(HIBURAN) “Panggung Puting Beliung” – Tenxi & Naykilla Live di Kuala Lumpur

Spread the love

Icon Entertainment dengan bangga mempersembahkan sebuah malam penuh tenaga dan inovasi Tenxi, trendsetter hipdut sensasi Nusantara, bakal membuat penampilan sulungnya di Kuala Lumpur bersama Naykilla, bintang muda yang sedang mencipta fenomena baharu.

Tenxi kini mencatatkan lebih daripada 11.2 juta pendengar bulanan di Spotify, dengan lebih 338 juta jumlah penstriman setakat Ogos 2025. Sementara itu, Naykilla turut menunjukkan pengaruh besar dengan 260 juta jumlah penstriman dan sekitar 390,000 pendengar aktif bulanan di Kuala Lumpur sahaja, bukti betapa kuatnya daya tarikan mereka dalam kalangan peminat tempatan.

Panggung “Puting Beliung” bukan sekadar konsert biasa ia adalah satu pengalaman imersif yang menampilkan fenomena muzik paling hangat di rantau ini. Dengan kejayaan album Puting Beliung, Tenxi berjaya mencipta gelombang besar hingga mendominasi TikTok Nusantara, menjadikan lagu-lagunya antara yang paling banyak digunakan di platform tersebut. Selain persembahan utama daripada kedua-dua artis, penonton akan disajikan dengan gabungan genre hipdut moden yang diolah secara eksklusif dengan elemen visual serta pencahayaan sinematik.

Menurut Tenxi, beliau sangat teruja akhirnya dapat bertemu dengan peminat Malaysia. “Saya tahu vibe muzik di sini sangat kuat dan penuh energi. Kami mahu bawakan sesuatu yang bukan hanya sekadar persembahan, tetapi pengalaman yang orang akan ingat lama selepas konsert berakhir,” katanya. Naykilla turut berkongsi perasaan yang sama. “Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati saya. Saya tidak sabar untuk berdiri di atas pentas Zepp KL dan merasakan sorakan serta semangat peminat di sini. Kami janji, malam itu akan jadi sesuatu yang luar biasa.”

Pihak Icon Entertainment pula menyatakan bahawa mereka memilih Tenxi dan Naykilla kerana kedua-dua artis ini mewakili suara generasi baharu yang berani bereksperimen dengan identiti muzik tempatan. Menurut jurucakap Icon Entertainment, Tenxi telah membuktikan bahawa muzik berjiwa Nusantara mampu menembusi pasaran global. Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi simbol kepada gelombang baharu dalam industri muzik serantau.

“Panggung Puting Beliung” bukan sekadar tajuk konsert, tetapi manifestasi kepada arus baharu yang dicipta oleh Tenxi. Icon Entertainment dengan pantas membawa gelombang itu ke hadapan penonton Malaysia. Dengan statistik digital yang kukuh serta permintaan yang terus meningkat, konsert ini dijangka akan dipenuhi oleh peminat, khususnya daripada generasi Gen Z yang menjadi nadi utama kebangkitan muzik hiphut masa kini.

Menariknya, Icon Entertainment menetapkan harga tiket yang mampu milik bagi konsert ini sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang sentiasa menyokong artis kegemaran mereka. Para peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi memastikan tempat dan mengelakkan kekecewaan.

Tiket akan mula dijual pada hari Jumaat, 7 November 2025 melalui www.ticket2u.com.my


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *