KUALA LUMPUR, Isnin, 04 April 2016 – Acara tahunan Malam Media Red Box Karaoke, sekali lagi dianjurkan dalam suasana yang cukup meriah bertempat di salah sebuah cawangannya di Tingkat 5, Red Box PLUS Karaoke, pusat membeli-belah Pavilion, KL bagi meraikan pengamal media yang telah banyak bekerja keras dalam menyokong penubuhan Red Box, Green Box dan Red Box PLUS karaoke, sejak 2001. Seperti tahun-tahun sudah, majlis dilengkapkan dengan penyampaian Anugerah Lagu Karaoke Popular 2015, yang terdiri daripada 10 Lagu Karaoke Inggeris & 10 Lagu Karaoke Melayu Popular untuk tahun 2015.
“Anugerah ini merupakan suatu pengiktirafan untuk lagu-lagu yang mengungguli carta Red Box Karaoke sepanjang 2015. Kami tumpang berbangga di atas kejayaan lagu-lagu tersebut memenangi hati peminat yang berkunjung ke cawangan karaoke Red Box, Green Box dan Red Box PLUS sejak awal Januari hingga akhir Disember 2015. Sememangnya, lagu yang tersenarai di dalam carta ini adalah dibuat berdasarkan pemilihan oleh para pelanggan itu sendiri. Tahniah saya ucapkan kepada lagu-lagu yang berjaya. Semoga ia terus menjadi satu suntikan semangat kepada para pengkarya untuk terus menghasilkan lagu yang bermutu dan‘karaoke friendly’”, ujar Mr. Michael Yong, Ketua Pegawai Operasi, kumpulan Red Box Karaoke.
Mr. Michael Yong turut berkongsi rasa terima kasih di atas kesungguhan pengamal media dalam menyampaikan mesej positif tentang perkembangan Red Box Karaoke. Ujar beliau “Sepanjang 16 tahun berada di dalam industri, kerjasama yang dijalinkan dengan pengamal media, syarikat rakaman dan rakan niaga seperti aktiviti pelancaran produk atau album, promosi bersama artis, telah banyak membantu mempromosikan nama Red Box hingga kami mampu menonjolkan kelainan! Antaranya, penganjuran acara Anugerah Lagu Karaoke Popular K20 ini sendiri”. Beliau turut menzahirkan harapan agar kolaborasi dan hubungan baik antara pihak pengurusan Red Box bersama rakan media, syarikat rakaman dan rakan niaga terus dikekalkan.
Manakala, dalam meningkatkan interaksi dan servis kepada pengguna dan mengekalkan momentum Red Box sebagai teraju pusat hiburan karaoke yang sihat dan berkonsepkan keluarga di Malaysia, Red Box turut bergerak aktif untuk capaian dalam talian dengan saluran utamanya di FB www.facebook/redboxfans dan informasi lain berkaitan artis atau promosi boleh dicapai melalui Saluran Media Baru (New Media Network) seperti laman web rasmi, YouTube sebagai saluran TV/Video, Twitter & Instagram. Selain mempromosikan program terkini, pengikut berpeluang memenangi pelbagai tiket wayang mahupun tiket menonton konsert artis kegemaran mereka di saluran tersebut.
Majlis turut menyaksikan pelancaran “Help For Kids”, sebuah projek amal dalam membantu mengumpul dana untuk tabung kebajikan iAMFaithmen Movement, dalam membela nasib kanak-kanak terbiar di seluruh Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Perasmian dibuat oleh Mr. Michael Yong bersama Pengasas iAMFAITHMEN Movement, Faizal Tahir, dan penaja utama kempen tersebut yang diwakili Pengarah Urusan RedSTILETTO Camper, En. Mohd. Fairul Rizal & Pengasas Aura White Beauty, Puan Furyna Azmeer. Melalui beg amal “Help For Kids” yang sudahpun dijual di semua rangkaian Red Box dan Green Box, RM10 akan didermakan kepada dana terbabit. Majlis diserikan dengan aktiviti berkaraoke, makan malam, dan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah seperti LCD, telefon pintar, set wangian berjenama, baucar tunai, hamper dan lain-lain.