Fariz Jabba buat pertama kalinya berkongsi kisah peribadi beliau dalam bergelut dengan masalah kesihatan mental. Penyanyi rap yang berbakat besar tersebut berharap melalui kisahnya dalam Nak Tak Nak, mereka yang turut mengalami nasib yang sama akan berasa tidak dipinggirkan bahkan lebih berani untuk tampil ke depan dan tidak malu untuk meminta bantuan.
Lagu dan Video Lirik Rasmi Nak Tak Nak telah dicipta dan diarahkan oleh Flightsch, membawa maksud yang baharu buat Fariz Jabba di mana penyanyi berusia 23 tahun ini mengalami masalah kemurungan semasa tempoh Circuit Breaker (Perintah Berkurung di Singapura). Mengimbas kembali lagu tersebut yang telah diilhamkan 2 tahun lalu, beliau mendengar dirinya yang terdahulu seolah-olah berkata sesuatu kepada dirinya dalam Nak Tak Nak, sama ada beliau masih boleh menjadi artis dan individu yang dimaksudkannya di awal kemunculan kerjayanya. Lantas Fariz Jabba tampil meminta bantuan yang diperlukannya daripada rakan-rakan dan keluarga – maka bermulalah perjalanan beliau ke arah pemulihan.
Setelah berlaku perubahan pada perspektif Fariz Jabba, Flightsch telah menyusun dan mengolah semula lagu Nak Tak Nak kepada minda dan pemikiran penyanyi tersebut yang terkini. Perubahan ini seiringan dengan hala tuju Video Lirik Rasmi lagu tersebut, yang memaparkan kisah hidup beliau sepanjang 2 tahun yang lalu. Berlatarbelakangkan perjalanan seni beliau, Fariz Jabba mengajak pendengar menyelami persaaan beliau yang bergolak 2 tahun dahulu dengan yang sekarang melalui single yang dipersembahkan.
Jelas beliau, “Nak Tak Nak merupakan segalanya buat aku. Aku mula mengarang lagu ini pada tahun 2018 dan ia merupakan sebentuk memori perjalanan kerjaya aku sebagai seorang artis setakat ni. Semenjak kita diwajibkan untuk kuarantin, situasi ini menguji kekuatan mental dan emosi aku. Sampai pada satu tahap dimana aku berasa amat sukar untuk kekal positif. Salah satu cara aku mengelak daripada perasaan dan fikiran negatif adalah dengan sentiasa menjaga pertalian kekeluargaan. Jangan khuatir untuk meminta bantuan daripada orang lain supaya kekal tabah untuk maju kehadapan. Mari kita sama-sama menghayati Nak Tak Nak yang mengisahkan pengalaman perit manis aku sepanjang 2 tahun lepas. Aku benar-benar berharap lagu ini dapat menaikkan semangat dan kekuatan buat mereka di luar sana yang sedang meneruskan perjuangan menempuhi masa sukar ini.”
Dari punca yang rapuh, penuh ihsan dan keyakinan, Fariz Jabba melancarkan Nak Tak Nak, sebuah karya peneraju dalam menghadapi masalah kesihatan mental di lanskap Asia Tenggara dan hip hop. Lagu ini merupakan seruan Fariz Jabba kepada orang ramai agar bersamanya dalam perjalanan proses penyembuhan ini.
Nak Tak Nak akan dilancarkan pada jam 12 tengah malam, Jumaat, 26 Jun 2020. Lagu ini juga boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, JOOX, YouTube Music, dan KKBox. Video Lirik Rasmi juga akan dipertontonkan sekaligus, di mana Fariz Jabba akan memulakan perbualan dengan peminat di YouTube Live Chat.
MENGENAI FARIZ JABBA
Fariz Jabba merupakan penyanyi rap muda berusia 23 tahun yang berasal dari Singapura. Keistimewaan beliau adalah menyanyikan lagu rap dengan menggabungkan elemen budaya pop Melayu dan Barat lantas menjadikannya unik di seluruh Asia Tenggara.
Fariz Jabba telah memulakan kerjaya beliau dengan memuat naik video menyanyikan rap gaya bebas dan beberapa remix yang menjadi tular di media sosial, nama Fariz Jabba kemudiannya mendapat perhatian di Singapura dan Malaysia hanya dalam masa beberapa bulan. Kemudian beliau dilamar oleh label hip hop terkenal MADEYOUFAMOUS dan mendapat tempat dalam siri YouTube bintang hip hop berpengaruh, Joe Flizzow – 16 Baris, persembahan pengenalan tersebut yang melonjakkan nama beliau dengan tontonan melebihi 400,000 hanya dalam masa 3 bulan sahaja. Setelah persembahan pengenalan di Konsert 16 Baris, Fariz Jabba telah dijemput untuk membuat persembahan untuk Urbanscapes, IGNITE! Festival Muzik, Festival Shine, Baybeats dan beberapa lagi. Selain itu, Fariz Jabba juga telah memperoleh lebih dari 3 juta tontonan YouTube menerusi single-singlenya yang berjudul “Ape Sia” dan “Masa”, masing-masing memperoleh 1 juta tontonan dalam tempoh 3 bulan selepas dilancarkan dan hampir 4 juta pensteriman di Spotify sahaja. Pada bulan April 2020, Fariz Jabba telah mengeluarkan rakaman kolaboratif pertamanya “Kalah” dengan omarKENOBI.
Melalui penggabungan muzik hip hop dan R&B yang lama dan baharu telah menaikkan taraf penggubah lagu, penyanyi rap dan penari ini sebagai seorang artis yang perlu diberi perhatian. Anak muda berbakat besar ini kemudiannya menandatangani perjanjian dengan Def Jam Asia Tenggara pada tahun 2019. Fariz Jabba juga telah bekerjasama dengan jenama eksklusif antarabangsa seperti Gucci, Tommy Hilfiger, HUGO dan merupakan sebahagian daripada keluarga besar Nike.
Mengambil inspirasi melalui pengalaman yang dilaluinya dengan bersahaja, Fariz Jabba ingin muzik yang dihasilkannya digunakan untuk menyebarkan mesej positif penuh kegembiraan buat pendengarnya. Peribadi beliau yang mudah didekati menjadi penyebab hubungan baik yang berterusan dengan peminatnnya.