(HIBURAN) PENCALONAN 10 TERATAS GOLDEN AWARDS 2014 SECARA RASMI DIUMUMKAN!

Spread the love

image004 (1)

Rancangan anugerah yang mengiktiraf bakat-bakat tempatan dan menyediakan ruang dan peluang buat industri hiburan Cina Malaysia untuk terus berkembang – Golden Awards – kini bakal kembali pada tahun ini. Malah pada sidang media khas yang berlangsung di The Royale Chulan Damansara Hotel pada 9 April itu, Saluran Ceria Anda, ntv7 telah mengumumkan 10 pencalonan teratas bagi setiap kategori yang dipertandingkan pada tahun ini bagi merebut gelaran pemenang pada malam kemuncak anugerah itu yang bakal diadakan pada 20 September 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Mendahului pencalonan tertinggi bagi tahun ini adalah drama bersiri The Descendant yang menerima sejumlah 12 pencalonan diikuti dengan drama Mining Magnet yang menerima 11 pencalonan secara keseluruhan. Drama ulangtahun khas ntv7, The Undercover yang mendapat sambutan baik oleh para penonton pula berjaya mendapat 10 pencalonan.

Pencalonan Pelakon Lelaki Terbaik menyaksikan pelakon Leslie Chai dan Frederick Lee tersenarai dengan dua pencalonan bagi dua drama berbeza. Manakala Debbie Goh dan Chris Tong turut bersaing di dalam kategori anugerah Pelakon Wanita Terbaik dengan tiga pencalonan masing-masing dalam kategori itu. Pencalonan bukan sahaja dalam kategori Drama sahaja malah terbuka kepada kategori Bukan Drama di mana sejumlah 20 anugerah untuk kedua-dua kategori ini. Senarai kategori anugerah itu adalah seperti berikut:

Kategori Drama

  1. Drama TV Terbaik
  2. Pelakon Lelaki Terbaik
  3. Pelakon Wanita Terbaik
  4. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
  5. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
  6. Pelakon Baru Terbaik
  7. Telemovie Terbaik
  8. Pengarah Terbaik
  9. Lakon Layar Asal Terbaik
  10. Lagu Tema Drama Terbaik
  11. Montaj Drama Terbaik

Kategori Bukan Drama

  1. Rancangan Variasi dan Hiburan Terbaik
  2. Pengacara Rancangan Variasi dan Hiburan Terbaik
  3. Rancangan Berita dan Hal Ehwal Semasa Terbaik
  4. Penyampai Rancangan Berita dan Hal Ehwal Semasa Terbaik
  5. Penyampai Berita Terbaik
  6. Rancangan Majalah Terbaik
  7. Pengacara Rancangan Majalah Terbaik
  8. Rancangan Perayaan Terbaik
  9. Montaj Rancangan Terbaik

 

Proses mendapatkan 10 pencalonan teratas itu mengambil masa selama lima bulan termasuklah waktu penghantaran penyertaan dan pengadilan pada pusingan pertama.

Antara yang mencuri perhatian di dalam pengumuman ini adalah pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Golden Awards 2012 – Coby Chong – sekali lagi dicalonkan di dalam kategori yang sama pada tahun ini menerusi drama bersiri Summer Brothers. Namun pencabar terdekat pelakon bertubuh kecil ini adalah Adrian Tan dan Henley Hii yang turut tersenarai dalam Top 10 Pelakon Lelaki Terbaik. Adrian Tan bukan lagi asing buat para peminat drama Cina tempatan yang telah membuktikan bakatnya dalam beberapa drama seperti Time FM, Back to Time FM dan The Undercover. Manakala Henley Hii yang juga terkenal sebagai penyanyi terbukti tidak harus dipandang enteng. Henley Hii memegang watak utama di dalam Glowing Embers dan The Adjusters 2 telah membawa kerjayanya ke aras baru.

Kategori Pelakon Lelaki Terbaik juga menyenaraikan Ernest Chong dan Alvin Wong buat pertama kalinya. Ini bermakna tahun ini, Ernest Chong yang pernah memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Golden Awards 2010 tersenarai buat dua pencalonan iaitu bagi wataknya sebagai teraju utama dan pembantu. Coby Chong pula mengorak langkah apabila tersenarai di dalam kategori bukan drama menerusi pencalonan Pengacara Rancangan Majalah Terbaik buat rancangan Foodie Blogger.

Pelakon berbakat yang pernah menggondol Pelakon Wanita Terbaik pada Golden Awards 2010, Yeo Yann Yann juga dicalonkan di dalam kategori Pelakon Wanita  Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada tahun ini menerusi drama The Descendant dan Happy Family. Yann Yann juga tercalon buat pertama kali bagi kategori bukan drama iaitu Pengacara Rancangan Variasi dan Hiburan Terbaik menerusi rancangan realiti Aunty Must Go Crazy musim ke-2. Manakala Debbie Goh yang pernah memenangi dua kali berturut-turut Pelakon Wanita Popular pada penganjuran Golden Awards 2010 dan 2012 turut tersenarai bagi anugerah Pelakon Wanita  Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Pendatang baru jelita, Karena Teo buat julung kalinya dicalonkan dan mendapat dua pencalonan untuk Pelakon Baru Terbaik menerusi drama Lucky Bowl Part 2 dan Love Compulsory. Selain itu Karena juga tercalon sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk wataknya dalam The Undercover. Memberi saingan bagi kategori ini pastinya pemenang terdahulu seperti Seck Fook Yee (2010), Yeo Yann Yan (2012) serta pelakon berpengalaman Loo Aye Keng. Pesaing lain buat Karena dalam kategori sama adalah pelakon kanak-kanak, Tan Hau Yen dari The Descendant dan Shuben Low dari drama sitkom popular Love Compulsory.

Untuk kategori Lagu Tema Drama juga bakal menghadapi saingan sengit kerana pelbagai ramalan akan dibuat. Ini kerana antara lagu yang tersenarai pernah diiktiraf anugerah lain sebelum ini lantas menunjukkan kualiti lagu masing-masing. Sebagai contoh, lagu tema drama The Beat pernah memenangi Lagu Tema Terbaik di Anugerah Televisyen Asia yang ke-18 manakala lagu tema drama The Descendant, pula pernah mendapat pujian tertinggi di penganjuran Anugerah Televisyen Asia yang ke-17. Antara lagu lain yang tersenarai adalah runut bunyi dari In Laws dan Laws of Attraction serta sebuah lagi lagu lain dari The Descendant.

Bagi pencalonan Rancangan Variasi dan Hiburan Terbaik bagi kategori Bukan Drama, calon-calonnya adalah Ultimate Power Star 2, Mars VS Venus Season 2, Aunty Must Go Crazy, Aunty Must Go Crazy Season 2, Mandarin Battle Star Season 3, Mandarin Battle Star Season 4, Kids Ask Big Questions, The Ultimate Song, e7, dan Rush Hunt. Manakala merebut gelaran Pengacara Rancangan Variasi dan Hiburan Terbaik pula menyenaraikan KK Wong dari rancangan Splash Fiesta, Nicholas Ong dari e7, Chiong Pei Pei dari Mars VS Venus Season 2 dan Tiang Kah Chee dari rancangan Kids Ask Big Questions, serta Winson Voon dan Natalie dari 8 E-News.

Tiang Kah Chee yang pernah merangkul anugerah Pembaca Berita Terbaik pada tahun 2012 kini bakal bersaing dengan calon-calon yang lebih berpengalaman seperti Ooi Choong Han, Tan Ley Teng, Chan Wei Wei, Annie Kang, Chan Poh Yin dan ramai lagi.

Kategori Rancangan Majalah Terbaik pula menyaksikan pencalonan daripada Eve’s Diary, Ho Chak!, Helping Hands Season 2, Folks and Tales, Women’s Zone, Listen to the World, Step Forward, 8 Mini Centuries, Foodie Blogger dan A New Journey Season 2. Tumpuan akan diberikan kepada Jan Chin (Women’s Zone dan Listen to the World) dan Lynn Lim (8 Mini Centuries dan Eve’s Diary) yang mendapat dua pencalonan. Namun mereka bakal berhadapan dengan Cheryl Lee, pemenang bagi Pengacara Rancangan Majalah terbaik di Golden Awards 2012.

Proses Golden Awards 2014 bermula sejak September 2013, tahun lalu apabila penyertaan dibuka dan ditutup pada 20 Januari 2014. Keseluruhannya terdapat 238 penyertaan untuk kategori Drama dan 144 penyertaan daripada kategori Bukan Drama. Pusingan pertama telah diadili pada bulan Mac tahun ini di mana pusingan kedua dan terakhir akan dilakukan pada bulan Mei 2014 di mana sebuah lagi pengumuman mengenai pencalonan terakhir yang akan disenarai pendek pada bulan Jun nanti.

Golden Awards 2014 akan diadakan di Pusat konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 20 september 2014. Menggalas cabaran tugas sebagai pengacara malam itu nanti adalah Lynn Lim. Penganjuran pada tahun 2010 dan 2012 menyaksikan jumlah penonton yang tinggi dan membanggakan. Bagi memastikan rancangan itu boleh diakses di mana jua, ia boleh di tonton di atas talian di www.tonton.com.my.

Penganjuran anugerah ini pada kali ini juga memperkenalkan Anugerah Filem Pendek Golden Awards di mana pemenangnya di umumkan di sidang media tersebut. Penentuan kepada pemenang anugerah ini adalah dengan 80% diadili oleh para juri manakala 20% lagi menerusi undian dalam talian. Penyertaan pertandingan itu bermula 23 September sehingga 31 Oktober 2013. Keputusan itu diadili oleh juri terpilih pada 10 hingga 20 Disember 2013 dan undian online pula dilakukan pada 30 Disember 2013 sehingga 26 Januari 2014. Sejumlah RM12,000 wang tunai diberikan kepada para pemenang. Pemenang kategori emas mendapat wang tunai sebanyak RM5,000 ialah Lee Sze Ching untuk judul The Kiss. Pemenang kategori perak pula ialah Arthur Teo Hui Teck untuk filem berjudul Spread the Love yang membawa pulang RM3,000. Manakal kategori gangsa membawa pulang RM2,000 oleh Danvon Chng dengan judul 1 Dream 1 Future. Kategori Anugerah Paling Kreatif dan Anugerah Pilihan Penonton juga di sapu bersih filem pendek The Kiss di mana setiap kategori menawarkan wang tunai RM1,000 untuk setiap satu.

Dalam perkembangan masa yang sama, bagi menghormati peristiwa MH370 dan ahli keluarga mereka, kesemua tetamu dan artis yang hadir meluangkan masa menyampaikan mesej mereka di panel khas yang diletakkan di sidang media tersebut. Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV, Airin Zainul juga tampil di pentas utama untuk memberi nota ringkas kepada semua yang hadir.

“Terima kasih kerana meluangkan masa untuk menghadiri sidang media ini untuk mengetahui 10 pencalonan teratas bagi Golden Awards tahun ini,” kata Airin.

 “Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada one FM yang meneruskan sokongan selaku radio rasmi buat anugerah berprestij ini.”

“ntv7 sentiasa menghargai dan menyokong produksi tempatan kerana kami percaya bahawa dengan mengasah bakat yang kami ada, kita dapat melihat revolusi perkembangan industri hiburan Cina tanahair. ntv7 juga pernah mengadakan bengkel berkaitan dan penulisan skrip dua tahun lalu dan menyediakan ruang buat bakat-bakat ini di pelbagai platform. Sesi ujibakat juga sering diadakan untuk mencari bintang-bintang baru. Ini juga merupakan kali pertama Anugerah Filem Pendek diperkenalkan. Kami percaya kewujudan filem pendek ini dapat memperlihatkan kreativiti mereka yang menyertainya yang menunggu untuk diketengahkan”, tambah Airin.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi Golden Awards di www.ntv7.com.my/goldenawards2014.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *