(HIBURAN) SLEEQ feat. JOE FLIZZOW – TEPI SIKIT

Spread the love

SLQgmo

Nama SleeQ telah melonjak naik apabila lagu ‘Untuk Dia’ nyanyian Sleeq bersama Najwa Latif telah membuka mata ramai yang selama ini bertanya siapakah gerangan kumpulan SleeQ. SleeQ yang menekankan konsep hip-hop dan RnB telah ditubuhkan pada tahun 2005 oleh dua orang sepupu yang berasal dari Singapura. Mereka adalah Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah (Syarif) dan Alif Abdullah (Alyph) yang merupakan ‘rapper’ bagi duo berkumpulan ini.

Lagu-lagu SleeQ juga telah banyak mendapat tempat di corong-corong radio di Malaysia, antaranya ialah ‘Cun Saja’, ‘Salam Semua’ feat. Aaron Aziz dan ‘Untuk Dia’ bersama Najwa Latif. Kini, SleeQ hadir pula dengan single terbaru yang semakin melonjak naik yang berjudul ‘Tepi Sikit’. Lagu ‘Tepi Sikit’ ini telah dicipta dan dihasilkan sendiri oleh Alyph dan liriknya ditulis bersama dengan Joe Flizzow. ‘Tepi Sikit’ telah dirakam 2 tahun yang lepas dan kemudian mereka merasakan jika mereka kolaborasi bersama Joe Flizzow, akan membuatkan lagu ini lebih menarik. Dari situ, mereka berbincang dan menjemput Joe Flizzow untuk turut terlibat di dalam menghasilkan lagu tersebut.

Tepi Sikit’ ditujukan kepada mereka yang tidak ada pendirian diri dan ada perasaan segan dan takut untuk bersuara dan mempertahankan diri mereka dan ia boleh dijuruskan kepada semua tidak kira sama ada sebagai sepasang kekasih, pekerja dan majikan ataupun dengan rakan. Alyph dan Syarif berharap bahawa lagu ini boleh memberi satu semangat dan kekuatan kepada mereka yang mendengarnya.

Lagu ‘Tepi Sikit’ yang menampilkan salah seorang ‘rapper’ yang tersohor di Malaysia iaitu Joe Flizzow dan ini juga merupakan kolaborasi yang pertama mereka. ‘Tepi Sikit’ juga telah menguasai carta lagu-lagu popular di stesen-stesen radio di Malaysia walaupun baru beberapa bulan ia diputarkan. Betapa hebat impak lagu ini sehingga menjadi siulan orang ramai dan juga peminat SleeQ atau lebih dikenali sebagai ‘Sleeq Movement’ lebih-lebih lagi pada perkatan ‘Tepi Sikit’.

Kepada yang belum tahu, album ‘SleeQ The Album 2014’ ini merupakan album ketiga bagi mereka. Album pertama SleeQ bertajuk “In The Q” yang telah diterbitkan pada tahun 2007 dan “ClassiQ” pula merupakan tajuk album kedua SleeQ yang diterbitkan pada tahun 2009. Untuk album terbaru ini, SleeQ ingin menumpukan lebih kepada kolaborasi berbanding lagu solo mereka.

SleeQ The Album 2014’ ini mengandungi 8 buah lagu iaitu 6 daripadanya merupakan lagu yang telah di riliskan sebagai single dan 2 buah lagu baru iaitu ‘Tepi Sikit’ dan juga ‘#1’. Lagu ‘#1’ mengisahkan tentang perjalanan karier SleeQ sebagai penyanyi yang sering berhijrah dari Singapura ke Malaysia untuk menghiburkan peminat-peminat mereka. Dan daripada lapan buah lagu yang terdapat di dalam album ini, empat daripadanya merupakan kolaborasi bersama penyanyi lain seperti Aaron Aziz, Najwa Latif, Hazama dan juga Joe Flizzow.

Muzik video ‘Tepi Sikit’ juga sudah berada di YouTube sejak 16 Mei 2014 yang lalu dan dalam jangka masa sebulan sahaja telah mencecah melebihi 1 juta tontonan.

Matlamat SleeQ adalah untuk berkongsi dan menyebarkan muzik dan lagu mereka kepada orang ramai. Berpegang teguh dengan pendirian  mereka, SleeQ tidak mahu gagal dari segi menjaga kualiti dan taraf  lagu mereka, dan tidak lupa juga untuk membawa diri mereka sehingga ke peringkat antarabangsa. SleeQ juga mahu dikenali sebagai kumpulan yang mempertaruhkan irama pop, hip-hop, R & B dan menjadi penghibur yang disegani di Malaysia dan Singapura. SleeQ pastinya akan tampil dengan aura yang lain dari yang lain. Nantikan…!

Album “SleeQ The Album 2014” oleh SleeQ ini merupakan satu lagi edaran daripada Warner Music (M) Sdn Bhd dengan harga RM24.90.

 

Senarai lagu di dalam album “SleeQ The Album 2014”

 

 

  1. Salam Semua
  2. #1
  3. Tiba Masa
  4. Lari
  5. NGTU
  6. Untuk Dia
  7. Tepi Sikit
  8. Salam Semua (unplugged)

Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *