Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Namun bagi pendatang baharu yang berasal dari Kota Tinggi, Johor, Muhammad Hasif Sharuddin atau lebih mesra dengan panggilan Hasif Upin, tuah nampaknya menyebelahi beliau apabila muncul dengan single sulung yang berjudul ‘Janji Sampai Mati’ hasil ciptaan penyanyi-penggubah lagu terkenal negara, Aizat Amdan, bersama komposer Anas Amdan dan penulis lirik Mel Ramlan, dan diterbitkan oleh Armani Entertainment Group.
Lagu Janji Sampai Mati merupakan runut bunyi utama drama 24 episod ‘I Promise, Janji Anaqi’ dalam slot MegaDrama yang sedang ditayangkan di Astro Ria bermula 6 disember 2021 diterajui oleh pelakon popular Malaysia, Sharnaaz Ahmad dan Emma Maembong.
“Syukur Alhamdulillah, setelah menyertai ujibakat The Audition yang dianjurkan oleh Armani Entertainment Group, saya menerima ‘superstar pass’ daripada pengarah tersohor Michael Ang dan terus diserap menjadi penyanyi. Mulanya saya ke sana untuk pencarian bakat lakonan tetapi apabila mereka mendengar saya menyanyi, terus saya ditawarkan kontrak sebagai penyanyi,” katanya.
Mungkin ramai yang kurang sedar, Hasif sebenarnya merupakan bintang TikTok yang tular dengan pengikut seramai 2.6 juta, selain itu pemilik akaun Abang Upin Ipin ini juga mempunyai lebih dari 29.9 juta tanda suka dek kerana video-video parodi Upin Ipin yang dihasilkannya.
“Semuanya bermula dengan video parodi Upin Ipin yang saya hasilkan selepas sahur Ramadan pada tahun lepas dan tak menyangka ia akan menjadi viral,” jelasnya lagi.
Single dalam genre balada pop yang berdurasi 4:11 minit ini dimulai dengan petikan piano yang mendayu dengan korusnya yang indah dan menggamit perasaan, ditambah pula dengan suara Hasif yang ‘jantan’ seakan-akan penyanyi dari seberang, Chakra Khan.
“Lagu Janji Sampai Mati berkisar tentang kisah cinta antara dua jiwa, tentang penantian penuh kesetiaan dan janji yang terpatri sehingga ke akhir hayat.
“Sejujurnya, saya tak tau berperasaan sebegitu kerana masih lagi bujang, dan saya juga hidup sebatang kara setelah kepergian ibu tercinta menemui Sang Pencipta hujung Oktober lalu, manakala ayah pula sudah lama tiada,” ujar Hasif.
Berbekalkan dorongan serta nasihat dan ‘berkat’ menjaga ibunya, Hasif mengumpul kekuatan mencari rezeki dengan menceburi bidang perniagaan makanan disamping konten parodi yang dihasilkannya di laman sosial.
Proses rakaman yang berlangsung selama sehari banyak memberi impak positif kepada Hasif yang baharu sahaja menginjak dalam bidang nyanyian, katanya, “Saya diberikan masa selama 3 hari untuk membuat ‘homework’ bagi memahami dan mendalami maksud lagu tersebut.
“Dan sepanjang proses rakaman sedang berlaku, guru vokal yang disediakan oleh pihak pengurusan iaitu Cikgu Sarah Ismail turut hadir di studio rakaman bagi memberi tunjuk ajar, maklumlah saya kan penyanyi baru, banyak lagi yang perlu saya pelajari. Namun saya berterima kasih terhadap pihak Armani Entertainment Group terutamanya Dato’ KK kerana memberikan saya peluang emas ini.
Menurut Dato’ KK Chua, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Armani Entertainment Group, “Ini merupakan salah satu langkah awal Armani Entertainment Group dalam menembusi pasaran industri muzik Malaysia.
“Saya yakin dengan bakat yang dimiliki oleh Hasif kerana keupayaannya menyanyi dengan baik dan vokalnya yang unik serta jarang kedengaran di Malaysia. Saya berharap agar penggemar muzik tanah air dapat menerima Hasif sebagai artis pertama di bawah naungan kami dan terhibur dengan single sulungnya.
Dalam usia menjangkau 29 tahun, ini sedikitpun tidak mematahkan semangat Hasif dalam memulakan kerjayanya dalam bidang seni, berbekalkan doa serta semangat Allahyarhamah ibunya, Puan Mimah Mahmud, menjadi pendorong dan pemangkin buat dirinya.
“Arwah mak suka mendengar nyanyian saya, jadi saya dedikasikan lagu ini khas untuk beliau.
“Harapan saya agar penggemar muzik Malaysia dapat menerima kehadiran saya dan semoga single Janji Sampai Mati mendapat sambutan yang hangat.
Lagu Janji Sampai Mati boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.
Manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube Armani Entertainment.