(HIBURAN) LEON kembali dengan ‘Damaikan Jiwa’

Spread the love

Kumpulan Leon telah diasaskan pada tahun 1993 oleh ketua kumpulannya yang berasal dari Ipoh, Perak iaitu Fancy yang juga bekas pemain gitar utama kumpulan Angel Hearts, SOFEA dan G.E.T. (Gabungan Empat Tenaga). Fancy yang terkenal sebagai salah seorang gitaris kidal selain Man Kidal, Joe Wings dan Opie Bloodshed telah berjaya mengumpulkan tiga orang pemuzik untuk membentuk line-up pertama Leon iaitu Mie (vokal), Malik (bass) dan Atan (dram).

Leon menghasilkan album pertama yang berjudul Rindu Merindu pada tahun yang sama. Album tersebut telah melonjakkan nama Leon dalam industri muzik tanah air dengan lagu popular mereka iaitu Saling Merindu yang sehingga kini masih menjadi siulan ramai.

Pada tahun 1996, Leon muncul dengan album kedua yang bertajuk Merisik Rindu yang juga merupakan lagu hitnya. Pada ketika ini, tempat Atan sebagai pemain dram telah digantikan oleh Ariey. Leon juga menerima anggota baharu dengan kemasukan K’pull sebagai pemain gitar kedua.

Leon sekali lagi muncul dengan album ketiga mereka yang berjudul Silauan Mengilau. Seperti album sebelumnya, perubahan anggota berlaku apabila vokalis asalnya, Mie meninggalkan kumpulan tersebut dan tempatnya digantikan oleh Ayie yang mula dikenali dengan lagu hitnya, Balasan Janji Palsumu. Lagu tersebut juga masih diingati peminat sehingga kini.

Setelah LEON menyepi selama hampir 11 tahun, akhirnya mereka muncul sekali dengan album keempat yang berjudul Kejora. Pada kali ini, Mie kembali menggalas tanggungjawabnya sebagai vokalis dan Leon diserikan dengan kemasukan anggota baru iaitu Tuah (gitar/keyboard), Muiz (bass), Fariq (dram) & Aboy selaku pemuzik undangan. Biarpun pemain gitar utama asalnya, Fancy tidak terlibat dalam line-up tersebut, nama Leon masih dikekalkan kerana sumbangan beliau sebagai pengasas kumpulan tersebut. Vokalisnya, Mie mengatakan bahawa anggotanya masih mengekalkan hubungan baik dengan Fancy sehingga kini dan Fancy masih memberikan lagu ciptaannya kepada Leon.

Pada tahun 2012, mereka muncul dengan album kelima yang berjudul Usah Kau Sangsi. Leon kemudian menyepikan diri kerana sibuk dengan komitmen masing-masing sehingga tahun 2015, Mie selaku vokalis berhasrat untuk mengembalikan Leon khas untuk peminat. Anggota Leon yang lain tidak dapat menyertai Mie atas komitmen dan tanggungjawap mereka terhadap tugas, jadi Mie dan Fancy meneruskan hasrat bersama anggota baru Leon iaitu Reza (bassist), Aman (keyboard) dan Sham (drum). Leon muncul bersama single terbaru berjudul “Lara” ciptaan Rudy Nastia pada 2018. Rudy Nastia adalah anak kepada saudara Fancy.

Kini setelah hampir tiga dekad LEON ditubuhkan pada tahun ini 2022, LEON telah mengeluarkan single terbaru yang bertajuk Damaikan Jiwa. Komposer lagu ini adalah dari Ariey LEON. Setelah hampir sebulan lagu ini ditayangkan di Youtube MVM Music, kini lagu ini telah mendapat tontonan sebanyak 165 ribu.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *