(HIBURAN) ‘SAYANG SAYANG’ HIMPUNKAN KEPELBAGAIAN MALAYSIA DALAM SEBUAH KISAH TENTANG IDENTITI, KELUARGA DAN KASIH SAYANG

Spread the love

3 November 2026, Kuala Lumpur – Selepas mencuri perhatian di pentas antarabangsa dan menerima pengiktirafan menerusi lima pencalonan di Anugerah Golden Horse Ke-63, filem kerjasama Malaysia-Taiwan, SAYANG SAYANG, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 November 2026.

Sejak treler rasminya diperkenalkan kepada umum, SAYANG SAYANG menarik perhatian ramai menerusi kekuatan emosi yang dipaparkan, dengan penonton menyatakan bahawa sedutan filem tersebut sudah cukup untuk membuatkan mereka tersentuh. Sambutan positif itu diteruskan semasa tayangan perdana filem ini di Taipei, yang menyaksikan penonton memuji keindahan penceritaan serta mesej universal tentang hubungan sesama manusia.

Diterbitkan oleh More Entertainment Sdn Bhd dan IS Entertainment Co., Ltd, SAYANG SAYANG merupakan sebuah drama fiksyen yang mengangkat tema identiti, kasih sayang, keluarga dan penerimaan komuniti melalui perspektif yang jarang diketengahkan di layar perak. Filem ini diterajui pengarah dan penulis skrip Taiwan, Tang Hsiang-Chu, dengan Yeh Jufeng dan Jin Ong sebagai Penerbit Eksekutif, manakala Nicole Teoh bertindak selaku penerbit.

SAYANG SAYANG turut membuka ruang penerokaan yang mendalam buat pengarah dan seluruh pasukan produksi, terutamanya dalam membentuk dunia yang berteraskan kepelbagaian budaya, bahasa dan kepercayaan. Dengan watak-watak daripada latar Melayu, Cina dan India, setiap elemen dibangunkan dengan penuh halus memastikan representasi yang dipaparkan kekal asli dan menghormati realiti komuniti yang diangkat.

Filem ini merupakan sebuah pengalaman sinematik yang meraikan keindahan landskap dan kepelbagaian budaya Malaysia. Berlatar belakangkan persisiran Pantai Timur yang luas, filem ini memanfaatkan elemen laut dan alam sebagai bahasa visual yang melengkapi perjalanan emosi setiap watak. Di bawah arahan Tang Hsiang-Chu serta kerjasama kru kreatif dari Malaysia, Taiwan dan India, setiap aspek visual, daripada sinematografi dan tona warna hinggalah ke rekaan bunyi dibangunkan dengan penuh ketelitian untuk menghasilkan sebuah karya yang puitis.

SAYANG SAYANG menghimpunkan pelakon daripada latar belakang yang bervariasi seperti Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Sasha Tang, Amir Ahnaf, Jo Kukathas, Khir Rahman, Farah Ahmad, Lee Lee-Zen, Ong Ai Leng, Vemanna Appannah, Mia Tan Shu Man dan Tan Li Yang. Gabungan bakat dari pelbagai negara memperkukuhkan lagi kepelbagaian budaya yang menjadi tunjang kepada penceritaan filem ini.

Manakala, filem ini diiringi lagu tema filem bertajuk ‘Sayang’ nyanyian penyanyi terkenal, Dato’ Sri Sheila Majid.

Selain menggunakan dialog Bahasa Melayu, Cina dan Tamil, SAYANG SAYANG turut mempamerkan bahasa isyarat demi membawa penonton menyelami dunia komuniti golongan kelainan upaya. Pendekatan ini menjadikan filem ini antara naskhah tempatan yang memberikan ruang kepada representasi komuniti tersebut di layar perak.

SAYANG SAYANG mengisahkan Nancy, seorang wanita berbangsa India yang pulang ke kampung halamannya di Pantai Timur bersama Ajay, seorang anak kurang pendengaran, dan membuka sebuah sekolah bahasa isyarat. Mina, seorang gadis Melayu pekak pula amat meminati Muay Thai dan berusaha mencari jati dirinya di sebalik tuntutan tradisi. Sementara itu, San San, seorang gadis Cina dengan kekurangan yang sama, begitu mendambakan laut dan terikat dengan kepercayaan keluarganya.

Tiga anak daripada latar keluarga dan budaya yang berbeza berdepan dengan cabaran kehidupan masing-masing dalam perjalanan mengenali diri dan kepercayaan.

SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 November 2026.

Gunakan #SayangSayang #沙央 di platform media sosial. Bagi mengetahui info terbaharu SAYANG SAYANG, boleh ikuti di semua akaun digital Astro Shaw untuk maklumat lanjut.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *