(SUKAN) Ekosistem Bola Sepak Akar Umbi Bersepadu MILO® x FAM Menyasarkan untuk Melatih 5,000 Jurulatih dan 100,000 Pemain Muda menjelang 2026

Spread the love

MILO® dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melancarkan kerjasama lima tahun bagi melestarikan masa hadapan generasi pelapis bintang bola sepak menerusi ekosistem pembangunan bola sepak akar umbi bersepadu. Menumpukan fokus utama terhadap latihan kemahiran bola sepak peringkat akar umbi, dua gergasi sukan ini akan berpadu tenaga untuk menyelaraskan serta mengembangkan platform sedia ada masing-masing untuk manfaat jurulatih dan pemain muda.

Kerjasama ini telah menyemarakkan kembali hubungan antara kedua-dua pihak yang sudah lama terjalin sejak akhir 1980-an dan awal 1990-an menerusi penganjuran pelbagai kejohanan bola sepak akar umbi yang telah melahirkan beberapa pemain legenda negara. Kini, MILO® dan FAM melangkah lebih jauh untuk memartabatkan lagi masa hadapan bola sepak tanah air.

“Bola sepak menyerlahkan peranan sukan sebagai guru terbaik yang memupuk kesungguhan, keberanian dan kecekalan yang bukan sahaja dapat memperkasakan daya saing sewaktu bertanding malah membentuk keperibadian individu untuk berjaya dalam hidup. Malah, kami sentiasa berusaha untuk menerapkan nilai-nilai murni ini dalam diri juara muda menerusi inisiatif sukan kami selama ini. Dengan mengalu-alukan FAM kembali ke dalam kerjasama ini, kami meletakkan harapan yang lebih tinggi untuk menginspirasikan yang terbaik dalam generasi juara akan datang, di samping bekerjasama untuk mencungkil lebih ramai lagi bakat-bakat baharu dalam persada bola sepak negara,” kata Ng Su Yen, Pegawai Eksekutif Perniagaan – Unit Perniagaan MILO®, Nestlé (Malaysia) Berhad.

Sementara itu, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Presiden FAM merakamkan penghargaan atas kerjasama berterusan dengan MILO® dan menyifatkan hubungan antara kedua-dua pihak ini tidak boleh lagi dipisahkan demi kemajuan bola sepak tempatan. Beliau berkata, “MILO® telah sekian lama menjadi rakan kerjasama bola sepak Malaysia, malah MILO® mengorak langkah ke era baharu hari ini menuju masa hadapan, seperti mana yang dilakukan pada tahun 1990-an dahulu, dengan menyediakan dorongan dan platform kepada golongan muda untuk menonjolkan serta mengasah bakat mereka.”

Ulas beliau lagi, usaha pembangunan bola sepak akar umbi sangat kritikal demi masa hadapan bola sepak tanah air. “Kami ingin merintis masa hadapan untuk anak-anak muda hari ini kerana kami percaya merekalah bintang-bintang masa hadapan. Namun, kejayaan masa hadapan turut bergantung kepada jurulatih yang akan membimbing anak-anak kita ini untuk mencapai potensi terbaik mereka. Justeru, kerjasama kami dengan MILO® akan memastikan latihan untuk membangunkan kedua-dua pemain muda dan jurulatih ini bergerak seiring dengan pembentukan ekosistem yang holistik ini,” tambah beliau.

Sebahagian besar bakat baharu di peringkat akar umbi dicungkil menerusi program bimbingan komuniti yang menyediakan latihan kemahiran asas bola sepak serta menganjurkan perlawanan bola sepak komuniti seperti Klinik Bolasepak Suparimau. Ketika ini, terdapat 122 akademi dengan 10,000 pemain muda berdaftar di bawah Piagam Suparimau di seluruh negara. Kerjasama MILO® x FAM berusaha mengembangkan lagi Piagam Suparimau kepada ekosistem yang terdiri daripada 800 akademi dengan 100,000 pemain muda dalam tempoh lima tahun akan datang. Di samping itu, MILO® dan FAM juga komited untuk mengembangkan kelompok jurulatih daripada 1,000 jurulatih yang kini berdaftar dengan pelbagai akademi di seluruh negara kepada 5,000 jurulatih menjelang 2026.

Malah, tirai kerjasama MILO® x FAM telah dibuka lebih awal lagi dengan MILO® All Star Challenge, iaitu pencarian pemain bola sepak gaya bebas terbaik seluruh negara secara atas talian yang telah tiba ke kemuncak finale pada bulan lepas. Lapan finalis teratas telah ditawarkan peluang seumur hidup untuk mengikuti kem latihan bola sepak MILO® x FAM Ultimate Experience di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan serta bintang-bintang FAM kegemaran mereka – satu lagi peluang keemasan yang boleh dimanfaatkan oleh anak-anak muda Malaysia untuk merealisasikan impian bola sepak mereka di bawah kerjasama ini.

Ekosistem MILO® x FAM akan turut melengkapkan pelbagai inisiatif sukan MILO® yang lain, khususnya karnival futsal MILO® Hidup Bola yang telah melahirkan beberapa pemain bola sepak kebangsaan yang terbaik dalam sejarah 16 tahun penganjurannya, termasuk Nik Akif Syahiran Nik Mat, pemain skuad Bawah 22 Tahun kebangsaan yang sedang melonjak naik, serta Arif Aiman ​​​​Hanapi yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021. Kerjasama ini akan melancarkan lagi peralihan kerjaya profesional bakat-bakat yang dicungkil menerusi MILO® Hidup Bola untuk diserap masuk ke dalam sistem FAM.

Untuk maklumat terkini tentang kerjasama MILO® x FAM, ikuti MILO® Malaysia di Facebook atau layari www.milo.com.my.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *