi, Zizan sebagai fokus utama sebagai wataknya, Nipis.

KL Zombi mengisahkan lima sekawan yang mempunyai impian dan cita-cita hidup yang tersendiri.  Namun segalanya menjadi porak peranda apabila sejenis wabak merbahaya yang menukar manusia menjadi zombi telah merebak di sekitar Kuala Lumpur.  Watak utamanya, Nipis yang dimainkan oleh Zizan Raja Lawak, terpaksa bertarung nyawa demi menyelamatkan dirinya sendiri serta rakan-rakannya yang lain daripada dijangkiti wabak tersebut.

Dibintangi barisan pelakon muda dan berbakat seperti Zizan Raja Lawak, Siti Saleha, Izara Aishah, Faezah Elai, Zain Hamid, Azhan Rani, Usop Wilcha, Iedil Putra dan Afiq Izuddin, KL Zombi bakal menggegarkan 65 panggung serata negara dengan gelak tawa dan detik detik mendebarkan serangan zombi.

Untuk maklumat lanjut, serta info dan gambar eksklusif di balik tabir filem ini, sila layari www.facebook.com/KLZombi atau follow @grandbrilliance di twitter dan instagram rasmi mereka.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *