Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, TV3 dengan tema ‘Seindah Ramadan’ mempersembahkan pelbagai rancangan menarik termasuklah drama buat tontonan umum. Dua drama komedi iaitu ‘OMG’ (Ohsem Music Group) dan ‘Geng Kampung Pisang’ akan menceriakan malam Sabtu dan Ahad para penonton, mulai 13 Julai lalu.
OMG diarahkan oleh Tengku Sahilawati dan diterbitkan oleh Primeworks Studio. Bersiaran pada setiap hari Sabtu jam 9.00 malam sebanyak 4 episod, drama ini menampilkan Black, Anas Ridzuan, Amir Jahari, One Sofazr, Elfaeza Ulhaq, Amyza Aznan, Syakila Khoriri, Akim Ahmad, Harun Salim Bachik dan ramai lagi. Drama ini mengisahkan tentang empat orang anak muda, Bai (vokalis), Bo (gitaris), Kem (bassis) dan Teng (drummer) yang berbakat dalam muzik di Kampung London.
Mereka menamakan band mereka ‘OMG’ (Ohsem Music Group) kerana keunikan dan bakat mereka yang boleh menyampaikan lagu Inggeris dengan baik serta persembahan yang energetik. Mereka sering menjadi jemputan kenduri kahwin dan pernah menjuarai pertandingan ‘Battle Of The Band’ di kampung mereka untuk dua tahun berturut-turut.
Bai merupakan anak ‘emak’ dan anak tunggal kepada Kak Jam, penjual barang kecantikan buatan sendiri. Bo pula mempunyai seorang teman wanita, Ila, yang merupakan merangkap pengurus kepada kumpulan OMG sendiri manakala Kem bekerja sebagai konduktor bas mini yang sentiasa mahu kelihatan segak dan berangan dalam dunianya sendiri. Akhir sekali, Teng ialah seorang yang baran bekerja di sebuah bengkel kereta.
Satu hari, OMG dilamar oleh komposer dari Amerika Syarikat, Mr. Ronaldo untuk rakaman album. Mr. Ronaldo kagum dengan kehebatan OMG yang hebat menyanyi lagu Inggeris. Hakikatnya, mereka tidak pandai berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Lagu ciptaan OMG ditiru bulat-bulat dari surat khabar, drama, filem serta bantuan terjemahan dari Ila, teman wanita Bo. Apakah impian empat orang anak muda Kampung London ini berjaya?
Geng Kampung Pisang arahan sutradara Amie Maziah dan terbitan Suhan Movies pula disiarkan pada setiap hari Ahad jam 10.00 malam sebanyak 4 episod. Membariskan Anding, AG, Hairi Safwan, Sari Yanti, Idzham Ismail dan Heri Aszmo, ia berkisar mengenai permusuhan di antara AG dengan Hairi yang bermula sejak mereka masih kecil dan berlarutan sehingga kedua-duanya dewasa.
Kedua-duanya menjadi ketua samseng bagi kumpulan masing-masing. Kenakalan dua kanak-kanak ini sememangnya memeningkan guru-guru. Murid-murid lain sangat takut kepada kumpulan ini terutamanya Chemey, seorang kanak-kanak yang baik dan pendiam tetapi kuat menangis. Kerana sifatnya ini, Chemey selalu dibuli oleh AG dan Hairi. Bagaimanapun, Sari Yanti selalu membela dan menyelamatkan Chemey kerana bapa Sari Yanti, Cikgu Deraman mengajar di sekolah tersebut.
Chemey jatuh cinta terhadap Sari Yanti dan berhasrat untuk berkahwin dengannya. Dengan berani, Chemey berjumpa Cikgu Deraman untuk melamar Sari Yanti. Cikgu Deraman hanya ketawa mendengar lamaran kanak-kanak berusia sepuluh tahun. Tawa Cikgu Deraman menjadi cabaran kepada Chemey untuk memiliki Sari Yanti pada satu hari nanti.
10 tahun berlalu, Chemey dan Sari Yanti meningkat dewasa. Bagaimanapun, Sari Yanti terpaksa tinggal di bandar manakala Chemey masih di kampung, dia menjadi pemuda yang rajin dan mempunyai cita-cita untuk mengubah nasib keluarganya. Suatu hari, Chemey mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur. Pada waktu yang sama, AG dan Hairi dewasa dengan sikap malas, memilih pekerjaan dan suka beragan menjadi kaya.
Kepulangan Sari Yanti untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya bersama keluarga di kampung menjadi kemuncak persengketaan AG dan Hairi. Dengan kejelitaan Sari Yanti, masing-masing jatuh cinta dan berhasrat memiliki Sari Yanti. Siapakah di antara mereka yang akan berjaya?
Saksikan OMG pada hari Sabtu jam 9.00 malam manakala Geng Kampung Pisang pada hari Ahad jam 10.00 malam. Jika terlepas menyaksikan dua drama ini di televisyen, penonton juga boleh menonton menerusi ‘catch-up TV’ menggunakan komputer, telefon pintar atau tablet dengan melayari portal www.tonton.com.my pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.