Kuala Lumpur, 16 Mac 2013 – Kepuasan jelas terpancar pada wajah peminat-peminat 5 legenda rock tanah air ini yang memenuhi segenap ruang Istana Budaya sempena Konsert Gegar 5 Legenda. Konsert ini merupakan slot gantian selepas berlakunya penarikan diri salah satu persembahan yang sepatutnya memenuhi slot tarikh di Istana Budaya. Perancangan susulan pihak Istana Budaya dengan memasukkan program Konsert Gegar 5 Legenda ini bagi memenuhi kekosongan slot persembahan benar-benar berhasil dan memenuhi kehendak peminat lagu-lagu era 90-an. Persembahan yang berlangsung hampir 2 setengah jam ini menampilkan 5 otai terhebat seperti Saleem, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Zamani Slam dan Ali Terra Rossa.
Ia menampilkan 2 segmen persembahan yang meliputi lagu – lagu medley penyanyi-penyanyi ini antaranya Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara, Buat Seorang kekasih, Sakinah, Nyanyian Rebah, Blues Terengganu Kita, Permaidani, Lamunan Terhenti, Gering, Bunga Angkasa, Pasti, Bayangan Gurauan, N ur Kasih, Gerimis Mengundang, Seribu Kali Sayang, Suci Dalam Debu dan lagu duet antara Rahmad Mega dan Zamani Slam melalui lagu “ Kembali Terjalin “ serta nyanyian beramai-ramai melalui lagu “ Musibah “ dan “ Kamelia “. Hampir 39 buah lagu kesemuanya dipersembahkan dengan diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia. Kesudian dan kesanggupan pihak Istana Budaya membawa kembali nostalgia 90-an ini tercetus apabila penyanyi-penyanyi ini sering memenuhi undangan pihak Istana Budaya membuat persembahan di Laman Budaya pada hujung-hujung minggu dan demi menghargai sumbangan mereka, pihak Istana Budaya telah membuat satu perancangan untuk membawa mereka ke Panggung Sari, Istana Budaya.