September ini, Astro Ria berbesar hati membawakan sebuah lagi drama bersiri berjudul SAHABAT. Drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini bakal menemui para penonton pada setiap hari Isnin sehingga Khamis, jam 5.30 petang bermula 16 September ini menerusi saluran 104. Drama bersiri 36 episod yang diterbitkan oleh penerbit Rosyam Nor serta diarahkan oleh Imri Nasution ini dibintangi oleh barisan pelakon yang berbakat besar antaranya Izzue Islam (Toi) , Liyana Jasmay (Haneez), Shukri Yahaya (Bakri), Iezah Diyana (Alia), Syarif Sleeq (Shaq), Aedy Ashraff (Aliff) dan Sarah Ali (Azie).
Sinopsis :
Sahabat mengisahkan tentang tujuh remaja yang berlainan matlamat bersatu dalam mengejar impian mereka yang tersendiri. Empat sahabat iaitu Bakri, Aliff, Alia dan Azie memang sudah serasi bersama. Namun, kehadiran Toi, Haneez dan Shaq telah menimbulkan pergolakan di dalam persahabatan yang telah lama terjalin itu.
Haneez, yang merupakan musuh ketat Azie hadir di rumah Bakri tanpa diundang. Ini telah menimbulkan krisis kepada persahabatan mereka.
Di dalam diam, kemunculan tiga orang baru itu sebenarnya bakal melengkapkan sebuah persahabatan sejati.
Mereka yang sedang melalui proses perubahan zaman remaja ke dewasa akan melalui pelbagai cabaran, suka dan duka yang diselitkan juga dengan kisah percintaan dan kesetiaan yang jitu.