(HIBURAN) Mechamato Movie, Filem Animasi Keluarga Bertaraf Antarabangsa Di Pawagam 8 Disember Ini.

Spread the love

Kuala Lumpur, 29 Nov 2022 – Satu penantian yang sangat berbaloi buat peminat dan penggemar animasi popular Mechamato apabila Mechamato Movie terbitan bersama MONSTA dan Astro Shaw akan ditayangkan serentak pada 8 Disember ini di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei. 

Jenama Mechamato sebelum ini telah menunjukkan taringnya apabila siri animasi tersebut berjaya memukau penonton di Jepun, apabila menjadi satu-satunya siri animasi luar yang tersenarai dalam kedudukan TOP 3 Tokyo Anime Award Festival 2023.

Filem ini mengisahkan Amato iaitu bapa kepada BoBoiBoy, secara tidak sengaja bertemu MechaBot sebuah ‘Power Sphera’ yang berkebolehan untuk ‘Mechanize’ dengan objek lain. Keadaan menjadi lebih genting, apabila Mechamato bakal berhadapan dengan alien jahat bernama Grakakus, yang ingin merampas MechaBot dari tangan Amato. Apakah muslihat yang dirancang oleh Grakakus? Mampukah adiwira baharu Mechamato menghalang ancaman Grakakus? Kalau nak tahu apa yang terjadi, kenalah tonton di pawagam nanti.

Mechamato Movie berlatarkan sebuah bandar fiksyen yang diinspirasikan dari Bandar Hilir di Melaka. Ia juga menampilkan keunikan budaya Malaysia seperti silat, budaya peranakan dan makanan tempatan yang digabungkan dengan elemen futuristik seperti robot dan kapal angkasa.

Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak yang merupakan penulis dan juga pengarah filem ini berkata, “Ia adalah cita-cita MONSTA untuk memperkasakan budaya Malaysia menerusi Mechamato Movie. Latar tempat utama filem ini dinamakan Kota Hilir — yang diinspirasikan dari seni bina Bandar Hilir dan Kota Melaka. MONSTA turut menampilkan elemen-elemen tradisional seperti destar, keris, beca dan makanan tradisi seperti karipap. MONSTA berharap para penonton lokal dan di peringkat global dapat mengenali keunikan Malaysia menerusi Mechamato Movie.”

Pengarah Nizam Abd Razak turut berkongsi perancangan Mechamato Movie yang seterusnya. Filem animasi 3D tempatan ini akan segera dieksport ke luar negara pada tahun 2023. “Perancangan ini dibuat apabila kami melihat siri Mechamato telah mencapai kejayaan yang luar biasa selepas menembusi 65 buah negara di seluruh dunia sejak dilancarkan pada Disember 2021 yang lalu.”

Seperti filem-filem sebelum ini, MONSTA sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dalam setiap karya yang diterbitkan. Mechamato Movie jelas mempamerkan nilai-nilai murni seperti percaya kepada kebolehan diri, berani mencuba dan berusaha tanpa mudah berputus asa.

Sementara itu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan “Kami sangat teruja untuk menerbitkan filem animasi ini yang sudah lama dinantikan peminat. Astro Shaw selaku penerbit bersama yang juga pemasar dan pengedar, mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap produksi animasi tempatan seperti MONSTA. Mereka mempunyai kredibiliti dan trek rekod yang baik dalam membawa nama Malaysia ke peringkat global. Menerusi Mechamato Movie, MONSTA meletakkan standard baharu sebagai filem berkaliber antarabangsa”.

Penghasilan Mechamato Movie terbitan MONSTA dan Astro Shaw telah mendapat sokongan penuh MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation). Bagi memastikan kualiti jenama Mechamato terus unggul dan mengikuti peredaran semasa, proses penghasilan filem ini mengambil masa yang agak lama. Dalam masa 2 tahun, beberapa rombakan daripada pemilihan tema cerita, penulisan skrip dan logo dilakukan dengan sangat teliti sebelum keputusan akhir dicapai pada 2019. Filem ini sepatutnya dijadualkan tayangan pada penghujung 2019 tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19. Dalam tempoh tersebut, MONSTA telah membuat penambahbaikan bagi memastikan kualiti cerita yang dipersembahkan dapat memenuhi citarasa penonton.

Sehubungan itu, MONSTA dan Astro Shaw berharap Mechamato Movie akan mengujakan peminat dan penggemar filem negara. Nantikan tayangan Mechamato Movie di pawagam seluruh Malaysia pada 8 Disember ini. Filem ini menjanjikan pengalaman yang pasti akan dapat menghiburkan seluruh keluarga.

TRIVIA

  • Mechamato Movie merupakan kerjasama kedua Astro Shaw dan MONSTA selepas filem BoBoiBoy Movie 2 yang berjaya menjadi filem animasi tempatan pertama yang melepasi kutipan RM30 juta.
  • Selepas ditangguhkan sebanyak 3 kali akibat wabak COVID-19, akhirnya Mechamato Movie bakal ditayangkan di pawagam mulai 8 Disember ini.
  • Mechamato Movie ini akan ditayangkan di 150 buah pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei.
  • Lagu Tema Mechamato Movie berjudul Temaniku dinyanyikan oleh artis tempatan popular Yonnyboii.
  • Treler rasmi pertama Mechamato Movie telah dimuat naik di YouTube Monsta pada 1 Januari 2021.

Nota Khas:  Berita baik khusus kepada pelanggan setia Astro. Anda boleh mendapatkan tiket menonton Mechamato Movie secara percuma di TGV bermula Disember ini. Terdapat ratusan tiket, sedia untuk ditebus dengan hanya menyertai peraduan yang dianjurkan oleh Astro Rewards di aplikasi My Astro.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *